Sekiranya Gunung Ledang popular dengan kisah lagenda Puteri Gunung Ledang, maka di Sarawak terdapat juga sebuah cerita rakyat popular yang turut dikaitkan dengan sebuah gunung iaitu kisah Puteri Santubong yang dikaitkan dengan kewujudan Gunung Santubong.

Dari segi geografinya, Gunung Santubong terletak di bahagian utara bandar Kuching dan perjalanan ke pintu denai gunung ini mengambil masa sekitar 45 minit sehingga 1 jam perjalanan menaiki kenderaan dari Kuching.

BESARKAN TEKS     A-  A+

puteri santubong sarawak

Kredit gambar : Edanantaiban

Dari segi sejarah pula, kawasan Santubong ini dipercayai pernah menjadi pusat komersial dan pentadbiran utama Sarawak pada abad ke 14 Masihi. Dengan ketinggian hanya 810 meter, gunung ini juga menjadi tempat tumpuan para pendaki dan pelari denai melakukan latihan terutamanya pada hujung minggu.

Selain popular sebagai pusat rekreasi dan pelancongan, Gunung Santubong sememangnya terkenal kerana cerita rakyat tempatan mengenai gunung yang satu ini. Mengikut carian pihak Iluminasi, terdapat beberapa versi kisah lagenda mengenai Puteri Santubong dan kali ini kami akan berkongsi 3 versi berlainan mengenai kisah Puteri Santubong ini.

Versi 1: Puteri yang turun dari kayangan

puteri santubong 318

Kredit: World of Buzz

Diceritakan pada suatu ketika dahulu terdapat dua buah kampung berjiran tetapi sering bermusuhan iaitu Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning. Bagi menamatkan persengketaan kedua buah kampung ini, maka dua orang puteri dari kayangan telah diutuskan dan kedua orang puteri tersebut adalah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.

Kedua orang puteri raja ini dikatakan sepupu dan Puteri Santubong telah diminta untuk ke Kampung Pasir Kuning sementera Puteri Sejinjang pula telah diutuskan untuk memelihara Kampung Pasir Putih. Kedua orang puteri dari kayangan ini telah diminta untuk bersumpah agar tidakm lagi berlaku persengketaan antara kedua buah kampung ini.

Puteri Santubong memiliki kepakaran menenun dan menjahit kain dan dia telah memperturunkan ilmunya ini kepada penduduk kampung untuk menghasilkan pakaian yang cantik dan menarik. Perkara ini telah menarik perhatian para pedagang luar termasuklah Putera Serapi dari Matang yang sangat kacak.

Hendak dijadikan cerita, Puteri Santubong telah jatuh hati pada Putera Serapi dan Puteri Sejinjang pada masa yang sama turut menaruh perasaan pada Putera Serapi. Perkara ini telah menimbulkan konflik dan perkelahian antara kedua puteri ini. Akibat melanggar perjanjian, Puteri Santubong telah disumpah menjadi Gunung Santubong sementara Puteri Sejinjang pula telah disumpah menjadi Gunung Sejinjang.

Versi 2: Puteri yang berada dalam pelarian

gunung santubong

Terdapat kisah yang mengatakan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan 2 orang puteri Sultan Brunei. Setelah ayahandanya dibunuh pada abad ke 18, 2 orang puteri ini bersama 7 orang putera sultan telah lari bagi menyelamatkan diri.

Disebabkan kesemua mereka perlu menyeberangi Laut China Selantan yang sangat merbahaya untuk ke Tanah Melayu, maka kesemua 7 orang putera telah bersepakat bahawa 2 orang puteri ini tidak akan turut serta sebaliknya hanya akan tinggal di kawasan yang kini dikenali sebagai Santubong.

Orang Dayak yang mendiami kawasan tersebut amat hairan ini dengan kemunculan dua orang puteri ini yang sangat cantik bagaikan turun dari kayangan. Walaupun pada mulanya hidup aman, kedua-dua puteri ini akhirnya berbalahan kerana sering cemburu dengan kecantikan antar satu sama lain.

Malah, perbalahan ini turut menyebabkan kematian dua orang puteri ini kerana telah berbunuhan antara satu sama lain. Dari kisah inilah lahirnya kisah lagenda mengenai Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang banyak diceritakan kepada generasi muda berikutnya.

Versi 3: Pembunuhan Puteri Sejinjang

lagenda puteri santubong

Kisah ini lebih kurang sahaja dengan versi pertama di atas dimana dua orang puteri daripada kayangan telah dihantar untuk menjaga ketenteraman dua buah kampung yang bersengketa. Namun kerana ingin menarik perhatian Putera Jaya (dalam versi pertama adalah Putera Serapi), kedua orang puteri ini telah bersengketa.

Pada mulanya, ia tidak melibatkan pergaduhan secara fizikal. Namun, Puteri Sejinjang dikatakan telah memulakan terlebih dahulu serangan secara fizikal terhadap Puteri Santubong. Dikatakan juga sewaktu perkelahian dua orang puteri ini, ribut petir telah melanda kawasan kampung mereka selama beberapa hari.

Dalam pergaduhan ini, Puteri Sejinjang telah melepaskan satu tumbukan yang tepat mengenai muka Puteri Santubong. Tumbukan ini telah menyebabkan bahagian rahang mulut Puteri Santubong patah dan menyebabkan kecacatan kekal pada mukanya. Menurut kisahnya, disebabkan hal inilah di puncak Gunung Santubong terdapat kesan lekukan padanya.

Bagi membalas dendam, Puteri Santubong telah membunuh Puteri Sejinjang dengan membaling sebatang tombak yang telah mengena jantungnya. Walaupun Puteri Santubong memenangi perkelahian ini, dia akhirnya menyesal kerana telah membunuh seorang yang sangat rapat dengannya.

Putera Jaya yang mengetahui mengenai pembunuhan ini akhirnya membatalkan hasratnya untuk mengahwini Puteri Santubong. Perkelahian antara kedua puteri ini turut bermakna mereka telah melanggar sumpah yang telah dibuat dan akibatnya mereka telah bertukar menjadi Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.

Lagu Puteri Santubong

Sebagai sebuah kisah lagenda, maka tidak hairanlah kisah lagenda ini telah dijadikan karya sebuah lagu. Sila tonton video dibawah untuk mendengar sendiri kisah mengenai Puter Santubong:

     

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Blog Sejarah Sarawak 



Hakcipta iluminasi.com (2017)