Nama Malique sememangnya tak perlu diperkenalkan lagi. Dengan gaya penulisannya yang sangat unik dan susunan muzik yang lain daripada yang lain, Malique kini terkenal sebagai pencipta lagu-lagu bagi penyanyi masa kini.
Namun, satu ketika dahulu, Malique bersama-sama Joe Flizzow adalah pelopor muzik hip-hop yang tidak tertanding oleh artis-artis lain. Duo Too Phat ini dianggap sebagai Raja Hip Hop Malaysia yang mencipta kejayaan di persada antarabangsa.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, kini Malique lebih gemar bekerja di belakang tabir dan sangat jarang dilihat di kaca TV, membuatkan ramai yang tertanya-tanya mengenainya. iluminasi.com ingin berkongsi mengenai kisah hidup dan perjalanan muzik seorang anak seni yang menggelarkan dirinya "The General" ini.
Kehidupan awal dan permulaan karier muzik (1977– 1998)
Dilahirkan pada 21 Ogos 1977 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Malique Ibrahim merupakan anak bongsu kepada pasangan Ibrahim Abdullah dan Asmah Mohamed. Mempunyai darah Melayu, Thailand dan Arab, bapa beliau bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di MRSM. Abang dan kakak Malique bekerja dalam bidang kewangan dan undang-undang.
Malique menghabiskan awal kehidupannya di Amerika Syarikat ketika bapanya menyambungkan pelajaran dalam bidang linguistik. Selepas pulag ke Malaysia, Malique masuk ke SRK Ismail (1) di Muar, Johor. Beliau kemudiannya ditawarkan ke sekolah berasrama penuh di Sekolah Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur dari tahun 1990 hingga 1992, dan menyambung pelajaran mengengah atas di MRSM Taiping (Program Khas Pendidikan).
Malique menamatkan pelajaran di MRSM Taiping pada tahun 1994.
Sejak kecil lagi Malique sudah menunjukkan bakat dalam bercerita dan menulis karangan serta memenangi pelbagai pertandingan menulis. Di sekolah rendah, penulisannya tersangat bagus sehinggakan dituduh melakukan plagiat, dan dihadapkan di hadapan panel-panel guru namun kerjanya dibuktikan asli.
Minat terhadap muzik dan hip-hop bermula ketika beliau di usia remaja selepas mendengar album Walking With a Panther oleh rapper Amerika Syarikat, LL Cool J. Ketika berusia 18 tahun, Malique berpindah ke Kuala Lumpur menyambungkan pelajaran peringkat A Level di MRSM Cheras.
Dan ketika itulah Malique bertemu dengan Joe Flizzow, dan berpindah ke Subang Jaya. Ketika ini, Malique dan Joe mula membuat persembahan sebagai duo di gig underground dan mengejar dunia muzik menggunakan nama Too Phat.
Di awal karier, Too Phat (1998-2006)
Pada 28 Mac 1998, Too Phat membuat persembahan pertama di Kafe Malibu, Kuala Lumpur. Melihatkan pada persembahan itu, Too Phat ditawarkan peluang rakaman oleh Positive Tone dan juga Strange Culture Records. Namun disebabkan mentaliti "underground" mereka, Too Phat memilih untuk bekerjasama dengan Strange Culture Records dan mengeluarkan dua demo.
Kedua-dua demo itu tidak mendapat sambutan, dan pada tahun 2000 Too Phat membuat keputusan berpindah syarikat ke Positive Tone. Di bawah naungan Positive Tone, CEO ketika itu, Ahmad Izham Omar memberikan kebebasan kepada Too Phat untuk menghasilkan muzik sendiri.
Ketika itulah penghasilan Whutthadilly? bermula. Membuat rakaman di Platinum Studios yang berkongsi bangunan yang sama dengan Positive Tone adalah pengalaman studio sebenar yang pertama bagi 2 anak muda ini. Tamat usaha rakaman, Whutthadilly? dilancarkan pada tahun 2000 dan menjadi album hip-hop paling besar di Asia Tenggara ketika itu.
Malique menggelarkan dirinya sebagai "General".
"Cuti" dan penghasilan album OK (2006-2007)
Selepas 3 album Too Phat yang dianggap sebagai berjaya, duo ini melancarkan album Too Phat terakhir, iaitu Rebirth to Reality. Persembahan terakhir di hadapan umum oleh Malique adalah ketika Too Phat membuat pembukaan bagi konsert Kanye West pada tahun 2007.
