amira othman serasi dengan hael husaini

Kredit foto: Instagram Hael Husaini & Instagram Amira Othman

Rezeki penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini bertambah murah apabila karyanya terus menjadi rebutan penyanyi-penyanyi terkenal masa kini, termasuk Amira Othman.

Kerjasama Amira dan Hael sebelum ini dalam single Hati Hati, yang juga runut bunyi drama rantaian Sha & Shah, bakal berkesinambungan dalam lagu terbaharu bertajuk Mimpi Indah.

Amira, 24, meyakini kredibiliti komposer muda itu dalam mengukuhkan lagi jenamanya sebagai penyanyi menerusi penghasilan single keempat.

Antara deretan lagu hits yang pernah dicipta Hael termasuk Girl (Dafi), Semua Untuk Cinta (Indah Ruhaila), Rempuh (Tomok dan Black), Dia (Dayang Nurfaezah), Cemburu dan Pematah Hati (Nabila Razali).

"Selepas Hati-Hati, secara tidak langsung saya percaya Hael lebih tahu arah tuju dan genre lagu yang sesuai dengan saya. Dia seorang komposer yang sangat kreatif.

"Selalunya, saya menyukai idea yang dicetuskan olehnya. Malah, kami juga boleh dikatakan mempunyai pendapat lebih kurang sama dalam perbincangan berkaitan pembikinan lagu," katanya menurut portal BH Online.

Lagu yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim itu bakal dilancarkan bulan hadapan.

"Sekarang, kami masih dalam proses menyunting video muzik lagu berkenaan. Andai tiada aral melintang, lagu ini akan mula dipromosikan dalam masa terdekat.

"Ketika ini, saya berehat seketika daripada lakonan bagi memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian, yang ditinggalkan sejak setahun lalu," katanya yang meledak dengan drama popular, Red Velvet.

Dalam perkembangan lain, Amira kini dilihat sering berkongsi foto bersenam bersama jurulatih kecergasan di laman sosialnya.

Ulasnya, "Selama ini, saya hanya berenang untuk mengekalkan stamina. Cuma kebelakangan ini, saya cuba pula berlatih menggunakan beban bersama-sama jurulatih kecergasan.

"Bukannya apa, saya cuma mahu lebih berasa cergas apabila menyanyi dan berlakon. Lagipun, usia kita pun bukannya makin menurun."

Sumber berita: BH Online

tags : , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)