Dalam sejarah, Perang Vietnam merupakan antara perang terburuk bagi Amerika Syarikat yang menyaksikan begitu banyak nyawa askar mereka terkorban. Perang yang berlangsung selama 19 tahun ini begitu kompleks dan melibatkan banyak pasukan tentera dari negara luar antaranya Amerika Syarikat, Laos, Thailand dan banyak lagi.

Bagi menangani serangan pihak Selatan Vietnam Selatan atau dikenali juga sebagai (Republic of Vietnam - RVN) yang mendapat bantuan ketenteraan Amerika Syarikat, pasukan tentera Vietnam Utara (Democratic Republic of Vietnam - DRV) yang berfahaman komunis telah menggali sebuah terowong sebagai strategi peperangan. Mereka yang berfahaman komunis ini juga dikenali sebagai Viet Cong.

BESARKAN TEKS     A-  A+

perang vietnam 33

Terowong Cu Chi yang terletak di daerah Cu Chi di Ho Chi Minh City (dahulunya dikenali sebagai Saigon) merupakan jaringan terowong bawah tanah yang digunakan pasukan askar Viet Cong sebagai lokasi persembunyian ketika melakukan serangan gerila serta menjadi laluan utama perhubungan dan menghantar bekalan. Jaringan terowong ini juga menjadi lokasi penyimpanan makanan, berek senjata dan hospital bagi memberi bantuan kecemasan kepada askar yang tercedera.

Proses pembinaan jaringan terowong

terowong cu chi vietnam

Proses penggalian terowong ini dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan aktiviti mereka ini dikesan oleh pihak musuh. Kaum lelaki dan perempuan berganding bahu menggunakan tangan dan peralatan tradisional untuk mengorek terowong ini. Tanah dan batu-batu yang dikorek pula akan dibawa keluar daripada terowong menggunakan bakul yang diperbuat daripada buluh dan juga beg plastik.

Bagi mengelakkan usaha pembinaan terowong ini daripada kesan, tanah dan batuan yang dikorek daripada terowong ini akan dibuang jauh daripada kawasan terowong. Pada peringkat awal, terowong ini dibina berdekatan dengan permukaan tanah. Walau bagaimanapun, serangan bom bertubi-tubi daripada musuh memaksa pihak Viet Cong untuk menggali lebih dalam untuk mengelakkan jaringan terowong ini daripada musnah.

Kepelbagaian kemudahan

pembinaan terowong cu chi

Jaringan terowong ini begitu besar dan panjang malah menempatkan pelbagai kemudahan seperti dapur, tandas, hospital, bilik asrama, bengkel dan bilik mesyuarat. Dalam erti kata lain, segala keperluan untuk hidup selama beberapa hari dalam terowong tersebut boleh diperolehi di dalam jaringan terowong ini.

Secara umumnya, kompleks terowong ini terbahagi kepada 4 bahagian dimana setiap satunya berada pada kedalaman yang berbeza. Bahagian pertama yang terletak pada kedalaman 3 hingga 4 meter bawah tanah menempatkan perangkap, lubang pengudaraan dan pos kawalan untuk menembak. Di bahagian kedua pula, terletak dapur dan asrama penginapan.

Seterusnya, bahagian ketiga pula terletak pada kedalaman 6 hingga 7 meter daripada permukaan tanah. Kawasan ini selamat daripada kemusnahan daripada serangan bom dan menempatkan stesen bantuan kecemasan, ruang storan dan kawasan sambungan terowong ke bahagian terowong yang lain. 

lawatan ke terowong cu chi

Sementara itu, bahagian keempat yang berada pada kedalaman 8 hingga 10 meter pula terdapat perigi yang menjadi sumber air. Air merupakan satu keperluan hidup bagi askar Viet Cong yang hidup dalam kompleks terowong ini. Perigi yang dibina bukan sahaja menjadi sumber air minuman, malah menjadi laluan ke Sungai Saigon. Ketika air surut, laluan ini boleh digunakan untuk keluar dan membuang air di Sungai Saigon. Ianya turut berfungsi sebagai lalu kecemasan untuk melarikan diri.

Usaha Amerika untuk memusnahkan Terowong Cu Chi

Menyedari akan bahaya terowong ini dan betapa pentingnya terowong ini kepada gerakan gerila pihak penantang, Amerika Syarikat telah bertindak melancarkan beberapa operasi khas untuk memusnahkannya antaranya Operation Crimp dan Operation Cedar Falls.

Operation Crimp yang melibatkan pengoboman daripada udara ini gagal kerana laluan masuk terowong ini yang kecil menyukarkan keseluruhan laluan terowong ini dimusnahkan. Selain itu, cubaan memaksa askar Viet Cong keluar daripada jaringan terowong dengan memasukkan gas beracun dan air panas juga tidak berjaya kerana terowong tersebut mempunyai jaringan pengudaraan yang baik dan banyak pintu perangkap.

rat tunnel

Kemudian satu pasukan askar yang juga dikenali sebagai Rat Tunnel telah ditubuhkan. Pasukan ini diarahkan untuk membuat pencarian secara manual. Pasukan ini hanya membawa senapang, pisau dan juga lampu suluh untuk menggeledah keseluruhan kompleks terowong Cu Chi. Usaha ini walau bagaimanapun masih gagal menemui pangkalan utama askar Viet Cong dalam kompleks terowong Cu Chi ini.

Pada tahun 1967, Amerika Syarikat sekali lagi melancarkan operasi khas yang diberi nama Operation Cedar Falls. Dengan mengguna pakai strategi pasukan Rat Tunnel, seramai 30,000 askar telah dikerah berbanding hanya 8,000 askar sahaja pada operasi sebelumnya. Mereka juga berjaya menemui ratusan ribu dokumen yang merangkumi pelbagai strategi peperangan dan peta pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Tempat tarikan pelancong

pelancongan ke terowong cu chi

Setelah tamat perang, kompleks terowong Cu Chi sepanjang 121 km ini terus dipelihara kerajaan Vietnam dan dipromosikan sebagai kawasan pelancongan. Terdapat dua bahagian utama yang dibuka kepada pelancong iaitu Ben Dinh dan Ben Duoc. 

Ben Duoc merupakan bahagian dimana anda boleh melihat keadaan sebenar terowong Cu Chi ini sementara di Ben Dinh pula, laluan terowong ini telah dibaik pulih dan diperbesarkan untuk memudahkan pergerakan pelancong. Sekiranya anda ke Vietnam, kompleks Cu Chi ini merupakan antara kawasan yang wajib anda lawati!

Kredit:

  1. History
  2. WikiPedia
  3. Vietnam War: The Essential Reference Guide



Hakcipta iluminasi.com (2017)