Selepas persembahan tersebut, Malique mengambil "cuti" daripada dunia hiburan dari tahun 2007 hingga 2008 untuk fokus kepada penulisan dan penghasilan album solo sulungnya, "OK".
Dilancarkan pada tahun 2008, OK dihasilkan secara persendirian, dan Malique menjadikan co-producer nya, iaitu D'Navigator sebagai rakan kongsi dalam label rakaman baru iaitu Qarma Musiq. D'Navigator juga merupakan penyusun muzik bagi hampir kesemua lagu dalam album OK.
Album OK mengambil masa 18 bulan untuk dihasilkan termasuklah susunan dan muka depan yang dihasilkan sendiri oleh Malique. Untuk mendapatkan dana menghasilkan album OK, Malique mencetak CD dengan 2 buah lagu unmastered iaitu Assalamualaikum yang menampilkan Adeep Nahar, dan OK menampilkan Cat Farish.
Malique kemudiannya menjual CD "OK" bersendirian dengan tandatangannya di muka hadapan CD tersebut. CD-CD ini kebanyakannya dibeli oleh kenalan dalam komuniti hip-hop dan industri muzik, serta beberapa orang peminat sebagai tanda sokongan.
Produk akhir album OK menampilkan 20 lagu dengan 2 CD, terdiri daripada 15 lagu dalam Bahasa Melayu. Namun, majoroti pendengar mahukan Too Phat dan ragu-ragu dengan Malique sebagai artis solo yang menyanyikan lagu rap Bahasa Melayu. Dengan itu, beliau mengalami kesukaran memasarkan albumnya dan banyak kedai rakaman yang besar enggan mengedarkan album OK. Menurut mereka, album itu tak akan berjaya dijual, melainkan ianya album Too Phat.
Malique kemudiannya pergi ke kedai-kedai rekod bebas dan mereka telah membuat keputusan melancarkan album OK di The Super Sunday Store, sebuah kedai muzik indie dan pakaian terletak di Sungei Wang Plaza. Di penghujung hari pelancaran, hanya 6 album berjaya dijual.
Bertepatan dengan pelancaran album ini, Malique mengeluarkan sebuah single daripada album itu yang diberi nama "Mantera Beradu" menampilkan komposer dan penyanyi terkenal Datuk M.Nasir.
Lagu Mantera Beradu mendapat sambutan yang sangat hangat dan terus dimainkan di radio-radio Malaysia, menduduki tangga pertama carta untuk 3 bulan berturut-turut. Selepas kejayaan Mantera Beradu, Malique ditawarkan kerjasama oleh Warner Music Malaysia yang menawarkan perjanjian pengedaran album.
Malique menerima tawaran itu yang menjadi kerjasama perkongsian jangka masa panjang. Album OK diedarkan oleh Warner Music dan diletakkan di kedai-kedai rakaman besar, dan akhirnya ia tersedia untuk dibeli oleh orang ramai.
Ahmad Izham Omar dari Positive Tone membuat ulasan mengenai album OK dengan berakta, "OK adalah salah satu album yang telah berjaya menggabungkan kesenian yang hebat dan menarik perhatian orang ramai. Ia bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan,"
Album OK juga memperkenalkan beberapa penyanyi baru termasuklah Najwa Mahiaddin dalam lagu Kau Yang Punya, Chi Qa dalam VVS1 dan Elvira dalam Pergi Jauh. Single Mantera beradu terjual melebihi 1.2 juta dalam unit digital sehingga kini. Lagu Kau Yang Punya, iaitu penghasilan semula lagu You Got Me oleh The Roots mendapat sambutan hangat di Indonesia, termasuk dalam Top 10 carta radio negara itu.
Sebanyak 2,000 album OK terjual dan album ini tidak dicetak lagi selepas itu membuatkan ia menjadi item koleksi yang dicari-cari. Album OK memenangi Album Hip Hop terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik (Mantera Beradu) dan Lagu Inggeris Terbaik (KL Streets) di Anugerah AIM 2009. Malique juga tercalon sebagai Artis Baru Terbaik.
