Sebagai salah seorang individu yang sempat melalui era 80-an dan 90-an, industri komik di negara kita ketika itu sangat sarat dengan karya-karya tempatan. Pelbagai jenis majalah sama ada berbentuk komik satira, komik fantasi atau genre-genre lain memenuhi rak-rak majalah di kedai, dengan penerbitannya setiap bulan menjadi detik yang dinantikan pengikutnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Majalah Gila-Gila tidak dinafikan sudah mencapai status lejen di negara kita. Dikenali sebagai pendahulu kepada komik berbentuk satira, walaupun mereka bukan yang pertama - majalah tersebut berjaya membentuk pemikiran masyarakat dengan persembahan yang sedikit sebanyak berilmiah tetapi disampaikan dalam bentuk sinis, sarkastik dan tidak kering gusi.
Memperkenalkan kita kepada barisan pengkarya yang akhirnya menjadi pemula tren kartun di negara, sayang sekali impak Gila-Gila akhirnya berkurangan, terpaksa tunduk dengan keterbukaan dunia berdepan dengan saingan komik Hong Kong, komik Jepun dan juga komik Amerika - membuatkan peminat fanatik mereka terpaksa beralih ke medium lain pula.
Sejarah ringkas Gila-Gila
Mungkin tidak ramai yang menyedari Gila-Gila sebenarnya tidak pernah menghentikan penerbitannya yang kini mencecah lebih 40 tahun usianya. Diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1978 hasil kerjasama beberapa kartunis seperti Mishar, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Azman Yusof, empat nama ini menjadi tulang belakang awal penerbitan majalah ini.
Mengambil inspirasi daripada majalah MAD, sebuah majalah satira humor yang berpengkalan di Amerika Syarikat - edisi pertama Gila-Gila selamat diterbitkan pada 1 April 1978. Selain daripada empat nama yang ada, mereka juga dibantu oleh beberapa nama lain seperti Rejabhad dan Alim.
Penerbitan baru itu menampilkan parodi kepada filem 'Si Badol', menampil pelakon terkenal AR Badul dilukis menaiki kereta dalam saiz yang sangat tak munasabah. Harganya pula pada ketika itu hanyalah RM1 sahaja. Siap ada perkataan 'murah' diletakkan di sebelah cetakan harganya. Slogan yang dipaparkan juga sangat lucu dan menarik hati.
Dicetak hanya sebanyak 10,000 naskhah, majalah tersebut laris di pasaran.
Keaslian karya tempatan
Apa yang unik tentang Gila-Gila adalah karya yang dipamerkan dalam majalah tersebut, kita boleh nampak dan rasakan ke-Malaysia-an nya. Penulis tak pasti ada istilah lain yang lebih sesuai.
Setiap lukisan yang dipaparkan mempunyai identiti yang berbeza mengikut kartunis dan setiap kartunis pula, membawakan corak lukisan serta pewarnaan yang unik, seiring dengan identiti masing-masing. Amat mudah untuk kita kenal siapa pemilik karya kerana setiap kartunis berjaya mengolah konsep dan kemahiran masing-masing, dalam aras yang sangat tinggi namun mempunyai teknik yang berbeza.
Hampir setahun lamanya Gila-Gila diterbitkan sebulan sekali, penerbit mereka iaitu Creative Enterprise akhirnya membuat keputusan mengubah jadual penerbitan mereka dengan penerbitan dua isu sebulan, bermula pada bulan Februari 1979.
Impak Gila-Gila pada masyarakat
Penulis mengakui karya yang dipaparkan dalam Gila-Gila menjadi sesuatu yang dinanti penulis setiap bulan. Entah mengapa berbeza dengan zaman sekarang, kita boleh mengulangi pembacaan karya yang serupa beberapa kali tanpa rasa bosan. Zaman sekarang, mungkin kerana terlalu banyak penghasilan karya menyebabkan perhatian kita mudah beralih arah.
Siapakah kartunis Gila-Gila yang anda minati? Bagi penulis, kartunis Ujang dan Imuda menjadi idola pada penulis berikutan kebolehan mereka menyampaikan sesuatu dengan berkesan. Karya seperti 'Aku Budak Minang' dan sambungannya 'Aca' perlu menjadi koleksi setiap warga Malaysia berikutan dekatnya kisah yang terkandung dalam siri itu dengan kita.
Selain itu, kartunis Don, Cabai, Rejabhad dan Fattah menjadi pujaan anak muda kita satu masa dulu. Cabai khasnya membuktikan wanita juga mampu berkarya dengan sangat baik serta menjadi ikutan ramai menerusi kartun 'Tiga Dara Pingitan.'
Impak majalah tersebut pada masyarakat diabadaikan dalam sebuah buku yang ditulis oleh Professor Muliyadi Mahamood, seorang pakar budaya visual daripada UiTM yang melakukan kajian mendalam terhadap majalah tersebut. Buku beliau yang terbit pada tahun 2016 menjadikan Gila-Gila sebagai fokus kajian, mengkaji keberkesanan serta tema yang dibawa majalah tersebut daripada era permulaannya sehinggalah tahun 2008.
Proses pemodenan Gila-Gila
Adakah Gila-Gila masih relevan? Boleh jadi tidak, boleh jadi ya. Sekiranya anda mengimbas kembali kritikan bersifat politik yang dipaparkan dalam majalah tersebut, kebanyakannya masih mengena. Bagaimanapun, kisah-kisah masyarakat pada zaman tersebut nyata sudah sangat jauh bezanya berbanding apa yang dapat kita saksikan sekarang.
Sama ada relevan atau tidak isu yang pernah diterbitkan Gila-Gila di mata masyarakat ketika ini, usaha untuk mendigitalkan semua isu yang telah diterbitkan sejak isu pertama sedang berjalan rancak. Pihak penerbit Gila-Gila ketika ini sedang sibuk menukarkan majalah mereka ke dalam bentuk digital yang boleh anda bawa dalam telefon pintar ke mana saja.
Prosesnya agak rumit, memerlukan setiap helaian dan panel majalah yang mungkin dah dimamah usia diimbas, sebelum dibersihkan dan disatukan kembali dalam versi yang lebih terang, jelas dan yang lebih penting - tak pecah-pecah.
Sekiranya anda ingin mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan kartunis dan pengkarya tempatan, aplikasi GG Komiks akan dikeluarkan pada bulan Mei 2019 bagi membolehkan anda memuat turun semua isu yang pernah terbit.
Untuk permulaan, dua isu pertama Gila-Gila bakal boleh dimuat turun bila anda mendapatkan aplikasi itu. Anda boleh mengikuti perkembangan projek ini melalui laman Facebook rasmi mereka Gila-Gila Digital Malaysia dan juga laman web rasmi GGKomiks.com.