sistem bayaran elektronik di semua tol lebuhraya utara selatan april ini

Kredit foto: ismaweb.net

Mulai 26 April ini, sistem bayaran elektronik akan dilaksanakan secara menyeluruh di semua transaksi tol di 71 buah plaza tol  Lebuhraya Utara Selatan.

Datuk Azman Ismail selaku Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus) telah mengesahkan hal berkenaan melalui laman web Plus.

Bermula pada 26 April yang akan datang, tiada lagi transaksi secara tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuh raya Plus perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG.Pelaksaan ini termasuklah transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua.

Terdahulu, usaha yang sama telah berjaya dilakukan di semua plaza tol kendalian Plus di Bangunan Sultan Iskandar (2008), Lebuhraya Linkedua (secara berperingkat sejak 2009), Plaza Tol Kempas (2014), Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau (November 2014), Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada Jun 2015.

Selain itu, ianya turut melibatkan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam dan Jitra (September 2015), Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (September 2015), plaza tol di Jambatan Pulau Pinang (September 2015) serta Plaza Tol Sungai Dua hingga Hutan Kampung di Lebuhraya Utara-Selatan (November 2016).

Jelas beliau, tujuan inisiatif ini dilaksanakan adalah untuk memberikan perjalanan yang lebih mudah, pantas dan selesa dalam kalangan pengguna.

Transaksi tol secara elektronik adalah jauh lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran tol secara tunai di mana lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam.Manakala Lorong Tunai Keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar mula mendapatkan kad elektronik dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Kami menasihatkan orang ramai, khususnya yang melalui 71 plaza tol di antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing.

Sumber berita: Sinar Harian


tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)