Oleh pada 15 May 2017 kategori

Rakyat Malaysia yang harmoni dan berbilang kaum selalunya amat berbangga bila berbicara tentang "budi bahasa budaya kita." Malah, Rukun Negara kelima pun berbunyi "Kesopanan dan kesusilaan." Kita kononnya begitu menyanjung adat resam dan tatatertib, tapi bila diperhatikan dengan lebih teliti, adakah benar kita ini seperti apa yang kita perkatakan?

Pernahkah anda mencari ruang letak kereta di mana-mana pasar raya dan kecewa apabila mendapati ada troli di tengah-tengah petak parking tersebut?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ataupun anda baru selesai membeli-belah dan menuju ke kenderaan. Kemudian anda mendapati ada troli 'sesat' yang ditinggalkan betul-betul di hadapan/belakang kereta anda?

Kadang-kadang daripada satu sahaja troli 'sesat', ada pula orang lain yang menambahnya menjadi lebih panjang.

Persoalan yang lebih penting adalah - apabila anda masuk ke pasar raya dan mendapati tidak ada satu troli pun di bahagian pintu masuk, adakah timbul rasa ingin marah dalam sanubari anda?

troli bersepah ditinggalkan tak pulangkan troli 4

Kenapa kita mengamalkan sikap endah tak endah ini?

Kebanyakan pasar raya sudahpun menyediakan ruang untuk meninggalkan troli di sekitar kawasan tempat letak kereta. Anda hanya perlu meninggalkannya di situ sebelum atendan troli datang mengambilnya untuk dibawa masuk semula ke dalam bangunan. 

Kalau pasar raya yang menggunakan 'sewaan' menggunakan slot wang syiling 20 sen atau 50 sen, nampaklah sedikit keberkesanannya kerana pelanggan perlu memulangkan troli sebelum mengambil semula syilingnya. Bagi pasar raya lain, troli kebiasaannya ditinggalkan begitu sahaja.

troli sewaan dengan duit syiling kurang ditinggalkan bersepah sepah

Jika ditanya, macam-macam alasan yang diberikan. Mungkin ada yang kata kawasan meninggalkan troli itu terlalu jauh dari kereta dan nak cepat balik rumah. Ada yang kata mereka tak boleh meninggalkan anak dalam kereta. Cuaca buruk. Susah nak pulangkan kerana hilang upaya. Ada yang kata saja-saja nak tinggal supaya pelanggan yang datang boleh ambil terus. Paling teruk sekali mungkin alasan saja-saja tinggal supaya pekerja pasar raya tak makan gaji buta.

Lima kategori pemulang troli

Menurut Scientific American, ada 5 jenis tabiat orang yang menggunakan troli:

1. Pemulang. Individu jenis ini akan sentiasa memulangkan troli ke kawasan sepatutnya, tidak kira sama ada ia jauh ataupun tidak. Mereka merasakan ia sudah menjadi tanggungjawab dan kebiasaannya berasa kasihan dengan pekerja yang perlu mengutip troli bersepah.

2. Penyepah. Individu jenis selfish ini memang tak akan sesekali memulangkan troli. Mereka amat gemar membiarkan troli bersepah-sepah, menghalang laluan atau menyekat kereta lain. Mereka juga percaya pekerja pasar raya telah dibayar untuk mengutip troli yang ditinggalkan.

3. Pemulang ikut mudah. Individu jenis ini akan menganalisa situasi terlebih dahulu. Kalau kawasan meninggalkan troli itu dekat, barulah dia pulangkan.

4. Pemulang ikut tekanan. Individu ini kebiasaannya takut dengan persepsi orang. Sebagai contoh, tuan punya kereta sebelah ada berhampiran ataupun kehadiran pekerja pasar raya di sekelilingnya. Lebih cuak kalau ada orang tengah buat penggambaran atau sesi fotografi di situ. Bila wujud tekanan-tekanan seperti ini, barulah dia pulangkan troli.

5. Pemulang dengan anak kecil. Selalunya ibu-ibulah jatuh dalam kategori ini. Mereka akan berseronok main racing troli bersama anak sambil menuju ke petak troli. Kemudian mereka akan menyuruh anak untuk menolak troli yang telah digunakan ke dalam susunan troli lain.

troli bersepah ditinggalkan tak pulangkan troli 3

Stigma dan susunan sosial

Pada tahun 2008, satu kajian yang telah diterbitkan dalam Jurnal Science dijalankan di sebuah tempat letak kereta bertingkat yang berada bersebelahan dengan sebuah pasar raya dan sebuah gimnasium.

Dalam satu senario, empat buah troli dibiarkan berselerak di kawasan parking itu. Dan dalam senario yang lain, tiada troli yang dibiarkan berselerak. Satu papan tanda jelas yang tertera "Sila pulangkan troli beli-belah" dilekatkan di pintu masuk tempat letak kereta.

Penyelidik kemudian menyelitkan sehelai risalah di cermin-cermin kereta yang berada dalam garaj tersebut. Mereka mendapati dalam senario di mana terdapat troli yang berselerak, subjek-subjek lebih cenderung untuk membuang risalah tersebut merata-rata (58%) berbanding senario dengan ketiadaan troli bersepah (30%).

troli bersepah ditinggalkan tak pulangkan troli 2

Butterfly effect

Kajian ini jelas menunjukkan satu sikap buruk akan menyebabkan terjadinya sikap buruk yang lain dalam masyarakat secara kolektif. Daripada membiarkan troli bersepah, orang lain akan turut membuang sampah. Ia juga mungkin boleh menjadi salah satu punca orang meletakkan kenderaan di petak 'reserved', petak OKU ataupun parking secara berbahaya.

Manusia mempunyai satu tabiat yang suka meniru apabila satu norma tidak dipatuhi. Inilah epidemik susunan sosial yang perlu kita perbetulkan semula kerana sekecil-kecil tabiat buruk boleh memberikan kesan yang lebih besar menular dalam masyarakat.

troli bersepah ditinggalkan tak pulangkan troli 5

Jadi, jangan pandang ringan perkara ini. Apabila anda mula meninggalkan troli merata-rata, orang lain juga akan mengikut perbuatan anda. Dari situ, lebih banyak lagi tabiat buruk sosial yang boleh berlaku.

Apabila sampai waktu itu, anda usahlah hairan nak buat-buat tanya, "Kenapa buruk betul perangai masyarakat Malaysia ni?" Walhal andalah punca sebenarnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)