Oleh pada 08 Mar 2017 kategori

Berpantang amat sinonim dengan masyarakat Melayu yang kaya dengan budaya tradisi. Berpantang atau amalan pantang ini biasanya dilakukan oleh wanita yang baru lepas bersalin, individu baru lepas pembedahan dan sebagainya. Namun menu dan idea ini bukanlah semata-mata untuk ibu pantang baru lepas bersalin ya. Orang lelaki juga boleh mencubanya. Tidak ada masalah langsung.

Makanan pantang bukan sahaja boleh dimakan oleh ibu yang baru melahirkan malah menu-menu ini juga boleh dimakan bagi sesiapa yang baru menjalani pembedahan atau anak-anak yang berkhatan.

Kalau di bulan puasa pula, menu-menu macam ini lah yang boleh menaikkan selera waktu bersahur. Hidang dengan nasi panas-panas, fuh, terang biji mata! Di sini, iluminasi ingin berkongsi kepada ada 4 sajian resepi mudah untuk anda yang tidak memiliki idea dalam menu berpantang ini.

Ikan Bilis Menusuk

Ikan bilis menusuk sebenarnya agak tidak sesuai bagi mereka yang mengalami gejala resdung atau "alergik". Ikan bilis boleh menyebabkan gatal-gatal di bahagian badan atau anggota lain. Jadi kalau tak alergik, tiada masalah untuk memakannya.

ikan bilis goreng halia cili api lauk pantang menu pantang

Bahan-bahan

  • 100gm Ikan bilis, digoreng sehingga garing dan ditoskan
  • Setengah inci halia, dimayang
  • 1 batang serai, dihiris halus
  • 1 biji bawang besar, dihiris halus
  • Cili padi mengikut citarasa
  • Sedikit minyak bekas gorengan ikan bilis

Cara Penyediaan

Tumis bawang dan bahan-bahan lain sehingga agak garing. Masukkan ikan bilis yang telah digoreng dan kacau seketika. Siap untuk dihidangkan.

Daging Masak Lada Hitam Manis

daging lada hitam lauk menu pantang

Bahan-bahan

  • 250gm daging lembu, dihiris nipis
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 5 biji bawang putih, dicincang halus
  • 2 sudu besar minyak
  • 1 sudu besar lada hitam, ditumbuk halus atau kasar
  • 1-2 sudu besar kicap manis

Cara Penyediaan

Panaskan minyak, gorengkan daging hingga agak garing kemudian angkat daging dan ketepikan. Tumis bawang besar dan bawang putih dalam periuk yang sama sehingga naik bau. Masukkan kembali daging, lada hitam, kicap dan bahan perasa secukupnya. Kacau rata sebelum dihidangkan.

Singgang ala Kelantan

singgang daging kelantan menu pantang lauk

Bahan-bahan

  • 1 liter air
  • 1 biji bawang besar, dihiris atau dipotong bulat
  • 2 ulas bawang putih, dicincang halus
  • 1/2 sudu besar ketumbar, ditumbuk kasar
  • 2 tangkai cili kering, potong 3
  • 1 asam keping
  • 200 daging, dihiris atau potong kiub
  • 20gm halia, dihiris
  • 20gm lengkuas, dihiris

Cara Penyediaan

Rebus daging bersama semua bahan lain (kecuali bawang besar) sehingga daging empuk. Apabila telah empuk, masukkan bawang besar dan bahan perisa (garam/gula) secukupnya. BIarkan mendidih sebentar dan bolehlah dihidangkan.

Ikan Goreng 'Berangin'

ikan goreng halia lauk menu pantang

Bahan-bahan

  • 2 ketul ikan tenggiri (atau boleh ganti dengan apa-apa ikan yang digemari)
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 1-2 sudu besar kicap manis
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak
  • 30gm halia
  • 3 ulas bawang putih

Cara Penyediaan

Perap ikan dengan serbuk kunyit dan garam selama 10 minit. Gorengkan ikan sehingga garing kemudian angkat dan ketepikan sebentar. Tinggalkan sedikit minyak dalam kuali untuk menumis. Masukkan bawang putih dan halia ke dalam kuali dan tumis sehingga garing. Tuangkan kicap dan masukkan kembali ikan yang telah digoreng. Gaul sebati dan siap untuk dihidangkan.

Ikan Stim Kuyu

ikan stim lauk menu pantang

Bahan-bahan

  • 1 ekor Ikan (siakap, kerapu, bawal atau apa sahaja yang disukai)
  • 2 inci halia, dihiris
  • 1 biji bawang besar, dihirs
  • 1 biji tomato, dibelah 4
  • 1 biji limau nipis
  • Sedikit daun sup @ daun bawang
  • 1 sudu sos tiram
  • Cili api, dihiris (sekiranya suka)
  • Garam/gula secukup rasa

Cara Penyediaan

Panaskan periuk kukusan sementara menyediakan ikan. Lumur ikan dengan garam/gula dan sos tiram. Taburkan halia, tomato, bawang dan daun sup ke atas ikan dan kukuskan sehingga masak. Setelah masak, perah jus limau nipis di atas ikan sebelum dihidangkan.

Orang yang tak pantang pun boleh jadi 'pantang nampak' kalau ada lauk macam ni. Sekejap sahaja licin! Kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda yang baru menyambut kelahiran si comel. Ataupun boleh print artikel ini dan beri kepada bakal-bakal bapa di luar sana. Selamat berpantang ya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)