Oleh pada 24 Dec 2019 kategori

Sejarah perkhidmatan kesihatan di negara kita bermula sejak sebelum kemerdekaan lagi. Ketika itu, tujuan utama hospital dibina adalah untuk merawat pekerja-pekerja dalam perindustrian perlombongan bijih timah.

Disebabkan industri perlombongan bijih timah berkembang pesat di Perak, negeri itu mempunyai jumlah pusat perubatan paling banyak pada akhir abad ke-19 iaitu sebanyak 15 buah hospital.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hospital pertama dan paling tua dibina di Negeri-Negeri Melayu adalah Hospital Taiping. Hospital yang dibina pada tahun 1880 itu pada asalnya dikenali sebagai Hospital Yong@Yeng Wah atau Hospital Papa Cina.

Pembinaan Hospital Yong Wah ini mendapat bantuan kewangan daripada pedagang-pedagang China manakala Kerajaan Negeri pula membantu menyediakan peralatan perubatan yang diperlukan.

Hospital yang ditubuhkan bagi menjaga kebajikan rakyat miskin dan papa ketika itu hanya mengenakan bayaran tahunan minimum sebanyak 50 sen sahaja bagi setiap pesakit.

hospital taiping 1880

Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Yong Wah terdiri daripada pelombong-pelombong Cina yang mengalami pelbagai penyakit seperti cirit-birit, taun, malaria, beriberi, disentri dan penyakit paru-paru. Kebanyakan mereka terdedah kepada persekitaran kotor dan risiko-risiko lain dalam bidang perlombongan.

Dalam tempoh enam bulan pertama sejak ditubuhkan, perkhidmatan di hospital itu berjalan dengan lancar. Namun, keadaan menjadi sedikit terganggu akibat kesukaran dalam mengumpul yuran daripada para pesakit yang rata-ratanya berpendapatan rendah. 

Pada penghujung tahun 1880, Kerajaan Negeri telah mengambil alih tanggungjawab penuh ke atas Hospital Yong Wah. Hospital itu kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang iaitu di Jalan Utama dan ditukarkan kepada nama Hospital Besar Taiping.

Hanya beberapa bulan selepas berpindah, Hospital Besar Taiping terpaksa ditutup buat sementara waktu pada tahun 1881 bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf dan pengubahsuaian.

sir hugh low

Sir Hugh Low

Pada tahun 1884, Residen British Perak iaitu Sir Hugh Low telah mengenakan cukai sebanyak satu dolar ke atas setiap orang yang tinggal di Taiping. Ini bagi menampung perbelanjaan dan kos penyelenggaraan Hospital Besar Taiping yang begitu tinggi.

Kupon kesihatan juga akan diberikan kepada mereka yang membayar cukai yang diperkenalkan ini. Semua makanan, ubat-ubatan dan kemasukan hospital tidak akan dikenakan sebarang caj.

Namun, masyarakat Cina di Taiping telah membantah cukai yang diperkenalkan ini kerana ia tidak pernah dikenakan di mana-mana negeri-negeri Melayu yang lain. Sistem cukai itu akhirnya dimansuhkan pada tahun yang sama ia diperkenalkan. 

Ketika itu, Hospital Besar Taiping sahaja telah mengendalikan kira-kira 25 peratus daripada semua kes-kes kesihatan di seluruh negeri Perak.

pekerja lombong bijih timah 788

Pekerja lombong bijih timah

Sebahagian besar masalah yang dihadapi pesakit pada waktu itu adalah beriberi (sejenis penyakit bengkak pada kaki kerana kekurangan vitamin B) yang disebabkan oleh kekurangan zat makanan dan kadar kebersihan yang tidak dijaga.

Hospital yang dibina untuk membendung penyakit berjangkit di kalangan pekerja buruh dan perlombongan ini akhirnya membuahkan hasil. Jumlah kematian pesakit dan penyakit berjangkit telah menunjukkan penurunan secara berperingkat di daerah itu. 

Apa yang lebih mengejutkan, kadar kelahiran yang semakin meningkat di bandar Taiping. Orang ramai mula berpindah ke bandar Taiping, menyebabkan bandar itu semakin maju dari segi pertumbuhan ekonomi.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Cecil Clementi semasa melawat negeri Perak, Hospital Besar Taiping mampu mengekalkan sebanyak 900 orang pesakit pada satu-satu masa.

Ketika itu, Hospital Besar Taiping di bawah pentadbiran Inspektor Kesihatan yang pertama iaitu Dr. Hamilton Wright.

wilhelm conrad r ntgen

Wilhelm Conrad Röntgen

Adalah diketahui bahawa negeri Perak merupakan salah sebuah negeri di Tanah Melayu yang paling banyak menerima teknologi dan permodenan daripada pihak British.

Pada 3 Februari 1897, Hospital Besar Taiping telah mencipta sejarah apabila menjadi hospital pertama dilengkapi dengan radas pancaran Roentgen atau Sinar-X. Teknologi itu sampai ke Taiping selepas hanya setahun lebih selepas ia ditemui seorang profesor fizik dari Jerman,  Wilhelm Conrad Röntgen.

Berita Harian pula melaporkan bahawa teknologi Sinar-X itu mungkin yang pertama digunakan di negara Asia Timur. Pada 14 Februari 1897, demonstrasi pertama Sinar-X atau X-ray telah dirasmikan oleh Mr. Leonard Wray di Hospital Besar Taiping ke atas seekor ikan bawal.

Pada tahun 1906, kakitangan perubatan Kerajaan telah melanjutkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di luar hospital terutamanya di kawasan luar bandar. 

Hospital Besar Taiping terus menjadi perintis bagi sebuah institusi kesihatan yang kemudiannya diterima pakai di bandar-bandar lain di Tanah Melayu. Atas pengenalan ini, hampir setiap bandar utama di Tanah Melayu mempunyai hospital sendiri.

Rujukan:

1. Hospital pertama yang ditubuhkan di Malaysia

2. Teknologi Sinar-X pertama kali diperkenalkan di Malaysia

3. Sejarah penubuhan Hospital Taiping




Hakcipta iluminasi.com (2017)