Oleh pada 16 Mar 2018 kategori

Pemahaman undang-undang dan kod tatalaku Islam adalah suatu yang sentiasa berubah sepanjang sejarah Islam. Generasi pertama umat Islam selepas Nabi Muhammad S.A.W. melalui zaman yang lebih mudah dalam menjadi Muslim sebenar kerana mereka mempunyai akses kepada pengetahuan Islam terus daripada Para Sahabat baginda. 

Masa yang kian berlalu walaubagaimanapun memerlukan suatu rujukan terhadap undang-undang dan kod tatalaku Islam yang lebih terperinci, yang mudah untuk diakses oleh kebanyakan umat Islam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

  • Imam Abu Hanifah - Pengasas Mazhab Hanafi
  • Imam Malik - Pengasas Mazhab Maliki
  • Imam As-Syafi'e - Pengasas Mazhab Syafie
  • Imam Ahmad Hanbal - Pengasas Mazhab Hanbali

4 orang imam dalam senarai ini (Imam Abu Hanifa, Imam Ahmad Hanbal, Imam Malik dan Imam Syafie) merupakan invididu-individu penting yang menjalankan tanggungjawab tersebut dalam memastikan generasi umat Islam yang mendatang kekal mengikut ajaran Islam yang sebenar. 

Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi)

kisah ringkas kehidupan imam abu hanifza mazhab hanafi 2

Nama sebenar Imam Abu Hanifa adalah Nu'man ibn Thabit. Beliau dilahirkan pada tahun 699 dalam sebuah keluarga Farsi di sebuah bandar di Iraq, iaitu Kufa. Bapa beliau, Thabit merupakan seorang ahli perniagaan berjaya dan Abu Hanifa berhasrat ingin mengikut jejak langkah bapanya itu. 

Pemerintahan gabenor Al-Hajjaj ibn Yusuf yang menindas membuatkan rakyatnya berasa tertekan. Bagi keluarga Abu Hanifa, mereka lebih fokus kepada menjalankan perniagaan keluarga yang berasaskan pembuatan sutera, dan menjauhkan diri daripada sebarang masalah.

Selepas kematian gabenor Al-Hajjaj pada tahun 713, segala polisi yang menindas ulama di bandar tersebut dihapuskan, dan pengajian Islam mula mendapat tempat di hati rakyat Kufa, terutamanya ketika pemerintahan Umar ibn Abd al-Aziz (717-720).

Ketika di usia remaja, Abu Hanifa mula menuntut ilmu di bawah beberapa ulama tempatan Kufa. Beliau turut berpeluang untuk berjumpa antara 8 hingga 10 orang sahabat Nabi Muhammad S.A.W.. Antaranya termasuklah Anas ibn Malik, Sahl ibn Sa'd dan Jabir ibn Abdullah.

Selepas belajar daripada beberapa orang ulama ulung di Kufa, beliau melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi di Mekah dan Madinah daripada beberapa orang guru termasuklah Ata ibn Abu Rabah, yang merupakan salah seorang ulama terhebat di Mekah pada ketika itu. 

Setelah bertahun-tahun menuntut daripada ulama-ulama besar, beliau akhirnya menjadi pakar dalam perundangan Islam, tafsir Al-Quran dan kalam (mencari ilmu teologi melalui perdebabatan dan logik). Malah, teknik kalam turut menjadi asas metodologi bagi menentukan undang-undang Islam.

Ujian: Ditangkap, dipenjara, dicambuk, diseksa dan dipaksa minum racun oleh pemerintah lalu meninggal dunia kerana tidak setuju dengan dasar-dasar pemerintah.

Imam Malik (Mazhab Maliki)

kisah ringkas kehidupan imam malik mazhab maliki 2

Nama sebenar Imam Malik adalah Malik ibn Anas. Beliau dilahirkan di Kota Madinah pada tahun 711, 79 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. di bandar yang sama. Keluarga Imam Malik berasal daripada Yaman, namun datuknya berpindah ke Madinah ketika pemerintahan Khalifah Umar ibn al-Khattab. 

