Oleh pada 06 Jun 2017 kategori

umar

Saidina Umar Al-Khattab merupakan seorang daripada sahabat Rasulullah S.A.W dan juga khalifah Islam ke-2 selepas kewafatan Saidina Abu Bakar. Apabila mendengar namanya, pasti anda akan teringatkan sifatnya yang sangat berani, tegas, adil, sederhana dan juga bertanggungjawab. Sifat bertanggungjawabnya itu ditunjukkan dengan mendahului kepentingan rakyatnya lebih daripada kepentingan dirinya.

Selain terkenal dengan sifat tegas, beliau juga memiliki sifat yang sangat lemah lembut dan kasih sayang terhadap rakyatnya.

Saidina Umar takut jika rakyatnya terabai

1920x1080 d

Muawiyah bin Hudaij RA datang kepada Umar rentetan daripada penawanan Iskandariyah, dan lantas mengikat haiwan tunggangannya. Ketika itu keluar seorang kanak-kanak perempuan dan terlihat olehnya Umar yang kelihatan seperti letih kerana bersafar. Lalu dihidangkan oleh kanak-kanak itu kepada Umar dengan roti, buah zaitun dan kurma dan Umar pun mula makan makanan tersebut. Kemudia Umar bertanyakan kepada Muawiyah "Wahai Muawiyah, apakah yang diperkatakan olehmu sebentar tadi ketika engkau singgah di masjid?,". Lalu jawab Muawiyah "Aku berkata bahawa engkau Amirul Mukminin sedang tidur di waktu siang,". 

Lalu Umar pun membalas, "Sungguh tidak baik sekali apa yang engkau katakan itu dan alangkah buruknya apa yang engkau sangkakan itu. Jika aku tidur di waktu siang, maka sesungguhnya aku telah mengabaikan rakyatku dan jika aku tidur di waktu malam maka aku telah merugikan diriku sendiri (kerana tak bangun solat malam). Jadi beritahu padaku bagaimana aku dapat tidur di kedua-dua waktu tersebut wahai Muawiyah?,"

Apa yang dimaksudkan oleh Muawiyah berkemungkinan adalah beliau kasihankan Umar yang letih kerana bersafar dan mahukan Umar supaya berehat. Bahkan rakyat jelata juga pastinya akan memahami dan mengasihani pemimpin mereka yang sangat telus dan bertanggungjawab itu sehinggakan mereka rela jika Umar berehat. Namun bagi Umar, beliau risau jika rehat dan tidurnya itu akan menghalang rakyatnya untuk mengadu kemahuan dan keinginan mereka kepadanya. Betapa dasyatnya peribadi Umar sebagai seorang pemimpin.

timthumb

Umar berkata lagi, "Jika terdapat seekor unta yang mati kerana tidak diuruskan dengan baik, aku sangat takut jika Allah memintaku untuk bertanggungjawab atas kelalaian hal tersebut,". Subhanallah jika rasa tanggungjawab Amirul Mukminin ini terhadap seekor unta sahaja pun sudah sedemikian rupa, bayangkan rasa tanggungjawabnya terhadap rakyatnya pula?

Ketika Umar mengerjakan haji terakhir dalam hidupnya, beliau duduk bersimpuh lalu mengangkatkan tinggi kedua belah tangannya ke langit ambil berdoa, "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya umurku sudah semakin menua dan tubuh badanku sudah semakin lemah, sedangkan rakyatku semakin bertambah, maka Engkau cabutlah nyawaku ketika aku berada dalam keadaan yang tidak merugikan,"

Tumpuan yang mendalam terhadap rakyatnya

Pernah Abdullah bin Abbas RA memberitahu, "Setiap kali selepas solat, Umar akan duduk bersama-sama rakyatnya dan rakyatnya pula akan datang mengadukan apa yang diperlukan kepada Umar. Umar kemudiannya akan meneliti permintaan tersebut. Kebiasaan yang dilakukan oleh Umar adalah beliau akan duduk menyemak keperluan rakyatnya setelah selesai solat subuh sehingga terbitnya matahari. Kemudian barulah beliau pulang ke rumahnya,"

