kisah dan foto terkini penyanyi lagu tabah mazleela 1

Kredit foto: Youtube Suria Records

Walaupun berminat untuk kembali menyinari bidang nyanyian yang diceburinya sejak 1995, penyanyi Mazleela, 46, akur dengan beberapa halangan terutama peranannya yang kini hidup berkeluarga.

Pernah menghasilkan lima album, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Tabah daripada album solo kelimanya itu mengakui, hatinya terpanggil untuk menyemarakkan kembali arus perdana.

Apatah lagi dengan kemunculan semula beberapa sahabat seangkatan, seperti penyanyi Liza Hanim.

kisah dan foto terkini penyanyi lagu tabah mazleela 2

Kredit foto: Instagram Mazleela

“Memang terdetik di hati untuk kembali menyanyi, tetapi banyak perkara yang perlu saya fikirkan buat masa sekarang memandangkan saya dan keluarga menetap di Johor Bahru,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Buat masa ini, kata Maz, minat nyanyiannya disalurkan pada undangan persembahan yang diterima di sekitar Johor.

kisah dan foto terkini penyanyi lagu tabah mazleela 3

Kredit foto: Instagram Mazleela

“Alhamdulillah, banyak undangan membuat persembahan yang saya terima di sekitar Johor dan Singapura.

“Ada juga yang mengundang saya sebagai juri pertandingan nyanyian dan diberi peluang membuat persembahan,” katanya yang juga menghabiskan masa sebagai suri rumah.

Menempa zaman kegemilangan sekitar era awal 2000-an, Maz akui merindui momen sewaktu bernanung di bawah syarikat rakaman, Suria Records (SRC) suatu ketika dahulu. 

kisah dan foto terkini penyanyi lagu tabah mazleela 4

Kredit foto: Instagram Mazleela

“Saya bernaung di bawah SRC untuk jangka masa yang agak lama iaitu sejak 1995 sehinggalah tamat kontrak pada 2005. Secara tak langsung, keakraban saya dan mereka di SRC seperti keluarga.

“Jadi, memang banyak kenangan manis ketika saya masih aktif sebagai penyanyi. Bukan saja dengan penyanyi di bawah label sama, tapi juga dengan rakan eksekutif perhubungan awam (PR),” katanya.

Maz yang diperkenalkan namanya menerusi lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan berkata, kenangan bersama komposer yang dianggap bak guru itu sukar dilupakan. 

kisah dan foto terkini penyanyi lagu tabah mazleela 5

Kredit foto: Instagram Mazleela

“Saya memanggil arwah dengan gelaran Abang Dee. Dia adalah guru buat saya kerana saya masuk ke dalam industri muzik pun dengan lagu ciptaannya.

“Secara peribadi, dia orang yang sangat lucu dan suka menyakat saya. Ketika di studio untuk merakamkan lagu, dia akan minta saya dapatkan ‘mood’ lagu bermula dari bahagian korus.

“Selepas rakamkan bahagian korus, barulah dia akan rakamkan bahagian lain. Awalnya saya rasa pelik, tapi lama-lama dah tahu cara kerjanya,” katanya.


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)