Kredit foto: Instagram Aqasha

Penyanyi Aqasha memberitahu dia terlebih dahulu mendapat keizinan daripada keluarga termasuk isteri untuk mengambil bahagian dalam rancangan realiti Gegar Vaganza 4.

Malah, Aqasha atau nama penuhnya Firdee Akassya Rosli akui ibunya adalah individu paling teruja dengan keputusan yang diambil itu.

"Ibu bapa saya tahu kecintaan saya dalam dunia nyanyian dan ibu saya menjadi orang yang paling gembira dan teruja apabila dimaklumkan saya dapat menyertai GV4.

"Saya boleh bayangkan setiap minggu dia akan terpacak depan televisyen untuk menonton persembahan anak dia dan isteri saya pun sangat menyokong. Sudah tentu dia pun mengharapkan saya menang," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Sementara itu, Aqasha mahu penyertaaannya dalam program tersebut membuktikan bahawa dirinya masih lagi hebat beraksi di pentas.

Niat beliau untuk bergelar peserta sudah ditanam sejak tahun lalu, namun jadual kerjaya yang padat membantutkan hasratnya.

ibu paling teruja aqasha masuk gegar vaganza 4 2

Kredit foto: Instagram Aqasha

"Penyertaan saya dalam GV4 adalah usaha untuk membuktikan diri saya dan peminat bahawa saya masih mampu beraksi di pentas.

"Jika tahun lepas saya tidak dapat menyertai GV kerana ada komitmen dengan lakonan dan jadual bertindih.

"Namun, tahun ini peluang itu terbuka dan syukur saya dapat bertanding bersama penyanyi-penyanyi hebat dan tersohor tanah air," katanya lagi.

Untuk info, Aqasha pernah popular dalam bidang nyanyian suatu masa dahulu meskipun kini lebih dikenali sebagai pelakon.

Tiga buah album yang diterbitkan sepanjang kerjaya nyanyiannya ialah Cahaya Hati (2000), Impian (2002) dan Qashanova (2011).

Menerusi Gegar Vaganza 4, penyanyi berusia 35 tahun itu bakal bersaing dengan 11 lagi peserta lain iaitu penyanyi Liza Hanim, Aishah, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Hazami, Firman Siagian, dan Ferhad.

Program realiti berkenaan mula bersiaran 29 Oktober ini, jam 9 malam, setiap Ahad di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)