burj khalifa masalah pembentungan sisa buangan

Perancangan bandar merupakan antara isu paling penting yang perlu dirancang teliti, dalam melakar pembangunan sesuatu kawasan. 

Pelan lokasi, pembentungan, saluran air, bekalan gas dan elektrik serta bermacam isu utiliti perlu dirancang cermat agar tiada masalah besar di kemudian hari - apatah lagi apabila kawasan itu banyak menempatkan bangunan-bangunan pencakar langit.

Indah dan mempesonakan di mata orang luar, cabaran membina bangunan pencakar langit membawa 1001 isu berbeza, seperti menara Burj Khalifa yang mempunyai ketinggian 828 meter. Pada satu-satu masa, dianggarkan lebih 10,000 orang berada dalam menara itu. 

Dengan kepadatan sedemikian rupa, isu kumbahan menjadi satu isu penting dicakna sejak mula. Tetapi tahukah anda - menara Burj Khalifa tidak mempunyai sistem pembentungan keluar sendiri sehingga memerlukan satu kaedah tradisional diguna untuk menyelesaikan masalah kumbahan manusia di dalamnya?

Solusi UAE untuk tangani isu kumbahan menara pencakar langit

lori pengangkut najis dubai beratur tunggu giliran

Sehingga ke hari ini, Dubai yang merupakan bandar terbesar dari segi populasi di negara Emiriyah Arab Bersatu mengalami masalah sistem kumbahan yang sedang giat diselesaikan, dijangka tamat beberapa tahun lagi.

Kemajuan yang terlalu cepat berlaku tanpa perancangan yang mampan, menyebabkan banyak kawasan baru yang dibuka tidak dihubungkan dengan sistem kumbahan utama yang dihubungkan terus ke loji sanitasi sedia ada. 

Untuk menyelesaikan masalah ini sementara isu pembentungan ini diselesaikan, pihak berkuasa Dubai sekitar awal dekad 2000 membuka kontrak kepada syarikat-syarikat pengangkut untuk mengangkut sisa-sisa manusia menggunakan lori setiap hari secara manual, ke loji sanitasi.

Malangnya sehingga ke hari ini kaedah penggunaan lori ini masih perlu dijalankan walaupun tidaklah seperti awal dahulu. Penggunaan lori ini mengakibatkan barisan panjang lori-lori yang beratur untuk menunggu giliran mereka atas jalan satu pemandangan biasa penduduk Dubai pada zaman kemuncaknya.

Apa yang menjadi masalah, ekoran waktu menunggu yang terlalu lama ada pemandu yang hilang sabar memilih untuk membuang saja muatan yang mereka bawa ke kawasan berdekatan seperti laut.

Beberapa pihak tidak bertanggungjawab juga mengambil jalan pintas menggunakan kaedah penggunaan lori ini untuk membuang sisa bertoksik yang tidak sepatutnya berlaku, ke dalam loji sanitasi sehingga mengakibatkan pencemaran bekalan air.

Kebergantungan sistem kumbahan mereka dengan penggunaan lori-lori pengangkut ini telah mewujudkan kegusaran di kalangan penduduk Dubai. Mereka berhadapan ancaman bekalan air tercemar serta kes-kes pemandu yang sengaja membuang sisa ke laut sehingga mencemarkan pantai yang ada, mengakibatkan air kotor serta bau persekitaran yang busuk.

Burj Khalifa merupakan salah satu bangunan yang diuruskan sedemikian rupa buat sementara menggunakan lori pengangkut najis, walaupun bergelar bangunan tertinggi di dunia. 

Sistem pembentungan Dubai yang klasik

lori septik dubai buang sisa kumbahan

Menara tinggi menjadi antara masalah utama pihak berkuasa Dubai ekoran sistem pembentungan utama dalam tanah sedia ada tidak dapat disambungkan dengan menara seperti Burj Khalifa. Kenapa ini berlaku? 

Saliran kumbahan yang ada dijangkakan tidak mampu menampung jumlah populasi menara-menara yang dibina di Dubai khasnya menara seperti Burj Khalifa yang mempunyai kepadatan tinggi.

Pemerintah Dubai mengambil keputusan meneruskan dahulu pembinaan menara ini dengan harapan sistem pembentungan berkapasiti lebih tinggi dibina kemudiannya.

Ada juga pihak mendakwa keputusan itu dibuat bagi mengurangkan beban hutang yang ditanggung kerajaan UAE, agar perbelanjaan dapat dikeluarkan secara lebih berkala berbanding perlu mengeluarkan dana sekaligus untuk membina menara dan menambah baik sistem saliran bawah tanah yang ada serentak.

