Penulisan ini ditulis oleh saudara Muhammad Zulfahmi Bin Samsuddin di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.
Setiap hari, sampah terhasil di mana-mana di seluruh dunia. Dan sampah yang terhasil pada bulan puasa dilaporkan lebih banyak, dari sisa makanan. Semasa berada di Jepun, saya pernah bekerja sebagai pengutip sampah. Jadi, ingin kongsika sedikit sebanyak pengalaman sebagai pengutip sampah yang mana dilakukan pada tahun kedua, ketiga dan keempat universiti.
BESARKAN TEKS A- A+
Saya pernah mengutip sampah di dua tempat di Jepun iaitu di Todoroki (Tamagawa Office) dan di Shinagawa (Ebara Office).
Di tahun kedua universiti, saya banyak bekerja di Tamagawa manakala untuk tahun ketiga dan keempat di Ebara.
Ketika di peringkat ijazah sarjana, saya tidak lagi bekerja sebagai pengutip sampah kerana saya bekerja sebagai pembungkus komponen elektrik yang mana terletak berhampiran dengan universiti.
Di sini saya akan menceritakan perbezaan bekerja di kedua-kedua tempat ini.
Perjalanan pergi dan balik
Tamagawa
Untuk ke Tamagawa Office, saya terpaksa bertolak seawal jam 5:58 pagi menaiki kereta api dari Myouden, lokasi kediaman saya ketika bergelar pelajar.
Kadang-kala, saya menumpang di rumah rakan di Futako Tamagawa atau Ikuta yang terletak berhampiran dengan tempat kerja. Saya biasanya bangun sebelum subuh untuk menyediakan makanan untuk dibawa ke tempat kerja sekurang-kurangnya nasi goreng atau nasi putih bersama telur goreng. Ini sudah memadai.
Cabaran utama adalah dari stesen Todoroki ke pejabat di mana saya perlu berjalan kaki sejauh 1.3 kilometer yang memakan masa lebih kurang 20 hingga 25 minit.
Ebara
Untuk ke Ebara, jarak dari rumah saya adalah lebih dekat dan saya boleh menaiki kereta api jam 6:26 pagi. Tetapi saya tetap harus menyediakan makanan kerana Jepun satu ketika dahulu tidak seperti sekarang di mana makanan halal agak sukar untuk diperoleh.
Setelah sampai di pejabat
Biasanya saya sasarkan untuk sampai di pejabat pada jam 7.30 pagi dengan ini saya mempunyai masa sekitar 20 minit untuk menukar pakaian.
Pada jam 7.50, biasanya akan ada senaman pagi dan kami biasanya akan mengikuti senaman tersebut walaupun tidak tahu gerakan sebenar.
Pengutipan sampah sesi pagi
Sesi bekerja iaitu mengutip sampai bermula jam 8 pagi. Untuk sesi pagi, kami biasanya akan menaiki 4 lori di Tamagawa manakala di Ebara pula sebanyak 3 lori.
Dalam satu lori sampah biasanya terdiri daripada seorang pekerja berpengalaman, pemandu lori dan saya. Menurut firasat saya, individu yang paling berkuasa dalam ketiga-tiga orang ini mengikut turutan adalah pekerja berpengalaman, saya dan diikuti pemandu lori.
Kemudian kami akan mula mengutip sampah di kawasan perumahan atau kedai. Di kawasan perumahan, kawasan sampah boleh dikatakan agak bersih di mana ia tersusun, serta diletakkan di bawah jaring.
Ia mungkin bertujuan untuk mengelakkan burung atau haiwan lain daripada merosakkan sampah. Jika mengutip sampah di kawasan orang kaya, kerjanya lebih mudah di mana sampah dibuang bilik pembuangan sampah.
Apa yang perlu dilakukan adalah mengundurkan lori dan kami hanya perlu tunduk, ambil sampah dan mencampakkannya ke dalam lori tanpa perlu berjalan.
Ketika mengutip sampah, pelbagai perkara boleh berlaku. Situasi pertama, pekerja pengalaman itu mungkin sangat cergas, yang mana memudahkan kerja kita kerana mereka melakukan kerja dengan sangat pantas.
Mereka akan sebolehnya akan mengangkat sampah sebanyak yang boleh dan jika ini berlaku, kerja akan siap dengan pantas.
Situasi kedua adalah sebaliknya, di mana pekerja berpengalaman itu mungkin tidak cergas dan ini akan membuatkan kerja kita sangat teruk di mana kita yang harus melakukan segalanya.
Situasi ketiga adalah bekerjasama dalam melalukan kerja di mana jika kedua-dua bekerja dengan pantas, kerja akan cepat siap. Pemandu lori hanya akan membantu jika diminta dan terdapat pemandu lori daripada kalangan wanita.
