Oleh pada 05 Feb 2022 kategori

Dalam dunia sukan, sang juara biasanya akan menjadi perhatian media serta para penonton. Tambahan pula jika mereka mencipta rekod baru dan terbaik dalam sukan yang dipertandingkan.

Namun, berbeza kisahnya mengenai seorang perenang daripada Equatorial Guinea bernama Eric Moussambani. Walaupun mencatatkan antara rekod terburuk dalam sukan Olimpik tetapi dia menjadi perhatian media dan penonton di seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kisah perenang Olimpik paling perlahan dalam sejarah.

Minat mendalam dalam sukan renang

Eric menyedari bahawa dirinya minat untuk berenang sejurus selepas menamatkan sekolah menengah. Tidak seperti atlet sukan lain yang mahir berenang sejak dari kecil, Eric tidak tahu berenang sama sekali.

kolam renang eric moussambani

Kolam renang hotel yang digunakan untuk latihan Eric selama 3 jam seminggu

Walau bagaimanapun, dia ingin menceburi sukan itu. Malangnya, Eric menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses menggunakan kolam renang untuk latihannya.

Di Equatorial Guinea, bola sepak telah diperkenalkan selama hampir 200 tahun oleh penjajah Sepanyol dan merupakan sukan paling popular di negara itu. Hidup di negara yang gilakan bola sepak, sukar untuk Eric Moussambani berlatih dengan konsisten.

Akhirnya, dia menjumpai kolam hotel bersaiz 13 meter tetapi Eric hanya mempunyai akses selama tiga jam seminggu sahaja. Pada hari-hari lain, dia berlatih berenang di sungai dan Lautan Atlantik dengan nelayan tempatan membimbingnya tentang cara menggunakan kaki dan tangan untuk kekal terapung.

Selepas 8 bulan berlatih, Eric mendapat tawaran menyertai Sukan Olimpik Musim Panas 2000 apabila Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa memilih beberapa negara membangun untuk mempromosikan sukan mereka di mata dunia.

Pertama kali meninggalkan negara

Ia merupakan kali pertama Eric Moussambani meninggalkan negaranya untuk mengembara ke Australia yang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik ketika itu.

Buat pertama kali jugalah, Eric melihat sendiri kolam renang bersaiz Olimpik sepanjang 50 meter. Kolam itu sangat besar sehingga Eric berasa takut dan tidak yakin untuk bertanding.

eric moussambani sydney

Beberapa hari sebelum acara sebenar, Eric berlatih dengan pasukan renang Amerika yang membenarkannya untuk mempelajari teknik renang mereka. Dia juga meminta nasihat daripada pasukan renang dan jurulatih negara lain.

Segelintir tidak mengendahkan permintaan Eric tetapi kebanyakannya menghulurkan bantuan. Seorang jurulatih Afrika Selatan bekerjasama dengan Eric untuk memperbaiki tekniknya. Jurulatih itu juga melihat Eric memakai sepasang seluar renang Bermuda yang dibelinya di kedai terpakai.

Jurulatih itu memberitahu Eric bahawa dia tidak boleh menggunakan pakaian negara lain pada acara sebenar dan akan dibatalkan kelayakannya. Akhirnya, jurulatih itu membeli seluar renang dan goggle baru untuk Eric. Disebabkan itu, Eric berasa lebih yakin untuk menyerti perlumbaan itu.

Rekod paling perlahan dalam sejarah Olimpik

Walaupun yakin untuk bertanding, Eric sebenarnya mempunyai satu lagi masalah besar. Dia sebenarnya tidak tahu menyelaraskan pernafasannya ketika berenang. Ia adalah teknik yang sangat penting bagi seorang perenang.

Pada hari acara renang bebas 100 meter, Eric Moussambani memulakan saingan pertama bersama perenang dari Niger iaitu Karim Bare dan perenang Tajikistan, Farkhad Oripov.

Tanpa disangka-sangka, Karim Bare dan Farkhad Oripov dibatalkan kelayakan kerana memulakan perlumbaan terlalu awal. Ini meninggalkan Eric sebagai satu-satunya perenang.

Di hadapan 17,000 penonton dan jutaan yang lain di rumah, Eric Moussambani memulakan renangannya. Pada 50 meter pertama, Eric kelihatan bertenaga tetapi kelemahan teknik pernafasan yang betul membuatkannya cepat penat. Eric bergelut untuk menghabiskan 50 meter terakhirnya.

Akhirnya, Eric Moussambani berjaya menghabiskan acara renang 100 meter dengan catatan masa selama 1 minit 52.72 saat. Ia merupakan rekod renang paling perlahan dalam sejarah Olimpik. Namun, penonton bersorak untuknya seolah-olah dia berjaya memecahkan rekod dunia.

Eric si Belut

Diberi julukan sebagai Eric si Belut, dia menjadi perhatian media. Dia ditemuramah, dijemput dalam pelbagai acara dan diberikan tajaan.

eric si belut

Pada tahun 2004, Eric berjaya memperbaiki rekod persendiriannya kepada 56.9 saat dan pada tahun 2006, 52.18 saat. Malangnya, Eric tidak dapat bertanding dalam Sukan Olimpik Athens 2004 kerana masalah pasport.

Kini, dia mempunyai dua kerjaya iaitu bekerja di sebuah syarikat minyak dan menjadi jurulatih untuk pasukan renang kebangsaan Equatorial Guinea. Kini, pasukan renang negara itu sudah mempunyai kemudahan dua kolam renang bersaiz Olimpik.

Walaupun memegang rekod renang paling perlahan dalam sejarah Olimpik, Eric Moussambani sebenarnya telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja dapat mencapai impian mereka jika berusaha bersungguh-sungguh dan yakin dengan diri sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)