Kredit foto: Instagram Awal Ashaari

Pengacara popular Awal Ashaari terbuka menceritakan semula kejadian sebenar episod hitam kemalangan ngeri yang melandanya, tiga tahun lalu.

Bekas pengacara program hiburan Melodi ini menggambarkan secara terperinci apa yang berlaku dalam kemalangan itu sebelum dia dikejarkan ke hospital.

kemalangan ngeri awal ashaari dua tulang belakang retak tulang koksik pecah kereta remuk enjin tercabut 2

Kredit foto: Instagram Awal Ashaari 

"Ini kali pertama saya membuka semula kisah yang sudah saya campak jauh-jauh dari hidup saya.

"Ketika kejadian saya sebenarnya demam dan duduk di kerusi penumpang sebelah kiri, ketika dalam perjalanan kereta yang dipandu rakan saya terbabas melanggar bahu jalan.

"Kemudian tercampak, terbalik dan melambung kira-kira 100 meter sebelum terhempas atas tunggul pokok yang baru dipotong.

"Ketika itu saya tergantung dan hanya sedar apabila dengar orang menjerit meminta tolong, saya nampak rumput dan kaki orang berjalan.

"Kemudian ada seseorang datang membuka tali pinggang keselamatan dan saya terjatuh. Kemudian dikejarkan ke hospital," katanya memetik laporan Astro Gempak.

Mengaku beremosi apabila imbasan kejadian itu muncul di benak fikiran, Awal bagaimanapun bersyukur dikurniakan peluang kedua untuk hidup. 

"Memang kalau imbas kembali kisah silam itu saya akan beremosi. Saya bersyukur diberikan peluang kedua ketika saya memikirkan saya hampir kehilangan semua insan yang saya sayangi dalam hidup," katanya yang hampir bergenang air mata.

Tambahnya, kesan daripada kejadian itu, keretanya jenis BMW 6 Series tidak mampu lagi dibalik puluh.

Daripada sudut kesihatan pula, bapa kepada Lara Alana ini menjalani rawatan susulan yang berlarutan sehingga setahun setengah.

"Saya patah tulang T2, L4 dan tulang Koksik, apabila duduk saya akan rasa berpasir dan saya terpaksa membawa 'pengalas' ke mana-mana saya pergi.

"Sampaikan orang ingat saya bawa pelampung Lara ketika itu," dedahnya.

Kata Awal juga, beliau terpaksa berhabis sejumlah wang yang banyak untuk menanggung kos pelbagai rawatan dalam tempoh setahun lebih itu.

"Tetapi sepanjang tempoh rawatan selama setahun setengah saya berhabis puluhan ribu untuk pelbagai rawatan, MRI, CT Scan, fisioterapi dan sebagainya.

"Sejak itu baru saya sedar betapa pentingnya insurans nyawa dan kesihatan," katanya.

Awal membuat kenyataan tersebut sewaktu majlis perlantikannya sebagai duta kempen #Demi untuk sebuah bank perdagangan terbesar negara yang berlangsung semalam.

29 Mac 2015 lalu menyaksikan tragedi hitam apabila hos popular ini mengalami kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rawat & Rehat Ayer Keroh arah selatan, ketika beliau dalam perjalanan menuju ke Jom Heboh Melaka bagi mengacarakan program Melodi.

Antara lain, kemalangan itu melibatkan rakannya, Izuan Mokhtar, dalam kenderaan yang dipandu dari Kuala Lumpur.




Hakcipta iluminasi.com (2017)