Richard Feynman merupakan salah seorang ahli fizik yang paling berpengaruh dan terkenal sepanjang zaman.
Semasa kecil, Feynman mula bercakap lebih lewat berbanding anak kecil lain sebaya dengannya namun kemudian mula mempamerkan kenakalannya. Sebuah laman web yang didedikasikan khas untuk Feynman memperkenalkan dirinya sebagai seorang saintis, guru, pencerita dan pemain dram. Keunikan sikap dan keperibadian Feynman telah membawa status selebriti kepada dirinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika dilihat perwatakannya, mungkin orang tidak akan menyangka yang beliau memperolehi markah sempurna bagi peperiksaan kemasukan ke Princeton University. Pencapaian itu sehingga ke hari ini masih belum dapat ditandingi. Feynman juga pernah digelar "Manusia Paling Pintar di Dunia" oleh Majalah Omni pada tahun 1979.
Walaupun beliau merupakan seorang genius dengan pencapaian akademik yang tidak mampu dipertikaikan, Feynman sentiasa berusaha mempelajari konsep-konsep baru saban hari. Konsep-konsep baru ini tidak tertakluk kepada bidang fizik sahaja, malah beliau meneroka bidang lain yang tidak berkaitan seperti seni arang dan bermain bongo. Feynman sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan mempunyai sifat ingin tahu tentang sesuatu proses atau kejadian.
Sebagai seorang pendidik, Feynman dikenali kerana sering menggunakan kaedah yang mudah untuk menerangkan sesuatu konsep yang rumit, misalnya berkenaan elektrodinamik kuantum. Beliau menggunakan pendekatan metafora untuk memudahkan penerangan sehingga beliau mendapat jolokan "The Great Explainer."
Pendekatan Feynman dalam mempelajari sesuatu subjek atau ilmu itu dapat diringkaskan menjadi empat (4) langkah mudah yang dipanggil Teknik Feynman. Teknik ini yang merupakan suatu Model Mental bukan sahaja boleh membantu pembelajaran malah ia dapat mengekalkan ilmu yang dipelajari dalam minda.
Bagi mereka yang bakal menempuhi peperiksaan atau sedang bergelut untuk menghafal sesuatu, boleh cuba Teknik Feynman berikut:
Langkah 1 : Pilih topik dan pelajari dengan teliti
Pilihlah apa-apa ilmu atau konsep yang ingin dipelajari dan tulis segala apa yang anda ketahui berkaitannya di atas kertas. Sudah tentulah anda perlu mengkaji dan membaca terlebih dahulu sebelum menulis. Cuba catatkan semua maklumat yang anda ingat atau yang telah dibaca. Teruskan menambah lebih banyak maklumat di atas kertas tersebut sepanjang waktu menelaah.
Langkah 2 : Berpura-pura mengajar
Langkah seterusnya adalah bayangkan anda sedang mengajar apa yang telah anda pelajari kepada seorang pelajar. Ini mungkin agak sukar dibuat kerana sebagai seorang pendidik, anda perlu mengajar menggunakan istilah-istilah mudah dan kaedah yang berkesan.
Dalam bidang fizik, Feynman menggunakan konsep mempermudahkan mengikut tahap akademik yang lebih rendah. Sebagai contoh, jika beliau sedang mengajar ilmu ijazah kedoktoran, beliau akan menganggap seperti sedang mengajar seorang pelajar ijazah semester 1. Lebih rendah gred 'kefahaman', lebih mudah ilmu tersebut dipelajari. Ini bukan sahaja membuatkan ilmu fizik itu lebih senang difahami, malah ia juga menggambarkan pemahaman si penerang mengenai subjek tersebut.
Bagi Feynman, kebolehan ini adalah suatu perkara yang membanggakan. Kegagalan untuk mempermudahkan atau meringkaskan sesuatu konsep akan membuatkan Feynman bermuram dan meragui kebolehannya sendiri.
Apabila seorang ahli fizik lain iaitu David Goodstein memohon bantuan Feynman menjelaskan mengapa partikel spin 1 memenuhi syarat persamaan Fermi-Dirac, Feynman telah berjanji yang beliau akan menyediakan satu kuliah tahap pelajar baru. Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian Feynman kembali dalam keadaan kecewa kerana tidak dapat meringkaskan topik itu ke tahap yang lebih rendah. Dengan perasaan hampa, Feynman menyimpulkan yang beliau masih belum benar-benar memahami subjek itu.
Cara berfikir Feynman ini seakan-akan sama dengan falsafah hidup Einstein. Einstein pernah berkata, "Jika anda tidak boleh menerangkannya dengan mudah, bermakna anda masih belum benar-benar memahaminya."
Langkah 3 : Rujuk dan semak semula
Jangan khuatir sekiranya anda berada di jalan yang buntu, terutama sekali apabila anda baru sahaja mempelajari sesuatu ilmu. Kaedah pembetulan dan semakan adalah langkah yang perlu diambil sepanjang proses pembelajaran. Apabila menemui jalan buntu, sentiasa rujuk kembali nota anda. Kenal pasti kelemahan anda, rujuk dan semak konsep tersebut untuk memperkuatkan pemahaman anda. Selepas membuat rujukan kembali, ulangi langkah 2.
Langkah 4 : Gunakan analogi
Elakkan penggunaan bahasa tinggi yang hanya difahami oleh sebilangan kecil sahaja manusia. Sememangnya jargon saintifik boleh mengagumkan orang namun ia boleh mengelirukan dan membuatkan pelajar baru menjauhkan diri. Sebaliknya, gunakan bahasa mudah atau "layman terms" untuk meringkaskan sesuatu konsep.
Selain itu, analogi merupakan kaedah yang sangat bagus untuk menerangkan sesuatu idea. Ini disebabkan minda manusia sememangnya lebih cenderung untuk memahami perkara-perkara yang abstrak dan kompleks menggunakan simbol. Plato juga sering menggunakan analogi untuk menyampaikan buah fikiran kepada anak-anak didiknya.
Sebagai contoh, Teori Kerelatifan Einstein menggambarkan jisim berupaya mengubah bentuk dan masa dengan memaksa, misalnya, bulan untuk "ditarik" ke arah bumi kerana permukaan di bawahnya yang melengkung. Teori ini juga terpakai bagi peredaran planet Musytari mengelilingi matahari.
Namun, bagaimana kita mampu menjelaskan pergerakan objek gergasi yang sukar difahami seperti ini, lebih-lebih lagi dakwaan mengenai perubahan sifat geometri alam yang mungkin tidak masuk akal dalam istilah yang paling mudah? Satu analogi yang boleh digunakan ialah trampolin. Apabila anda meletakkan sebiji bola boling di tengah trampolin, permukaan trampolin akan melengkung dan menyebabkan guli-guli yang diletakkan di sekeliling trampolin akan tertarik ke arah bola boling tersebut.
Nah, sangat mudah kan? Sekarang anda sendiri sudah mula memahami Teori Kerelatifan Am Einstein. Boleh teruskan dengan pembacaan lain untuk menambah ilmu di dada.
Namun, jangan lupa aplikasikan keempat-empat langkah Teknik Feynman ini kerana ia merupakan teknik terbaik dan paling efektif untuk mempelajari apa sahaja ilmu baru selain mendorong minda anda mengingati ilmu-ilmu yang telah dipelajari sebelumnya.
Rujukan: