Oleh pada 11 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Unic

Anggota kumpulan Unic, Najdi, berasa tidak tenang selagi tidak meminta maaf daripada rakan sekumpulannya, Bazli Hazwan Che Osman, ekoran perselisihan faham antara mereka.

Merancang untuk bertemu empat mata dengan Bazli, Najdi bagaimanapun masih mencari waktu sesuai kerana rakannya bersama seorang lagi anggota Unic, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, sedang sibuk menjayakan persediaan menjelang Anugerah Nasyid 2017 (AN2017) peringkat akhir.

Najdi, 26, berkata, dia berada dalam keadaan beremosi ketika memberi kenyataan kepada media sebelum ini. 

"Mungkin saya yang terlalu emosi. Saya belum berbincang dengan UNIC mengenai semua ini. Lagipun, mereka sibuk membuat persiapan untuk (AN2017) Sabtu ini.

"Saya sendiri sedang mencari ruang untuk meminta maaf daripada Bazli. Dengan apa yang berlaku, seolah-olah saya memburukkan dirinya.

"Walaupun banyak kali kena marah dengannya, saya memang hendak berjumpa dengan Bazli. Selagi tak jumpa, hati saya takkan tenang," katanya memetik laporan portal BH Online.

Terdahulu, Najdi melahirkan hasrat untuk menarik diri daripada Unic, selain dikatakan tidak mahu muncul di AN2017.

Mengulas pembabitannya dalam anugerah tersebut, Najdi tidak mempunyai jawapan pasti.

"Bab itu, saya tak pasti. Lagipun, mereka abaikan saya dulu kerana mahu fokus kepada persiapan menghadapi pertandingan berkenaan," katanya.

Berkenaan isu 'percakaran' antaranya dengan Bazli, Najdi berkata dia sudah lama memendam rasa.

"Terbaru ketika terbabit dengan sebuah persembahan, dia 'sound' (menegur) saya. Ketika itu, saya melakukan kesilapan ketika menyanyi.

"Saya sudah banyak kali bersabar dengan sikapnya. Dia pun jenis yang cakap depan. Sebagai anggota yang baru dua tahun bersama UNIC, saya lebih banyak berdiam," katanya.

Gandingan baharu kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 ini, iaitu antara Najdi, Bazli dan Fakhrul membawa tuah apabila mereka dinobatkan juara Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun lalu.

Sejak ditubuhkan, beberapa nama lain pernah menyertai kumpulan nasyid popular tersebut, iaitu Hafiz Hamidun, Mohamad Fitri Mohamad Haris, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Wan Sharifuddin Wan Hassan, Mohd Afendi Jahri dan Syed Mohd Azlan Syed Amirruddin.

Single paling terkini Unic berjudul Sedar, gandingan bersama penyanyi rap, Caprice, diterbitkan pada penghujung tahun lalu.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)