Kredit foto: Instagram Stacy

Gara-gara hilang suara selepas berehat panjang kerana bersalin anak pertama, penyanyi Stacy akui dia patah semangat.

Pemilik nama penuh Ummu Shaikhah Stacy Anam ini berkata, dia melalui fasa sukar itu hampir tujuh bulan hingga terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan.

"Hampir setahun lebih saya berehat membuatkan suara saya hilang, saya tidak boleh nyanyi, saya sangka ia adalah kesan kerana baru lepas bersalin.

"Saya betul-betul patah semangat hingga rasa tidak mahu menyanyi. Tapi bila saya fikir positif dan cuba pergi ke gimnasium untuk mencari stamina suara itu kembali semula," katanya menurut laporan portal Mstar Online.

Stacy membuat kenyataan tersebut di Anugerah Skrin 2017, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Jumaat.

saya patah semangat dah tak mahu menyanyi stacy dedah perubahan selepas bersalin 2

Kredit foto: Instagram Stacy

Juara Akademi Fantasia musim keenam ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Akim Ahmad pada 5 Februari 2016 dalam majlis di Hotel Shangri-La, Kota Kinabalu Sabah.

Sehingga kini mereka dikurniakan seorang anak perempuan pada 17 Februari lalu.

Sementara itu, Stacy berkata, dia juga pernah menyatakan hasrat kepada suami untuk berundur daripada dunia hiburan angkara masalah itu.

Namun Akim memintanya supaya bersabar di samping memberi perangsang dengan membeli set karaoke, agar dia terus berlatih.

"Sampai satu tahap saya cakap dengan Akim biar dia sahaja yang cari makan kerana saya sudah tidak boleh menyanyi.

"Mana tidaknya suara saya jadi seperti suara lelaki dan tidak sampai untuk menyanyi nada tinggi," dedahnya.

Sehingga kini penyanyi berusia 27 tahun itu masih dalam proses memantapkan semula vokalnya termasuk gaya tarian agar setanding seperti sebelum bersalin.

"Alhamdulilah, suara saya sedikit demi sedikit kembali tapi saya perlu lebih banyak berlatih. Begitu juga tarian, sekarang saya rasa semput untuk menari tidak seperti dahulu," luahnya.

Stacy juga menyedari kehilangannya selama setahun memberi ruang kepada kemunculan beberapa nama penyanyi mengisi genre berkenaan.

Namun kehadiran bintang umpama Ayda Jebat dan De Fam itu dianggapnya sebagai perkembangan yang sihat untuk industri.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)