Oleh pada 04 May 2018 kategori

menu mc donalds paling pelik di dunia

Kredit foto sebelum diubahsuai: Flickr / Joolie

Baru-baru ini tular berkaitan burger nasi lemak McDonalds di internet. Ada yang menyukainya, ada juga yang mengkritik betapa tak sesuainya nasi lemak dijadikan burger. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama McDonald's menghasilkan makanan yang pelik.

Berikut adalah senarai menu pelik keluaran McDonald's di luar negara. Ada yang nampak menyelerakan, ada juga yang sebaliknya. Terdapat beberapa yang sesuai untuk dikeluarkan di pasaran Malaysia.

1. Ebi Filet-O Shrimp Burger (Jepun)

ebi filet o shrimp burger 731

Kredit foto: McDonald's Japan

Patti udang yang diadun dengan serbuk roti 'panko' yang rangup ini dilimpahi dengan sos tempura udang Ebi, sawi dan salad diatasnya. Siapa kata burger hanya boleh dimakan dengan daging lembu atau ayam sahaja?

Bukan Jepunlah kalau tiada sesuatu yang pelik bukan? Ebi Filet-O mendapat namanya dari selebriti Jepun, Yuri Ebihara selaku duta burger ini.

Ebi Filet-O sangat popular di kalangan pelanggan McDonald's di Jepun. Di Hong Kong, menu ini dikenali sebagai burger udang.

2. McFlurry Ovomaltine (Brazil)

mcflurry ovomaltine

Kredit foto: Facebook Descontos Já

Apa itu McFlurry Ovomaltine? Ovomaltine merupakan nama lain bagi Ovaltine, sejenis susu coklat yang tidak sepopular jenama-jenama seperti Milo, Dutch Lady atau Fernleaf di negara kita.

McFlurry Ovomaltine merupakan kombinasi malt bersama sos dan cip coklat. Ais krim pencuci mulut ini juga ada dijual di beberapa cawangan McDonald's di Sweden dan Eropah.

3. McNoodles (Austria)

mcnoodles

Pada tahun 2012, McDonald's melancarkan McNoodles iaitu mi goreng sayur-sayuran yang dijual dalam tempoh terhad iaitu selama beberapa bulan sahaja.

Pernah menjadi trend dimana rakyat Austria obses dengan mi goreng. McDonald's mengambil masa 18 bulan untuk menghasilkan hidangan ini versi mereka sendiri.

Mereka mengimport bahan-bahan dari Thailand serta menambah salad dan sos masam manis. McNoodles dikeluarkan untuk tujuan percubaan semata-mata.

4. McCurry Pan (India)

mccurry pan

Kredit foto: McDonald's India

Roti rangup yang berbentuk seperti sebuah dulang ini mengandungi campuran kari yang dibakar dalam sos berkrim dan sayur-sayuran seperti cendawan, brokoli dan jagung. Apa yang menarik, pan tersebut boleh dimakan.

Hidangan ini diklasifikasikan sebagai menu vegetarian di McDonald’s India. Pada mulanya, McDonald’s khas buat golongan vegetarian dibina di tempat lawatan berbentuk keagamaan di India. 

Pai sayuran ini mengandungi 11 gram lemak dan hampir 50 jumlah karbohidrat. Indah khabar dari rupa bukan?

5. Mashed Potato Burger (China)

mashed potato burger

Kredit foto: Memaholic

Burger ini disajikan dengan dua patti daging lembu, bakon (dendeng khinzir) dan kentang lecek. Menurut McDonald's di China, lelaki sejati sukakan burger yang mempunyai kentang lecek.

Menu ini sebahagian daripada kempen "Lelaki Sejati" yang dilancarkan pada tahun 2012, khusus buat penggemar daging di kalangan lelaki muda di kawasan bandar. Kempen aneh ini menunjukkan kepentingan bakon dan kentang lecek bagi seseorang lelaki bertukar menjadi dewasa dan matang.

