Kredit foto: Instagram Nazim Othman & Instagram Zynakal
Pelakon Nazim Othman akui bersimpati dengan nasib yang menimpa penyanyi Zynakal selepas ditahan polis kerana menyerang seorang pekerja stesen minyak, Rabu lalu.
Nazim yang tidak mengenali Zynakal secara peribadi, beranggapan tindakan penyanyi muda itu bercanggah dengan perwatakan yang ditunjukkannya, serta mempunyai kaitan dengan beberapa faktor hingga mengakibatkan gangguan emosi.
"Saya buat video ini untuk luahkan perasaan sedih bila dengar tentang Zynakal, secara peribadi kami tak kenal antara satu sama lain, saya mula ikuti di Instagram selepas lagu Terbang.
"Kadang-kadang ada berbalas komen di Instagram, dia kelakar dan sangat berbakat, bila dengar berita yang jadi dekat dia saya sangat sedih.
"Dalam hidup ini akan datang pelbagai masalah, kita kena corakkan jati diri sama ada mampu tangani atau tidak, kalau tersasar kena cepat sedar, kalau biarkan ia bahaya dan boleh sehingga menerima masalah mental," katanya.
Pelakon itu mendedahkan pendapatnya tentang Zynakal dan isu kesihatan mental menerusi akaun Instagram miliknya.
Semalam, penyanyi lagu Terbang itu didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.
Dalam pada itu, Nazim mengaitkan tindakan luar kawalan tersebut dengan masalah kesihatan mental, justeru memohon agar orang ramai tidak memandang ringan serta kesedaran isu itu perlu disebarkan dengan lebih meluas di kalangan masyarakat.
Kredit foto: Instagram Nazim Othman
"Sekiranya anda tahu sesiapa yang berada dalam masalah berkaitan dengan kesihatan mental, sila lakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu mereka.
"Isu ini bukan lawak jenaka dan tidak boleh dipandang ringan. Saya berharap kerajaan, institusi pendidikan dan NGO akan bekerjasama untuk menyebarkan kesedaran tentang perkara ini kepada orang awam secara lebih besar.
"Kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal kita. Sejak kecil kita cuma ditekankan untuk menjaga kesihatan badan, tapi sayangnya... kesedaran pasal pentingnya kesihatan mental tidak ada," katanya.
Terdahulu, gangguan emosi Zynakal turut mendapat perhatian penyanyi rap Caprice yang turun padang membantunya dalam mendapatkan rawatan alternatif kerana beranggapan penyanyi berusia 21 tahun itu sedang dalam bahaya dan perlu diberi perubatan secara profesional.
Sumber berita: “Zynakal Seorang Yang Kelakar Dan Berbakat” - Nazim Minta Masyarakat Prihatin Dengan Masalah Mental