Kredit foto: Instagram Wany Hasrita
Walaupun berkemampuan untuk membeli barang berjenama, penyanyi muda meningkat naik, Wany Hasrita berkata dia lebih selesa bergaya sederhana.
Mengakui perbelanjaan untuk penampilan dirinya semakin meningkat, Wany Hasrita atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 24, bagaimanapun memberitahu, dia tidak suka menunjuk-nunjuk.
"Kalau orang nak cakap saya merendah diri, rasanya saya masih seperti Wany Hasrita yang dulu. Sama sahaja tidak berubah.
"Cuma perbelanjaan untuk 'maintenance' yang semakin bertambah tetapi cara saya bukan suka menunjuk-nunjuk pada orang ramai apa yang saya beli atau pakai setiap hari.
"Ya, memang betul apabila sudah menjadi artis saya perlu lebih menjaga penampilan diri dan menambah koleksi pakaian saya supaya lebih nampak bergaya.
"Tetapi jujur saya katakan saya bukan peminat barangan berjenama. Mungkin belum sampai tahap saya lagi, kecenderungan saya ke arah barangan yang ringkas dan praktikal," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Wany mula melonjak naik menerusi lagu Menahan Rindu yang menjadi lagu 'berhantu' sejak hujung tahun lalu.
Kredit foto: Instagram Wany Hasrita
Beralih perkembangan terkininya, Wany kini muncul dengan lagu terbaharu diberi judul Rintihan Rindu, dilancarkan pada Oktober lepas.
Pun begitu, dia tidak meletakkan harapan besar untuk melihat single kedua ini meletup sebagaimana lagu sulungnya.
"Perlahan-lahan pendengar mula memberikan maklum balas terhadap lagu kedua saya dan ia sebenarnya sangat memberangsangkan.
"Sama sebenarnya seperti lagu Menahan Rindu, bukannya sekali keluar terus popular," katanya.
Lagu Menahan Rindu juga terpilih antara 12 lagu ke Anugerah Juara Lagu 32 yang bakal berlangsung Februari 2016 ini.
Sumber berita: Astro Gempak