Ekoran daripada keputusan itu, lori-lori pengangkut mula aktif hari demi hari di Burj Khalifa.

Semua sisa kumbahan tak kiralah apa saja jenisnya, akan melalui saluran-saluran paip yang dipasang sepanjang menara itu secara berselirat bagi membolehkan kelajuan sisa-sisa itu diperlahankan ketika dialirkan ke bawah.

Kesemua saluran yang digunapakai diwajibkan bersifat kalis bunyi bagi memastikan keamanan populasi Burj Khalifa tidak terjejas, sehinggalah semua sisa kumbahan tiba dipenamatnya iaitu beberapa buah tangki septik. 

Selepas dikumpulkan dalam tangki septik, semua sisa akan dipam ke dalam tangki lori untuk diangkut keluar oleh lori-lori pengangkut yang hadir setiap hari di Burj Khalifa.

Destinasi seterusnya adalah loji sanitasi yang terletak di Pelabuhan Jebel Ali, kira-kira 30 minit perjalanan dari menara tersebut.

jebel ali loji sanitasi bekalan air

Dianggarkan angka kutipan sehari lori-lori pengangkut sisa kumbahan hanya dari menara itu sahaja mampu mencecah lebih 8 tan. 

Selepas menerima 'pakej' dari Burj Khalifa, semua pemandu lori bergerak sebelum tiba di pusat sanitasi, beratur menunggu giliran mereka. Proses menunggu ini dikatakan memakan masa yang sangat lama. Pada waktu kemuncak, seorang pemandu perlu menunggu di antara 24 ke 40 jam hanya untuk tiba ke gilirannya.

Mungkin inilah sebabnya kenapa ada pemandu yang memilih untuk membuang sisa kumbahan lori mereka di mana sahaja mereka rasa sesuai.

Bukan semua orang boleh bersabar menguruskan sisa pepejal individu lain setiap hari. Lagipun, bukan Burj Khalifa saja menara yang mengguna pakai sistem sedemikian rupa. 

Dubai bakal miliki sistem pembentungan bawah tanah moden

dubai banyak menara pencakar langit

Jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain seperti Hong Kong atau New York, Dubai jauh mendahului bandar-bandar itu dari segi bilangan menara pencakar langit yang ada.

Melalui kiraan terakhir, Dubai kini mempunyai 108 buah menara yang mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 180 meter. Tidak diketahui berapakah bilangan menara yang masih bergantung kepada sistem kumbahan berasaskan lori pengangkut, daripada keseluruhan jumlah tersebut.

Reputasi yang terjejas serta masalah pencemaran yang berlaku, sedikit-sebanyak memalukan imej Dubai di mata dunia.

Pada tahun 2011, pihak berkuasa Dubai mula merancang dengan lebih teliti penyambungan beberapa kawasan yang baru dibuka terus ke sambungan saliran, ekoran pembukaan loji sanitasi di Jebel Ali yang menambah kapasiti pemprosesan.

Pada tahun 2017, kerajaan UAE mengumumkan mereka sedang memulakan pembinaan sistem kumbahan baru menggunakan terowong dasar tanah bermula tahun 2019, dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Melalui pembinaan dua terowong ini yang dibina pada kedalaman 90 meter dari permukaan, kesemua lokasi akan berjaya disambung lebih 140 km saluran sedia ada, membolehkan semua masalah sanitasi dan kumbahan di Dubai.

Tidak diketahui adakah Burj Khalifa sudah atau belum disambungkan ke saluran kumbahan utama bandar tersebut setakat artikel ini ditulis.

Masalah pelupusan secara haram masih menjadi masalah utama di bandar tersebut, tidak dibantu purata pendapatan bulanan pemandu lori ini yang rata-rata datang dari kelompok pekerja asing, hanyalah sekitar AED2500 ke 2700 bersamaan RM2885 hingga RM3115.

Jika seseorang itu perlu menunggu dalam barisan lebih 24 jam hanya untuk menguruskan nyahtinja orang lain, tak memadai rasanya gaji yang ditawarkan dengan apa yang perlu diuruskan. 

Rujukan

How The World's Tallest Skyscrapers Work

UAE 2030 Agenda

The Incredible Story Of How The Burj Khalifa’s Poop is Trucked Out of Town



Hakcipta iluminasi.com (2017)