20130319 umar 642

Malah ada sebahagian rakyatnya yang berasa segan dan malu untuk mengadu masalah mereka kepada Saidina Umar kerana kewibawaannya sebagai seorang pemimpin. Oleh kerana perkara itu, beberapa orang sahabat; Ali bin Abi Thalib, Utsman bin Affan, Thalhah bin Ubaidillah, az-Zubair bin al-Awwam, Abdurrahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqqash bercadang untuk memberitahu Umar mengenai perihal itu.

Lalu Abdurrahman bin Auf yang paling berani untuk membicarakan perkara itu mara ke hadapan untuk berbincang dengan Umar. Berkata Abdurrahman kepada Umar, "Wahai Umar, berlemah lembutlah dengan rakyatmu kerana ada di antara mereka yang datang berjumpa denganmu tetapi keperluan mereka tidak terucap kepadamu kerana kewibawaanmu yang sangat tinggi. Lalu mereka pun pulang tanpa membicarakan apa-apa.

0835f1c0eb9c27bcc360a05c67a08686

Umar dengan tenangnya menjawab pertanyaan Abdurrahman, "Wahai sahabatku, sesungguhnya dan demi Allah, aku telah pun melayan rakyatku dengan selembutnya sehinggakan aku takut kepada Allah jika aku berlebihan dalam berlemah lembut dengan mereka. Dan sesungguhnya, aku juga bersikap tegas terhadap mereka sehinggakan aku takut kepada Allah jika ketegasan aku melampaui batas. Jadi, beritahuku, apa yang harus aku lakukan lagi,". Mendengar jawapan Umar lalu tertitislah air mata Abdurrahman membasahi pipinya.

Adil dan saksama dalam melayani rakyat

Umar sering bertanyakan mengenai khabar dan keperluan kepada masyarakat yang tinggal jauh dari Kota Madinah seperti di Iraq, Syam dan lain-lain. Beliau akan mengirimkan utusannya untuk pergi ke kota-kota tersebut dan meneliti keperluan dan keinginan mereka. Bukan itu sahaja, beliau sendiri membuat kunjungan secara terus untuk melihat keadaan rakyatnya yang ditadbir oleh gabenornya.

db57366223f43a22ef7a4834402a8fd9 584

Kesungguhan beliau untuk menyenangkan dan memenuhi keperluan rakyatnya membuatkan beliau berusaha dengan kuat sehinggakan beliau mahu janda-janda yang tidak mempunyai sesiapa yang menanggung mereka berasa cukup dengan bantuannya dan tidak lagi berharap kepada lelaki-lelaki lain.

Pemimpin yang didambakan semua

 500

Begitulah sifat seorang pemimpin yang sangat menyayangi rakyatnya dan juga disayangi rakyatnya. Peribadi dan sikap Umar terhadap rakyatnya ini adalah definisi sebenar suatu kepimpinan dengan menunjukkan contoh dan teladan melalui perkatan dan perbuatan. Walk the talk bak kata orang putih.

Kesungguhannya untuk menyenangkan dan memakmurkan hidup rakyatnya adalah melebihi keinginan dirinya untuk hidup senang. Tiada apa yang lebih senang bagi Umar daripada melihat rakyatnya cukup akan keperluan. Setiap pemimpin yang baik akan menerajui masyarakat dengan baik, dan masyarakat yang baik akan melahirkan pemimpin yang baik. Manakala masyarakat yang buruk akan melahirkan pemimpin yang kurang dari segala segi dan mereka akan memilih pemimpin mereka berdasarkan nafsu dan kepentingan diri sendiri.

Semoga kita menjadi masyarakat yang baik dan dikurniakan pemimpin yang baik, seperti Khulafa Ar-Rasyidin Saidina Umar Al-Khattab.

Sumber : Dalwa Dakwah


tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)