Kredit foto: Instagram Hael Husaini

Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, menganggap kemenangannya meraih trofi utama Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) sebagai rezeki untuk anak angkat beliau, Nur Helena.

Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 29, berkata, selepas kehadiran Helena tahun lalu, rezekinya secara tiba-tiba datang mencurah-curah.

"Saya dedikasikan trofi ini kepada anak angkat, Helena kerana sejak dia hadir dalam hidup, rezeki semakin murah dan saya tidak menolak ini juga adalah rezeki kami.

“Meski pada awalnya agak ragu-ragu mengambil anak angkat, bagaimanapun semuanya dipermudahkan dan saya memang tidak boleh hidup tanpanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Hael berkata, pujian yang diraih terhadap lagunya, Jampi bukanlah tiket untuk dia bersikap sambil lewa beraksi mempersembahkan karya itu di pentas AJL32.

kemenangan untuk helena hael husaini 2

Kredit foto: Instagram @tv3

Terdahulu, Jampi ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) apabila dinobatkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, malam Ahad.

Kemenangan itu melayakkan mereka meraih wang tunai RM50,000, baucer produk CJ Wow Shop bernilai RM10,000 dan trofi.

Dalam perkembangan lain, Hael baru selesai menyiapkan rakaman single terbaru Stacy dan Ayda Jebat.

Lebih istimewa, beliau juga dalam proses perbincangan untuk projek kolaborasi bersama penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Insya-ALLAH, saya ada rancang untuk kerjasama dengan Datuk Siti. Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan. Kalau jadi, ya tahun ini," katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)