Ketika mengutip sampah, pekerja berpengalaman akan memastikan pejalan selamat dengan menjerit "Hidari oraitssu", yang bermaksud "bahagian kiri adalah selamat jika tiada pejalan kaki."
Di Jepun, sampah mereka biasa dibahagikan mengikut kategori seperti boleh dibakar, tidak boleh dibakar, plastik, sumber dan sebagainya. Pembahagian ini adalah mengikut kawasan. Contohnya seperti di bawah.
(Kategori sampah boleh dibakar)
(Kategori sampah boleh dikitar semula)
Tempoh pertukaran lori
Setelah habis mengutip sampah di satu kawasan, saya akan dibawa ke satu tempat yang mempunyai mesin layan diri di mana saya akan diberi air tin percuma.
Kami akan berehat di situ sekitar 5 hingga 10 minit. Jadi, waktu bekerja boleh dikatakan 20 hingga 30 minit diikuti dengan 5 hingga 10 minit.
Jadi biasanya kami akan siap kerja pada jam 10 atau 10.30 pagi dan kemudiannya pulang ke pejabat. Kami diberikan rehat sehingga jam 2 petang. Jika di Ebara, kerja akan siap sekitar jam 9.30 pagi.
Waktu Rehat
Masa rehat kami adalah bebas namun ketika itu bukan zaman telefon pintar jadi tak boleh layari internet. Jadi, saya akan menghabiskan masa untuk tidur kerana bangun sejak awal pagi.
Saya akan bangun untuk solat zohor dan terus makan tengah hari. Zohor di Jepun sekitar jam 11.30 pagi jadi ia sangat membantu kerana dalam waktu rehat.
Jadi, kerja pada waktu pagi sekitar 2 jam 30 minit dan rehat selama 3 jam 30 minit.
Kutip sampah dan rehat petang
Sesi petang pula bermula pada pukul 2 petang dan di Tamagawa terdapat 2 lagi lori manakala di Ebara hanya 1 lori. Jadi sesi petang lebih cepat siap di mana waktu bekerja maksimum adakah 1 jam dan pulang ke pejabat sekitar 2.45 hingga 3 petang.
Rehat petang bermula selepas berakhirnya sesi petang iaitu sekitar jam 3 hingga 4.30 petang. Biasanya orang Jepun akan mandi pada waktu ini tetapi saya tidak kerana mereka mandi berbogel.
Untuk mengelakkan perkara tersebut, saya tidak pernah mandi dan sebab itulah saya hanya pilih untuk kutip sampah pada musim sejuk di mana badan tidak berpeluh.
Ini adalah masa yang diambil untuk solat Asar dan jika waktu Maghrib sekitar 4:30 petang, saya akan tunggu solat Maghrib dulu sebelum pulang.
Dan sesudah mandi mereka akan bersiap untuk balik dengan memakai baju kemas atau sut.
Dengan ini, kita tidak akan kenal mereka sebagai pengutip sampah kerana mereka akan "bertukar" menjadi seperti pekerja pejabat.
Pukul 4:30 petang sahaja kami akan balik terus tanpa risau fikir apa-apa. Jika kita campurkan masa mengutip sampah selama lebih kurang 4 jam sahaja iaitu 2 jam 30 minit pagi dan 1 jam - 1 jam 30 minit waktu petang.
Kelebihan kerja kutip sampah di Jepun
Gaji
Gaji pemungut sampah di Jepun boleh tahan lumayan berbanding waktu kerja. Dengan bekerja selama 4 jam sahaja saya peroleh gaji sekitar 9500 Yen bersamaan dengan RM362.14, atau RM90 sejam.
Malah, kos perjalanan ditanggung oleh pihak majikan seperti tiket kereta api dan sebagainya. Jadi, jika ditambah dengan kos ini, gaji sehari adalah sekitar 10,500 Yen atau RM400.26.
Jika mengikut undang-undang Jepun, pelajar hanya dibenarkan untuk bekerja sambilan maksimum 12 hari dalam sebulan. Jadi, gaji sebulan yang boleh diperoleh adalah sebanyak RM4,800.
Jumlah ini akan berkurang selepas ditolak cukai. Ya, pekerja sambilan juga ditolak cukai. Namun, wang yang diperoleh ini sangat membantu untuk saya membeli tiket pulang ke Malaysia kerana pada ketika itu masih belum ada penerbangan Air Asia ke Jepun.
Pengalaman
Bagi saya, pengalaman ini sangat berharga di mana saya dapat melihat betapa tersusunya orang Jepun merancang sesuatu. Sebagai contoh, jika tidak cukup pekerja, backup plan mereka sangat bagus.
Dan tidak seperti di Malaysia, tidak semua sampah perlu dipungut dan mereka tahu mana sampah yang tidak perlu dipungut pada hari tersebut dan minta kita biarkan.