6. McLobster (Kanada)

mclobster

Kredit foto: Youtube Kym Wyatt Mckenzie

 

McLobster asalnya merupakan menu bermusim di McDonald's Amerika yang diperkenalkan pada tahun 1993. Pertama kali restoran makanan segera menjual sandwic gulung berasaskan lobster (udang karang), bukan? 

Jika ada yang cukup berani untuk mencuba menu ini di Kanada, anda terpaksa melupakan hasrat itu. Tahun lalu, Mcdonald's di negara itu terpaksa menghentikan makanan ruji pada musim panas ini disebabkan isu bekalan dan kenaikan harga lobster.

7. McChoco Potato (Jepun)

mcchoco potato

Kredit foto: Twitter McDonald's Japan

McChoco Potato adalah hidangan sampingan istimewa yang diperkenalkan di cawangan McDonald's yang terpilih di Jepun. Citarasa terhadap makanan manis dan masin digabungkan dalam McChoco Potato. 

Hidangan edisi terhad pada tahun 2016 ini menggabungkan kentang goreng masin bersama pakej sos coklat fudge dan putih yang dijual berasingan. Para pelanggan dapat menikmatinya mengikut selera masing-masing.

8. Black And White Burger (China)

black and white burger

Kredit foto: Business Insider India

Namanya sahaja sudah cukup ganjil. Burger kecil iaitu separuh dari saiz sebenar ini dijual di McDonald’s China. Roti berwarna hitam dicelupkan dengan perasa dakwat sotong. Manakala roti berwarna putih pula dilitupi dengan biji bijan berwarna hitam. 

Ternyata, warna bukanlah satu-satunya aspek pelik pada menu ini. Burger berwarna putih sebenarnya hanyalah sandwic ayam goreng. Persamaan di antara kedua-duanya ialah cedokan kentang lenyek dan hirisan bakon.

Burger unik ini pada asalnya hanya dikeluarkan secara terhad. Atas sambutan yang menggalakkan, pihak McDonald's meneruskan penjualannya.

9. McRice Burger  (Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Vietnam)

mcrice burger

Kredit foto: The Telegraph

Burger McRice datang dengan pilihan seperti daging lembu, ayam atau ikan goreng. Diapit dengan patti beras melekit menggantikan roti, McRice dikatakan mempunyai jumlah karbohidrat yang sangat tinggi.

Menu ini telah dihentikan di Singapura tanpa sebab yang diketahui. Selepas burger nasi lemak, siapa tahu McDonald's negara kita mempunyai perancangan untuk membawa burger McRice pula ke Malaysia selepas ini?

10. Sweety Con Nutella (Itali)

sweety con nutella

Kredit foto: Facebook McDonald's Italia

Potongan roti burger disapu dengan krim coklat hazelnut Nutella yang tebal. Cukup menyelerakan bukan? Buat pengamal diet, anda mungkin perlu berfikir dua kali untuk memesan menu McCafe ini.

EKSTRA:

McWedding (Hong Kong)

mcwedding 2 813

Kredit foto: McDonald's Hong Kong

McWedding menawarkan menu-menu istimewa seperti burger, kentang goreng, shake dan pai epal yang disusun tinggi sebagai sebuah kek perkahwinan. 

Pakej yang disediakan juga termasuk hiasan unik, permainan khas dan hadiah istimewa buat pasangan pengantin dan para tetamu. 

Para pelanggan yang berminat boleh menempah McWedding di salah sebuah cawangan restoran McDonald's di Hong Kong. McDonald's amat digemari oleh penduduk Asia. Maka tidak hairanlah McWedding sesuatu yang betul-betul wujud.

mcwedding 1

mcwedding 3 875

Kredit foto: McDonald's Hong Kong

Rujukan:

1. First We Feast

2. Eat This Not That

3. How Stuff Works

4. Viral Thread

5. Eater [1, 2]

6. McDonald's Wiki [1, 2, 3]

7. Lolwot

8. McDonald's Hong Kong


tags : , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)