jampi hael husaini ungguli anugerah juara lagu 32 1

Kredit foto: Instagram @tv3malaysia

Lagu Jampi ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) apabila dinobatkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu melayakkan mereka meraih wang tunai RM50,000, baucer produk CJ Wow Shop bernilai RM10,000 dan trofi.

Manakala naib juara menjadi milik Sejati karya Faizal Tahir dan Mike Chan, dinyanyian oleh Azmi Caliph Busker. Mereka membawa pulang RM35,000 berserta trofi.

Lagu Tergantung Sepi ciptaan Gouffran dan Ibnu dendangan Haqiem Rusli menduduki tangga ketiga, sekaligus menerima ganjaran berupa trofi dan wang tunai RM20,000.

jampi hael husaini ungguli anugerah juara lagu 32 2

Kredit foto: BH Online

Dalam pada itu, Syamel dan Ernie Zakri merangkul anugerah Vokal Terbaik. Mereka meraih wang tunai RM12,000, trofi, dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Altimet menerusi Amboi menang kategori Persembahan Terbaik dan menerima ganjaran wang tunai RM12,000, sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A8 dan trofi.

Tidak ketinggalan, penyanyi Khai Bahar dikurniakan Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung sekaligus membawa pulang trofi dan telefon pintar Samsung A8+.

Kesemua 12 finalis yang berentap ialah Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan Ajai nyanyian oleh Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Tidak terkecuali, Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahanda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

Barisan juri profesional seramai 10 orang diketuai komposer terkemuka, Azmeer.

Sementara itu, acara berprestij itu dibuka oleh persembahan Stacy, Waris, AG Coco dan Edrie Hashim menerusi lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

Nama-nama lagenda iaitu Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk Awie dan Siti Sarah juga tampil dalam segmen istimewa, membawa lagu-lagu popular era Pop Yeh-Yeh seperti Tak Mengapa, Suzana, Hidup Bersama, Syurga Idaman, Siapa Gerangan dan Kenanganku.

Istimewanya dalam penganjuran tahun ini, AJL32 mengangkat tema Fesyen dan Muzik dengan menekankan kedua-dua elemen ini sering bergerak seiring dan saling melengkapi.

Rekaan trofi adalah ilham pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.

Acara hiburan tersebut ke udara secara langsung di saluran TV3, dikemudi pasangan hos Alif Satar dan Sherry Al-hadad.

Sumber berita: Mstar


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)