Dan untuk pengetahun anda, kebanyakan daripada para pekerja yang bergelar pakcik ini adalah bekas jurutera. Mereka memberitahu bahawa "buat apa susah-susah perah otak", kerana mereka boleh memperoleh gaji yang cukup untuk menyara isteri dan purata 2 orang anak dengan bekerja sebagai pengutip sampah.
Mungkin bekerja sebagai jurutera boleh "naik" dengan mudah tetapi ia lebih memenatkan. Dan mereka dengan bangganya berkata mereka tak pernah beli kereta terpakai kerana tiada "class".
Kebanyakan pelajar seperti kami boleh membeli kereta terpakai selepas 5 tahun kerana harganya menjunam jatuh.
Dapat lori besar atau bahan sumber untuk recycle 資源 (Shigen)
Lori besar akan membuatkan kita melakukan 2 trip pada waktu pagi dan 1 trip pada waktu petang, dengan 3 orang pekerja termasuk pekerja sambilan.
Lori kecil adalah lebih mudah, di mana kadang-kala hanya akan mengutip sampah besar seperti sofa di satu tempat sahaja. Dengan ini, badan pun tak kotor.
Penghargaan dari orang sekeliling
Ketika sedang kutip sampah, makcik-makcik akan berikan air mineral atau teh jepun panas yang sangat membantu ketika musim sejuk.
Dan saya rasa sangat dihargai apabila mereka mengucapkan terima kasih sambil menghulurkan air tersebut. Apabila melalui kawasan tadika, mereka juga akan mengucapkan terima kasih. Ia merupakan penghargaan yang meningkatkan motivasi.
Keburukan kerja kutip sampah
Tangan jadi kasar
Perkara ini mungkin tidak berlaku pada hari pertama atau kedua.
Tapi setelah berhari-hari bekerja, tangan akan menjadi kasar. Hal ini memang tidak dapat dielakkan jika bekerja sebagai pengangkat sampah.
Sakit Pinggang
Duduk membongkok, angkat sampah dan campak ke dalam lori, dan ulang semula, membuatkan pinggang kita sangat sakit. Saya yang berusia 21 hingga 23 tahun pun terasa kepenatannya.
Hinggakan saya lihat orang kutip sampah di Malaysia seperti di Terengganu melakukan kerja lebih mudah dengan menyambungkan tong sampah dengan lori, kemudian lori akan masukkan sampah secara automatik. Lebih mudah.
Budaya pandang rendah pada orang
Di Jepun, bukan semuanya baik. Ada juga yang pandang rendah terhadap orang lain. Ia biasanya berlaku apabila mereka anggap kita bekerja untuk sara hidup di Jepun seperti pelarian yang tak ada negara.
Untuk mengatasi masalah ini, saya akan memberitahu bahawa saya pelajar Universiti Waseda, dan gaya mereka akan berubah. Ini adalah salah satu perkara yang seronok menjadi budak Universiti Waseda.
Layanan polis pun akan berubah menjadi baik apabila ditunjukkan kad pelajar.
Mungkin kita boleh pelajari sesuatu dari pengalaman ini. Di Malaysia, jika ramai yang pengutip sampah dari kalangan warga asing, macam itulah orang rasa Jepun rasakan terhadap orang asing, iaitu kita di Jepun.
Hormatilah mereka kerana mereka bekerja mungkin untuk menyara keluarga mereka di negara mereka.
Tapi kepada warga asing juga, tunjukkan imej yang baik macam orang Malaysia di Jepun. Seboleh-boleh kami ikut apa yang ditetapkan undang-undang Jepun dan tidak akan melakukan perkara yang memalukan Malaysia, insyaAllah.
Dan ini adalah cerita 13 tahun lepas. Untuk situasi terkini, mungkin boleh dikongsikan pula oleh pelajar-pelajar saya pula.
Memang kerja kutip sampah ini adalah arubaito atau sambilan Malaysia yang hidup di Tokyo zaman dulu. Kini mungkin sama sebab gaji hariannya agak tinggi.
Dan gaji yang tinggi ini dapat dibayar kerana apabila menjadi penduduk di sesebuah prefecture atau wilayah, bermula tahun kedua kerja, kami akan bayar cukai penduduk yang tinggi.
Dan kilang-kilang juga membayarnya. Jadi ini akan menjadikan bandar atau kawasan tersebut berduit dan duit ini digunakan untuk membayar gaji pekerja sampah dan mencantikkan bandar. Nampak juga hasil cukai yang dibayar.
Jadi pihak kerajaan bolehlah melakukan kajian tentang ini agar negara kita menjadi lebih baik pada masa hadapan. Semoga apa yang dikongsikan ini memberikan manfaat kepada pembaca semua.