Kredit foto: New Straits Times

Akhirnya syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar, NH Prima International Sdn Bhd tampil memohon maaf berhubung isu pelancaran koleksi tudung terbaru yang dibuat di sebuah pusat hiburan terkemuka di ibu kota, Isnin lalu.

Permohonan maaf secara terbuka itu dilakukan oleh Pengarah Urusannya, Noor Nabila Mohd Noor.

“Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara istimewa untuk jenama kami, telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

"Sepanjang majlis pada malam itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol minuman keras, gelas serta perkakas diasing dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis.

"Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup serta merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis berlangsung, Malah kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal untuk tetamu," jelas Nabila.

Kakak kepada Neelofa itu berkata, pemilihan lokasi dibuat atas tawaran yang disediakan oleh pusat hiburan berkenaan.

"Kami membuat keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini ditempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan di mana mereka menyediakan ruang untuk disewa sebagai tempat acara pada setiap Ahad dan Isnin kerana premis berkenaan tidak dibuka untuk kunjungan umum.

"Selain itu, sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED dan sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis itu.

"Segala kemudahan ini didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan pihak terbabit," katanya.

Begitupun, Nabila mengakui akan kesilapan yang dilakukan pihaknya sekaligus memohon agar diberi peluang untuk membetulkan keadaan.

"Tiada yang lebih penting daripada mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelak insiden sama berulang.

“Kami juga akan memastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa depan.

"Justeru kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan," katanya

Terdahulu, Neelofa selaku pemilik jenama tudung Naelofar Hijab dihentam teruk kerana lokasi pelancaran koleksi tudung terbarunya yang dianggap tidak bersesuaian, apatah lagi dirinya membawa imej wanita berhijab serta bergelar Hajjah.

Tindakannya itu turut mendapat teguran daripada mufti dan pertubuhan Islam. 

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)