Setelah hampir 19 tahun penganjuran perlumbaan Formula 1 di Malaysia, tahun 2017 ini kita bakal menyaksikan Malaysia menganjurkannya buat kali terakhir. Ianya dijadualkan akan berlangsung pada 29 September sehingga 1 Oktober 2017.

Malaysia telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran Formula 1 ini semenjak tahun 1999 di mana tahun tersebut menyaksikan pemandu daripada pasukan Ferrari, Michael Schumacher dinobatkan sebagai juara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin ada dikalangan anda yang menyangka Grand Prix dan perlumbaan Formula 1 adalah dua pertandingan yang berbeza. Sebenarnya sama sahaja. Pada tahun 2011, perlumbaan Formula 1 Malaysia ini mula dikenali sebagai Grand Prix Malaysia.

Pembinaan Litar Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang

trek litar sepang

Pembinaan Litar Antarabangsa Kuala Lumpur telah dilakukan antara tahun 1997 hingga 1999 di Sepang. Rekabentuk litar ini dicipta oleh jurutera yang berasal dari Jerman bernama Hermann Tilke dimana beliau juga adalah orang yang sama merekabentuk litar F1 venues di Shanghai, Sakhir, Istanbul, Valencia, Marina Bay, Yas Marina, Yeongnam, Greater Noida dan Austin.

Idea pembinaannya datang daripada bekas Perdana Menteri Malaysia (keempat), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga dikenali dengan gelaran "Bapa Pemodenan Malaysia".

Idea pembinaan litar ini juga bagi melayakkan Malaysia menganjurkan pertandingan Formula 1 di Malaysia bermula pada tahun 1999. Litar ini mempunyai trek sepanjang 5.543 kilometer setiap pusingan dan untuk Grand Prix Malaysia, setiap pelumba perlu menamatkan sebanyak 56 pusingan, iaitu merangkumi jarak sejauh 310.408 kilometer.

Penamatan Sebagai Tuan Rumah Grand Prix

Sebelum Malaysia, sudah beberapa negara lain yang turut menarik diri daripada penganjuran Grand Prix ini, antaranya Bahrain, Rusia dan beberapa negara lain. Mengikut perjanjian, kontrak Malaysia sepatutnya tamat pada tahun 2018 tetapi kerajaan telah mengambil keputusan untuk menamatkannya satu tahun lebih awal, iaitu pada tahun 2017.

Antara sebab utama penarikan diri ini adalah kerana kekurangan penonton yang hadir ke litar untuk menyaksikan sendiri Grand Prix Malaysia. Mengikut statistik, hanya 60% sahaja tiket yang biasanya habis dijual.

litar antarabangsa sepang

Dengan peningkatan kos, pelaburan dalam penganjuran Grand Prix Malaysia bukanlah sesuatu yang menguntungkan. Selain itu, kini terdapat banyak litar baru yang dibina menjadikan saingan lebih sengit untuk pengunjung luar untuk datang ke Malaysia. Sebagai contoh, semasa tahun 1999 Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang menganjurkan Formula 1. Kini, Jepun turut menganjurkan pertandingan Formula 1.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan nasib litar ini pada masa hadapan. Tapi ada ura-ura mengatakan ianya tetap akan digunakan untuk penganjuran MotoGP yang dipercayai lebih menguntungkan, selain kedatangan pengunjung ramai. Lebih menarik lagi, Malaysia turut mempunyai pelumba dalam kategori Moto2 dan Moto3.

Kredit:

  1. Formula 1
  2. BBC
  3. Motorsport Week
  4. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)