Oleh pada 26 Feb 2018 kategori

Kredit foto: BH Online

Aktres Elfira Loy menepis dakwaan kononnya ibunya, Filzah Yusoff menjadi penyebab pertunangan beliau dan penyanyi Sufian Suhaimi putus.

Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 23, bagaimanapun yakin akan naluri seorang ibu yang disifatkan sentiasa tepat dalam menentukan haluan anak-anak.

"Ada orang buat spekulasi kata ibu keluar kenyataan supaya selepas ini saya bertemu dengan lelaki yang lebih baik. Sebenarnya, ia bukan bermaksud yang dulu tak baik.

"Setiap masa ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan saya percaya naluri seorang ibu itu tepat kerana mereka sudah ada pengalaman hidup.

"Apa yang ibu buat ini adalah benda betul sebab saya masih belum cukup matang untuk melalui perhubungan ini," katanya.

Elfira membuat kenyataan tersebut dalam temubual bersama program Melodi, siaran semalam.

Terdahulu, rata-rata blog hiburan berandaian ibu Elfira merupakan punca perpisahan beliau dengan Sufian.

Sementara itu, pelakon Untuk Terakhir Kali ini turut menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Sufian tidak mempu menyediakan wang hantaran seperti diminta keluarganya.

Dalam pada itu, Elfira menegaskan punca sebenar keputusan yang dibuat akan kekal menjadi rahsia keluarga kedua-dua pihak.

"Apa yang berlaku hanya keluarga tahu, orang lain tak tahu walaupun saudara-mara atau kawan. Saya tengok banyak spekulasi yang timbul sebab mereka nak jadi orang pertama bercerita.

"Iyalah, benda tengah panas memang ramai yang nak bercerita tentang perpisahan ini dan sebab itulah saya tak baca komen-komen di laman sosial. Kalau ternampak saya akan padam," katanya yang akur menerima musibah itu.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober lalu dan sepatutnya merancang berkahwin sekitar Mac ini.

Hubungan itu secara rasmi terputus apabila keluarga Elfira memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian di Johor, 18 Februari lalu. 

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)