Mengambil anak angkat merupakan perbuatan yang sangat dipuji kerana memberikan peluang kepada kanak-kanak tidak bernasib baik untuk mempunyai kehidupan normal seperti orang lain. Ia juga membolehkan pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata untuk merasai kebahagian bergelar ibu bapa.

Di negara barat terutamanya di Amerika Syarikat, pengambilan anak angkat adalah sesuatu yang menjadi kelaziman. Malah mereka mengambil anak angkat daripada China dan Korea Selatan adalah perkara biasa bagi AS.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Malaysia, mengambil anak angkat bukanlah satu perkara yang biasa dan ini mungkin disebabkan oleh proses pengambilan anak angkat di Malaysia tidak semudah yang disangkakan.

Malah, tidak semua pasangan boleh melakukannya.

Bagi mereka yang tidak berkahwin, mereka masih berpeluang untuk mengambil anak angkat tetapi pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak mendapat kelebihan dalam hal ini.

Terdapat senarai kriteria tertentu untuk membolehkan anda menjadi ibu bapa angkat. Jika anda sudah mempunyai anak, anda masih berpeluang mengambil anak angkat tetapi kebarangkaliannya lebih rendah berbanding pasangan tanpa anak.

Kriteria mengambil anak angkat

abby abadi dan anak angkat beliau

(Abby Abadi bersama suami dan anak angkat mereka)

Untuk proses pengambilan anak angkat di Malaysia, pasangan tanpa anak akan diberi keutamaan di mana mereka perlu memenuhi kriteria termasuklah: 

  1. Berusia kurang 45 tahun bagi mereka yang mengambil bayi sebagai anak angkat dan 60 tahun adalah maksimum bagi mereka yang ingin mengambil kanak-kanak yang lebih tua.
  2. Telah berkahwin sekurang-kurangnya 5 tahun
  3. Minimum gaji gabungan (suami dan isteri) mestilah mencecah RM5,000
  4. Bebas hutang (hutang anda akan disemak oleh OrphanCARE. Jika gaji anda adalah RM10,000 tetapi anda perlu membayar ansuran atau pinjaman kepada bank sebanyak RM12,000, permohonan anda akan ditolak
  5. Salah seorang daripada pasangan adalah warganegara Malaysia
  6. Tinggal di Semenanjung Malaysia dan bekerja di sini

Kriteria untuk mengambil bayi dan kanak-kanak sebagai anak angkat dalah sama, kecuali satu perkara iaitu untuk bayi, pasangan tersebut tidak boleh mempunyai anak.

Cara pengambilan anak angkat

achey dan isteri bersama anak angkat mereka

(Achey dan isteri bersama anak angkat mereka)

Untuk mengambil anak angkat, anda boleh pergi ke OrphanCARE dan mengisi borang serta mendaftar sebagai ibu bapa angkat yang berpotensi.

Yayasan ini kemudiannya akan menyemak sama ada anda memenuhi kriteria dan jika ya, anda akan dihubungi untuk ditemuduga.

Sepanjang proses temuduga, Yayasan OrphanCARE akan menyingkirkan atau menasihati mereka yang ingin mengambil anak angkat untuk alasan yang tidak betul, seperti memerlukan seseorang untuk menjaga mereka di usia tua atau kesepian.

Tetapi, ini tidak bermakna bahawa semua orang yang memberikan jawapan yang "salah" akan disingkirkan. Kadang-kala, pasangan tidak memahami apa yang mereka jawab.

Pasangan yang ingin mengambil anak angkat dapat memberitahu sama ada mereka mahu bayi Malaysia atau asing, lelaki atau perempuan atau mahu mengambil bayi di baby hatch atau walk-in.

Baby hatch atau kotak pelindung bayi adalah tempat di mana orang, biasanya ibu, boleh membawa bayi yang biasanya baru dilahirkan dan meninggalkan mereka tanpa nama di tempat yang selamat untuk ditemui dan dijaga. 

Bagi mereka yang mengambil anak angkat dari kotak pelindung bayi, terdapat beberapa perbezaan proses berbanding mengambil bayi daripada ibu yang telah berdaftar dengan organisasi ini.

dr wan azizah memeriksa sebuah baby hatch atau kotak bayi di ibu pejabat yayasan orphancare

(Dr Wan Azizah memeriksa sebuah baby hatch atau kotak pelindung bayi di ibu pejabat Yayasan OrphanCare)

Antara salah satu sebabnya adalah bayi dari kotak bayi dianggap sebagai tiada warganegara. Disebabkan bayi ini ditinggalkan oleh ibunya, maka dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan ibu tersebut.

Ibu bapa angkat yang mengambil bayi ini harus menghadirkan diri ke mahkamah setiap bulan untuk tempoh kira-kira 2 tahun. 

Berbeza dengan pasangan yang mengambil anak angkat secara terus dari ibu kandung, yang mana anak dan ibu tersebut akan terus mempunyai hubungan sepanjang hayat.

Hal ini membolehkan ibu bapa angkat mengetahui sejarah perubatan keluarga bayi tersebut yang mana sangat membantu jika berlakunya pembedahan yang memerlukan pendermaan darah atau organ. 

Bukan itu sahaja, malah ibu kandung tersebut perlu dibantu dari segi kewangan oleh pasangan yang mengambil anak angkat ketika ibu melahirkan bayi.

noraini hashim pemegang amanah yayasan orphancare menunjukkan cara penyerahan bayi melalui baby hatch

(Noraini Hashim, pemegang amanah yayasan OrphanCare menunjukkan cara penyerahan bayi melalui baby hatch)

Ibu bapa angkat juga boleh membantu ibu kandung ketika dalam pantang di mana mereka perlu menyediakan apa yang diperlukan, jika ibu kandung masih bekerja.

Bagi kanak-kanak yang lebih tua, terdapat perbezaan dalam proses. Apabila kanak-kanak yang sesuai ditemui, ibu bapa angkat dan kanak-kanak akan bertemu untuk melihat sama ada wujudnya keserasian. 

Selepas selesai proses mengambil anak angkat, perkembangan keluarga angkat akan sentiasa diikuti oleh OrphanCARE untuk memastikan semuanya berjalan lancar dan tidak ada perkara buruk yang dilakukan terhadap anak angkat tersebut.

Rujukan:

1. Hello Doktor

2. OrphanCare

3. Jabatan Pendaftaran Negara




Hakcipta iluminasi.com (2017)