Oleh pada 14 Feb 2017 kategori

Anda ada anak kecil yang suka main playdoh? Anak anda main playdoh sampai bercampur-aduk warna dan menjadi seketul playdoh yang maha besar?

Anak anda tak simpan playdoh selepas main sampai ia mengeras macam batu? Anda dah banyak berhabis duit beli playdoh?

Sekarang anda boleh buat sendiri homemade play dough di rumah! Guna tepung je boleh buat play dough. Boleh juga jadikan projek DIY ini sebagai aktiviti bersama anak-anak. Bancuh sendiri, pilih warna kegemaran kemudian boleh terus bermain. Tak sampai 10 minit pun diperlukan untuk membuat doh ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Paling best, doh ini lembut, boleh tahan lama berbulan-bulan dan selamat walaupun termasuk dalam mulut.

Bahan-bahan DIY Play Dough

  • 2 cawan tepung gandum / tepung serbaguna
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1/2 cawan garam
  • 2 sudu besar cream of tartar - boleh dibeli di kedai bakeri
  • 1.5 cawan air panas mendidih - ditambah sedikit demi sedikit sehingga dapat konsistensi yang diinginkan
  • pewarna makanan (*optional)
  • beberapa titik gliserin (*optional - untuk menambah kilauan)

simpan playdoh homemade

Cara-cara Buat DIY Play Dough

  1. Campurkan tepung, cream of tartar dan minyak ke dalam mangkuk yang besar.
  2. Masukkan garam ke dalam air mendidih. Kacau sehingga larut.
  3. Titiskan pewarna makanan ke dalam air panas itu (*optional)
  4. Tuangkan air panas ke dalam mangkuk adunan tadi sedikit demi sedikit sambil mengacau adunan tepung.
  5. Kacau sehingga adunan menjadi sebati dan melekit.
  6. Tambahkan gliserin (*optional)

Biarkan sejuk seketika kemudian keluarkan adunan dari mangkuk. Uli dan tumbuk doh sehingga ia tidak lagi melekit. Sekiranya doh masih melekit selepas beberapa minit menguli, boleh tambahkan tepung sedikit demi sedikit untuk mendapatkan konsistensi yang anda inginkan.

Simpan homemade playdoh anda di dalam bekas kedap udara untuk memastikan ia tahan lama. Sekarang bolehlah main playdoh puas-puas. Hmmmm. Nak buat bentuk apa?

dino playdoh




Hakcipta iluminasi.com (2017)