Menjadi yang terawal untuk mencuba sesuatu yang baru adalah berisiko terutamanya bagi syarikat besar. Melaburkan sejumlah wang besar untuk mencipta teknologi yang mencetus revolusi mungkin berakhir dengan kerugian teruk. Sebaliknya, tiada juga syarikat yang mahu ketinggalan dalam persaingan.

Itulah dilema yang dihadapi oleh syarikat penerbangan komersial dan pengeluar pesawat Amerika Syarikat pada awal tahun 1950-an. Ketika itu, hangat diperdebatkan tentang penerimaan teknologi baru enjin jet.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun penggunaan enjin jet menjanjikan kelajuan yang tidak pernah dicapai, keselesaan penumpang dan kestabilan, masih banyak lagi alasan yang diragui.

Perubahan yang berisiko tinggi

Ketika itu, kebanyakan syarikat pengeluar pesawat masih lagi dilengkapi dengan teknologi penghasilan pesawat berkuasa kipas yang sama mereka gunakan untuk membina pesawat sejak Perang Dunia Kedua. Mereka juga keberatan untuk mengubah teknologi sedia ada.

pesawat kipas

Penggunaan pesawat enjin jet juga memerlukan landasan yang lebih panjang, lapangan terbang baru, dan sistem kawalan udara yang baru untuk mengendalikannya.

Bahkan, teknologi enjin jet masih belum terbukti dan kos untuk membangunkannya akan menelan belanja yang sangat besar. Semua faktor ini menjadi alasan mengapa tiada pengeluar pesawat yang berani untuk melabur dalam teknologi enjin jet.

Bagi syarikat penerbangan komersial pula, mereka juga tidak sanggup membuat pelaburan besar untuk menempah sesuatu yang belum pasti memberi pulangan.

Pesawat jet pertama

Pada 2 Mei 1952, pesawat jet pertama iaitu De Havilland DH106 Comet telah membuat penerbangan komersial sulung mereka dari London ke Johannesburg. Peristiwa bersejarah itu menggemparkan seluruh dunia dan pengeluar pesawat Amerika tidak mempunyai apa-apa untuk bersaing dengan Comet.

de havilland comet

De Havilland Comet

Walaupun Britain dilihat bakal menguasai pasaran penerbangan dunia tetapi ia tidak bertahan lama. Pada 10 Januari 1954, sebuah pesawat Comet dari Rome telah meletup di ruang udara Laut Mediterranean. Tiga bulan kemudian pada 8 April, sebuah lagi pesawat Comet terhempas di Naples.

Semua pesawat Comet dihentikan perkhidmatannya sehingga punca sebenar dikenal pasti. Siasatan panjang mendapati bahawa kemalangan yang berlaku disebabkan bentuk tingkap empat segi Comet. Sudut tajam pada tingkap menyebabkan tekanan meningkat di kulit pesawat setiap kali berada pada tekanan tinggi di udara.

Pengeluar Comet memperbaiki rekaan mereka dengan menggunakan tingkap bulat dan kembali beroperasi pada 1958 tetapi ia sudah terlambat. Britain hilang gelaran pendahulu bukan hanya kerana kesilapan rekaan tetapi juga disebabkan oleh seorang lelaki bernama Juan Trippe.

Amerika memintas persaingan dunia penerbangan

Juan Trippe adalah pengasas dan CEO kepada Pan American Airways (Pan Am). Dia dikenali sebagai orang yang berani mencuba sesuatu yang baru dan sering menjadi ikutan para pesaingnya.

juan trippe 936

Juan Trippe

Selepas kejayaan penerbangan pertama Comet, Trippe telah memesan tiga pesawat Comet untuk Pan Am. Walaupun dibidas kerana memesan pesawat luar, Trippe tahu percaturannya akan membuatkan pengeluar pesawat Amerika berlumba-lumba untuk membangunkan pesawat jet sendiri.

Gerak hatinya berjaya apabila Boeing memperkenalkan pesawat jet pertama Amerika iaitu model 707 pada tahun 1954. Douglas Aircraft yang tidak mahu ketinggalan juga mengumumkan pembinaan pesawat jet mereka iaitu DC-8.

Walaupun Boeing mendahului, Douglas Aircraft sebenarnya mempunyai kelebihan. Apa-apa kekurangan pada Boeing 707 bakal diperbaiki dalam penghasilan DC-8.

Mastermind Juan Trippe

Pada 13 Oktober 1955, Juan Trippe sekali lagi membuat "kerja gila" apabila memesan 25 pesawat DC-8. Ia mengejutkan semua pemain industri memandangkan DC-8 hanyalah wujud di atas kertas dan hanya mempunyai model kayu sementara Boeing 707 sudah lebih setahun beroperasi.

boeing 707

Boeing model 707

Boeing terpaksa meningkatkan strategi dengan menghasilkan pesawat yang lebih besar dan stabil iaitu Intercontinental 707. Pesawat baru ini membuahkan hasil apabila Pan Am membeli 17 buah pesawat Intercontinental 707 diikuti oleh syarikat penerbangan komersial yang lain.

Juan Trippe telah memanipulasikan industri penerbangan Amerika yang sebelum ini takut dan degil untuk berubah kepada berlumba-lumba terjun ke dalam teknologi penghasilan pesawat jet. Sejak itu, Amerika Syarikat menjadi salah satu gergasi dalam dunia penerbangan.

Syarikat Pan Am yang ditubuhkan oleh Juan Trippe sejak 1927 boleh dikatakan sebagai duta Amerika yang terbang ke seluruh dunia pada suatu masa dahulu. Malangnya, syarikat itu jatuh muflis dan terpaksa dihentikan operasinya pada tahun 1991.




Hakcipta iluminasi.com (2017)