Seorang remaja kacukan dari Muar, Muhammad Justin Felix Nagel, 15, telah sah memperolehi kerakyatan Malaysia setelah 9 tahun menunggu. Bapa Justin yang berasal Jerman dan ibunya, Hasni Samsuddin telah memfailkan perceraian pada 2006. Sejak itu, Justin tinggal di Malaysia bersama ibunya.
Setelah pasport Jermannya tamat tempoh, Justin dan ibunya sudah membuat permohonan kerakyatan Malaysia namun masa memproses yang diambil oleh Jabatan Pendaftaran Negara dianggap terlalu lama. Justin tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan selama 9 tahun dan dia juga telah diusir keluar dari hostel sekolahnya awal tahun ini kerana tidak mempunyai MyKad.
Sekitar Jun tahun lepas, bapa tiri Justin yang merupakan bekas pelumba basikal negara, Azil Iskandar Abdul Aziz, telah menyampaikan sepucuk surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin agar dapat menyokong dan membantu agar permohonan kerakyatan Justin dipercepatkan. Ini disebabkan Justin juga merupakan salah seorang pelumba basikal di bawah program Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor.
Kini, Justin tidak lagi perlu berasa gusar kerana dia sudahpun menjadi seorang warga Malaysia secara rasmi. Dia juga boleh tinggal di hostel sekolah dan berlatih bersungguh-sungguh untuk menjadi pelumba basikal negara yang disegani. Mana tahu anda bakal menggantikan wira kesayangan negara iaitu Azizulhasni Awang a.k.a The Pocket Rocketman suatu hari nanti.
Foto kredit: NST