Kedua bapa dan datuk beliau pernah menuntut ilmu sains agama daripada Para Sahabat yang masih hidup di Madinah. Imam Malik yang masih kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran yang berasaskan pengajian Islam, yang dipelajari daripada bapa dan bapa saudara.

Bapa saudara beliau, iaitu Nafi' adalah seorang ulama terkemuka di Madinah. Nafi' menggunakan hadis yang diriwayatkan daripada Aisha, Abu Hurairah dan Abdullah ibn Umar sebagai sumber kerana ilmu mereka yang luas tentang hadis Rasulullah. 

Walaupun pusat pemerintahan dunia Islam bukan lagi di Madinah ketika zaman Khalifah Ali sekitar tahun 650an, kota ini tetap menjadi ibu negeri keilmuan Islam, memudahkan Imam Malik untuk menguasai ilmu sains hadis, tafsir Al-Quran dan fiqah. 

Selepas bertahun lamanya menuntut ilmu dari kecil hingga ke usia 30an, Imam Malik menjadi terkenal sebagai orang yang paling berilmu di Madinah ketika zaman itu. Beliau kemudiannya menjadi guru, berjaya menarik ramai pelajar untuk mendengar kuliah, yang kerap kali diadakan di masjid Nabi, iaitu Masjid an-Nabawi. 

Beliau selalunya akan duduk di mimbar masjid dengan Al-Quran di sebelah tangan dan sebuah koleksi hadis di sebelah tangan yang lain, sambil memberi pendapat berkaitan undang-undang Islam berdasarkan 2 sumber ini. 

Antara pelajar yang tertarik untuk menghadiri kuliah beliau termasuklah Abu Yusuf dan Muhammad al-Shaybani yang merupakan 2 orang murid penting Imam Abu Hanifa). Imam Al-Shafie adalah antara murid beliau juga.

Ujian: Dicambuk dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya oleh pemerintah kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah.

Imam Al-Shafie (Mazhab Shafie / Mazhab Syafie)

kisah ringkas kehidupan imam shafie imam syafie 2

Nama sebenar beliau adalah Muhammad ibn Idris al-Shafie. Imam Shafie dilahirkan pada tahun 767 (tahun Imam Abu Hanifa meninggal dunia) di Gaza, Palestin. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil, dan beliau bersama ibu lantas berpindah ke Mekah bagi bersama keluarga yang menetap di sana. Keluarga beliau sebenarnya berasal daripada Yaman.

Walaupun ekonomi keluarga tidak stabil, ibu beliau menegaskan agar beliau menuntut ilmu dalam pengajian Islam kerana mereka mempunyai pertalian darah dengan Nabi Muhammad S.A.W..

Sebagai seorang anak muda, beliau diajar tentang tatabahasa Arab, kesusasteraan dan sejarah. Beliau terpaksa menulis nota di atas tulang haiwan kerana tidak mampu untuk membeli bahan penulisan yang lebih baik. Namun begitu, beliau berjaya menghafal Al-Quran ketika berusia 7 tahun. 

Sejak itu, beliau mula mendalami ilmu fiqah, dan menghafal beberapa buah buku fiqah terkenal pada ketika itu. Antara buku fiqah yang dihafal adalah Muwatta (oleh Imam Malik) ketika berusia 10 tahun.

Ketika berusia 13 tahun, Imam Shafie secara peribadi telah diarahkan oleh Gabenor Mekah untuk menuntut ilmu daripada Imam Malik sendiri di Madinah. Imam Malik yang sangat kagum dengan kepintaran dan kecerdasan minda anak muda ini, membuat keputusan untuk memberikan bantuan kewangan agar beliau dapat kekal meneruskan pengajian dalam pengajian fiqah. 

