Oleh pada 10 Jun 2017 kategori

Rasulullah saw. dan umat Islam menunaikan solat mereka dengan berkiblatkan Baitul Muqaddis atau Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Rasulullah saw yang kini terletak di negara Palestin.

Masjid al-Aqsa dipilih kerana Allah swt. memerintahkan Rasulullah saw. memilih kiblat umat Islam dari tempat yang suci dan bebas daripada binaan berhala atau tempat sembahan yang melanggar perintah Allah swt.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada waktu tersebut, Masjid al-Aqsa adalah tempat yang lebih sesuai jika dibandingkan dengan Masjidil Haram kerana di sekeliling Masjidil Haram, terdapat 309 binaan berhala yang masih disembah oleh orang Arab.

Wujud rasa gusar jika ada pihak yang akan mempermainkan isu jika Rasulullah saw. menjadikan Masjidil Haram sebagai kiblat, dikhuatiri penyembah berhala akan mengatakan yang Rasulullah saw. sebenarnya mengakui berhala-berhala itu Tuhan dia.

Rasulullah saw. dan umat Islam mengerjakan solat dengan berkiblatkan Baitul Muqaddis sehinggalah perpindahan mereka ke Madinah yang membuatkan Rasulullah dan umat Islam terpaksa membelakangi Kaabah, untuk membolehkan mereka mengadap ke Baitul Muqaddis.

Atas rasa sayang yang amat sangat pada Kaabah kerana sejarah Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim as. dan anaknya Nabi Ismail as, membelakangi Kaabah adalah sesuatu yang kurang digemari Rasulullah.

Selama lebih 16 bulan Rasulullah saw. berdoa setiap hari selepas berlakunya Hijrah supaya Allah swt. memberikan beliau petunjuk untuk memilih arah kiblat yang terbaik bagi umat Islam, dari Baitul Muqaddis ke Baitul Haram iaitu Kaabah. 

Solat pertama selepas perubahan kiblat

iluminasi kiblat kaabah al aqsa jerusalem mekah3

Solat pertama yang dilakukan menggunakan kiblat mengadap Kaabah adalah solat Asar yang didirikan di sebuah Masjid bernama Masjid Bani Salamah, masjid  yang dibina  di atas bekas tapak rumah Bani Salamah. Ketika mengimamkan solat Asar tersebut, Malaikat Jibrail menyampaikan wahyu kepada Rasulullah saw. dalam ayat 144 surah Al-Baqarah yang berbunyi.

"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab (injil dan Taurat), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan."

Allah swt. mengabulkan permintaan Rasulullah saw. pada ketika itu untuk menukarkan kiblat orang Islam dari Baitul Muqaddis ke Kaabah.

Jemaah Islam pada hari itu menunaikan solat Asar 2 rakaat mengadap Baitul Muqaddis dan 2 rakaat mengadap Kaabah atas perintah Rasulullah saw. Peristiwa itu menukar nama Masjid Bani Salamah menjadi sebagai Masjid Qiblatain atau 'masjid dua kiblat', selepas menjadi satu-satunya tempat di mana umat Islam melakukan solat mengadap dua kiblat.

Dugaan daripada orang Yahudi

iluminasi kiblat kaabah al aqsa jerusalem mekah2

Kitab-kitab lama orang Yahudi ada meramalkan akan muncul seorang pesuruh Tuhan yang menukarkan kiblat umatnya dari Jerusalem ke tapak rumah Nabi Ibrahim as.

Mengetahui pemimpinberita ini,  orang Yahudi beramai-ramai menemui Rasulullah saw. untuk menawarkan diri memeluk Islam, asalkan kiblat umat Islam ditukar semula kepada Jerusalem.

Allah swt. memberi panduan kepada Rasulullah saw. untuk menghadapi tawaran pemimpin orang Yahudi itu dengan pesanan dalam ayat 145 surah al-Baqarah;

"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim."

Tawaran itu akhirnya ditolak dan kiblat umat Islam kekal sehingga ke hari ini, di Masjidil Haram. Begitulah serba sedikit kisah peristiwa perubahan kiblat dari Baitulmuqaddis di Palestin ke Masjidil Haram di Mekah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)