Ibu bapa yang mempunyai anak kecil sudah semestinya biasa menghadapi kerenah anak-anak tidak kira di rumah, di sekolah, di tempat awam dan sebagainya. Bukan semua pasangan beruntung dikurniakan dengan anak 'baik' yang sentiasa mendengar kata dan mampu duduk diam apabila diminta.
Perangai si kecil mungkin menjadi-jadi apabila terpaksa duduk lama dalam kenderaan untuk menempuh perjalanan yang berjam-jam lamanya sama ada untuk pulang ke kampung atau berjalan-jalan menuju ke destinasi percutian.
BESARKAN TEKS A- A+
Situasi lebih buruk boleh terjadi semasa musim perayaan atau cuti sekolah. Perjalanan yang biasanya mengambil masa lebih kurang 4-5 jam boleh menjadi 10 jam akibat kesesakan jalan raya. Anda sudah tidak sanggup mendengar tangisan dan jeritan anak. Golongan bayi mungkin lebih mudah didiamkan kerana mereka mudah tidur di dalam kenderaan. Namun, bagi anak yang lebih besar, perbuatan duduk setempat sebegitu lama dirasakan seperti sejenis hukuman.
Jadi, bagaimana cara untuk membuatkan si kecil kekal tenang sepanjang perjalanan sekali gus mengekalkan ketenangan ibu dan bapa? Kami kongsikan beberapa panduan untuk menjadikan perjalanan lebih menyeronokkan buat semua.
1. Kenderaan perlu selesa
Kereta yang bersaiz agak kecil mungkin tidak begitu selesa untuk perjalanan jauh jika anda mempunyai anak yang ramai. Sekiranya anda mempunyai bajet lebih, anda boleh cuba menyewa kenderaan yang lebih besar dan luas. Kini, perkhidmatan sewa kenderaan kian mudah didapati dan mampu dimiliki. Terdapat pelbagai platform dipercayai yang boleh anda cuba untuk melengkapkan perjalanan anda.
Walaupun kos perjalanan akan meningkat sedikit kerana kos sewaan, namun dengan ruang simpan serta ruang bergerak yang lebih luas, sudah pasti tahap keselesaan kesemua penumpang juga turut meningkat. Selain itu, anak-anak juga kebiasaannya akan berasa lebih teruja dan gembira menaiki kenderaan 'baru'. Ini akan membuatkan mereka lebih leka dan tidak cepat buat perangai.
2. Makanan dan kudapan
Aktiviti makan adalah salah satu cara mudah untuk menhindarkan anak daripada asyik bertanya "Bila nak sampai?" Semakin kerap anak bertanya soalan tersebut, maka itu petanda anak menjadi semakin bosan.
Anda tidak perlu berhenti setiap kali anda ingin membelikan anak sesuatu. Sebelum memulakan perjalanan, ibu bapa sepatutnya sudah boleh membuat jangkaan yang anak akan cepat berasa lapar di dalam kenderaan. Oleh itu, sediakan dari awal sebuah bekas makanan dengan beberapa kompartmen untuk menyimpan snek kering kegemaran anak seperti kekacang, roti, biskut, keropok dan bijirin.
Bagi makanan panas atau sejuk seperti buah-buahan, keju, nuget, sosej dan lain-lain pula lebih mudah disimpan di dalam beg plastik. Selain tidak mudah tumpah, ia mudah dikongsi dengan ahli keluarga yang lain.
3. Berhenti di tempat yang sesuai
Sekiranya anda perlu membuat hentian, cari kawasan yang sesuai. Jika anda menggunakan lebuh raya, kini terdapat banyak kawasan rehat dan rawat (R&R) yang menyediakan taman permainan mini untuk anak-anak meregangkan kaki buat seketika.
Anda juga boleh mencari kawasan yang agak lapang dengan pemandangan indah untuk berkelah dan makan beramai-ramai. Selain menjimatkan kos, sudah pasti anak-anak gembira dapat meluangkan masa bersama keluarga. Tambahan pula, apabila masuk semula ke dalam kenderaan, kemungkinan besar mereka akan mula berasa letih dan mengantuk setelah penat berlari sebelumnya. Mata bonus untuk anda!
4. Aktiviti padat dan menyeronokkan
Ini adalah poin paling penting sekiranya anda ingin mengembara atau menghadapi tempoh perjalanan panjang bersama anak kecil.
Mungkin anda merasakan hidup akan menjadi sangat mudah apabila anak-anak terus diberikan gajet setiap seorang. Atau pasang sahaja filem animasi kegemaran supaya mereka duduk diam. Namun, sebenarnya terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh anda berikan atau lakukan bersama mereka walaupun di dalam kenderaan.
Antaranya adalah dengan menyediakan helaian aktiviti bercetak. Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang boleh dicetak dari dalam talian seperti:
- aktiviti mewarna (colouring);
- suai padan (matching);
- cari benda tersembunyi (hidden objects);
- pagar sesat (maze);
- permainan perkataan (word games) dan banyak lagi.
Sekiranya anda ingin berjimat dan menggunakan semula helaian tersebut, anda boleh laminakan terlebih dahulu dan ditulis menggunakan pen penanda papan putih yang boleh dipadam.
Selain itu, anda juga boleh membawa bersama permainan susun suai gambar (puzzle) atau lego supaya anak dapat mengasah imaginasi mereka. Gunakan dulang atau kotak sebagai alas bermain.
Ibu bapa juga boleh melibatkan diri untuk bergembira bersama anak-anak sepanjang perjalanan. Pasang lagu kegemaran mereka dan nyanyi bersama-sama. Boleh juga cuba permainan seperti teka-teki, "Simon Says" dan "I Spy" yang dapat membuatkan anak-anak seronok serta terhibur.
Jika anda 'terpaksa' juga mengalah dengan gajet, janganlah terburu-buru terus membiarkan anak hanyut dengan video-video di YouTube atau TikTok. Kini terdapat banyak aplikasi berguna yang lebih berilmiah dan berasaskan pendidikan. Anda juga boleh memuat turun aplikasi buku audio yang interaktif dan dapat meningkatkan minat anak untuk membaca.
Perjalanan yang jauh dan lama tidak seharusnya membuatkan ibu bapa stres atau menjadikan anak-anak bosan. Jika panduan ini tidak begitu membantu, anda boleh cuba untuk bergerak pada waktu malam. Lebih mudah dan terkawal kerana anak-anak nyenyak tidur sehingga tiba ke destinasi.
Selamat jalan dan semoga selamat tiba ke destinasi!