Selain Imam Malik, beliau turut belajar daripada murid Imam Hanifa iaitu Imam Muhammad al-Shaybani. Pendedahan pendekatan kepada ilmu fiqah daripada guru yang berbeza sangat bermanfaat buat Imam Shafie. Walaupun hanya berusia 20an, Imam Shafie terkenal sebagai ulama yang sangat berpengetahuan.

Ujian: Tangan dan kakinya dirantai lalu dibawa menghadap pemerintah dan hampir-hampir dipancung kerana dituduh Syiah dan pemecah-belah masyarakat.

Imam Ahmad Hanbal (Mazhab Hanbali)

kisah ringkas kehidupan imam hanbal mazhab hanbali 2

Nama sebenar beliau adalah Ahmad ibn Hanbal al-Shaybani. Beliau dilahirkan di Baghdad (ibu negeri Kerajaan Abbasiyah) pada tahun 778. Bandar yang baru sahaja ditubuhkan itu sangat pantas menjadi pusat pengajian Islam. Sebagai anak kecil, Imam Hanbal mempunyai banyak peluang untuk mempelajari dan mengembangkan ilmu pengetahuan. 

Pada usia 10 tahun, beliau berjaya menghafal keseluruhan Al-Quran dan mula mempelajari hadis Nabi Muhammad S.A.W.. Seperti Imam Shafie, Imam Hanbal juga kehilangan bapa sejak kecil lagi. Selain memperuntukkan masa untuk mempelajari ilmu fiqah dan hadis daripada ulama terhebat di Baghdad, beliau juga bekerja bagi menyara keluarga. 

Beliau berpeluang menuntut ilmu berkaitan fiqah daripada Abu Yusuf (anak murid terdekat Imam Abu Hanifa). Selepas mahir dalam Mazhab Hanafi, beliau mula berguru dengan ulama besar Baghdad seperti Haitham ibn Bishr.

Selepas tamat pengajian di Baghdad, beliau mengembara ke Mekah, Madinah, Yaman dan Syria bagi meluaskan ilmu pengetahuan. Semasa pengembaraan ini, beliau sempat bertemu dengan Imam Shafie di Mekah. Imam Shafie membantu Imam Hanbal yang masih muda untuk memahami prinsip di sebalik hadis dan ilmu fiqah.

Kerjasama antara kedua Imam ini jelas menunjukkan bahawa tiada permusuhan antara mazhab yang berlainan. Malah, sebelum meninggalkan Baghdad, Imam Syafie telah direkodkan berkata, "Aku meninggalkan Baghdad apabila tiada seorang pun yang lebih alim, lebih bijak mengukum berbanding Ahmad ibn Hanbal.".

Pada tahun 820, pada ketika Imam Hanbal berusia 40 tahun, guru beliau Imam Shafie meninggal dunia. Pada ketika itu, Imam Hanbal mula mengajar hadis dan fiqah kepada rakyat Baghdad. Walaupun tinggal di ibu negeri kerajaan Islam pada ketika itu, Imam Hanbal enggan tertarik dengan kehidupan mewah walaupun ramai yang cuba menawarkan hadiah dan sebagainya kepada beliau. Beliau terus hidup secara bersederhana bebas daripada pengaruh politik yang berupaya memberikan kesan kepada ajaran yang dibawa beliau. 

Ujian: Dipenjara oleh pemerintah dan dirotan belakangnya hingga hampir terlucut kainnya kerana mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan kehendak pemerintah. Pemerintah menganggap mereka lebih betul daripada ulama.

Kesimpulan

Berdasarkan kisah hidup keempat-empat imam ulung ilmu fiqah ini, kita dapat simpulkan mereka mempunyai keimanan yang sangat teguh dalam menegakkan syiar Islam dan berani kerana yakin Allah ada bersama mereka. Ujian yang diterima tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menyebarkan ilmu pengajian Islam. 

Sumber:

  1. islamcan.com
  2. lostislamichistory.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)