Album K.O THE MIXTAPE - 2009 hingga 2010
Pada tahun 2008, Malique bekerjasama dengan rakan lama beliau iaitu DJ Fuzz dari Teh Tarik Crew dan Bum Squad DJ yang menghasilkan album campuran diberi nama K.O The Mixtape. Dihasilkan oleh Malique dan DJ Fuzz, album yang juga diedarkan oleh Warner Music ini terdiri daripada 19 buah lagu yang kebanyakannya adalah lagu remix dari album OK.
Single pertama dari album K.O The Mixtape adalah Cerita Kedai Kopi menampilkan Salam, yang merupakan remix lagu Malique iaitu Rahsia. Lagu Cerita Kedai Kopi mengikut jejak langkah Mantera Beradu dan berjaya berada dalam carta radio selama setengah tahun.
Album K.O The Mixtape memenangi Album Hip Hop Terbaik, dan lagu Cerita Kedai Kopi memenangi Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2010, memberikan 2 anugerah AIM pertama bagi DJ Fuzz, dan anugerah ke-11 dan ke-12 bagi Malique.
Sepertimana album OK, album K.O The Mixtape juga terjual sebanyak 2,000 salinan dan tidak dicetak semula.
Album TKO - 2010 hingga kini
Pada tahun 2010, Malique memulakan penghasilan album terakhirnya, diberi nama TKO dengan beberapa lagu dikeluarkan di sepanjang tahun 2010 hingga 2012. 2 lagu pertama yang dilancarkan menampilkan Senyum dan Perang Dah Tamat. Lagu senyum merupakan kerjasama kedua antara Malique dan Najwa Mahiaddin, sebuah lagu yang didedikasikan kepada isteri dan anak perempuannya.
Perang Dah Tamat pula lagu keamanan yang menampilkan kumpulan nasyid, Rabbani. Lagu Senyum mengatasi Perang Dah Tamat yang menjadi Top 5 di carta-carta radio selama 4 bulan.
Selepas pelancaran lagu Senyum, rakan kongsi Malique, D'Navigator membuat keputusan meneruskan mengambil jalan sendiri dan kedua-duanya berpisah dengan baik.
Setelah mendapat perhatian industri muzik sebagai produser, Malique ditugaskan oleh pihak ketiga untuk menghasilkan lagu. Beliau bekerjasama dengan Tripdisz sebagai penyusun muzik dan co-producer. Lagu pertama yang dikeluarkan bertajuk Cemburu untuk Amanda Imani, yang menampilkan Malique. Ia diikuti oleh rangkaian media satelit Astro yang mahukan lagu tema untuk siri TV Jangan Ambil Padang Kami yang bertajuk Bangun Harimau Bangun.
Malique dan Cat Farish pula ditugaskan menghasilkan semula lagu propaganda tahun 1990an, Setia.
Pada tahun 2011, pelawak dan personaliti TV Zizan Razak berjumpa dengan Malique kerana berminat dengan demo Bawaku Pergi yang sebelum itu dihasilkan untuk penyanyi rock, Ella. Lagu Bawaku Pergi dikeluarkan di bawah Qarma Musiq dan dinyanyikan oleh Zizan dan Kaka Azraff. Lagu ini tidak masuk ke dalam carta kerana liriknya disalahtafsirkan oleh Kementerian Kebudayaan dan dilarang daripada disiarkan.
Walaupun hampir tidak dikeudarakan di radio-radio, lagu Bawaku Pergi masih berjaya menghasilkan jualan yang sangat tinggi dan video rasminya ditonton sebanyak 11 juta kali di Youtube.
Di penghujung tahun 2011, Malique mengeluarkan lagu Aku Maafkan Kamu menampilk penyanyi pop lagenda, Datuk Jamal Abdillah. Sekali lagi lagu ini menjadi Top 3 di carta radio selama 3 bulan dan ditonton sebanyak 3.2 juta kali di Youtube sebelum pelancaran Teman Pengganti yang diduet oleh Malique dan Black.
Teman Pengganti ditulis dan dihasilkan oleh Malique sendiri dan mendahului carta untuk 6 bulan yang belum pernah dilakukan mana-mana lagu, dan kekal dalam carta selama hampir setahun.
Lagu Teman Pengganti berjaya memasuki final Anugerah Juara Lagu 2011, di mana Malique digantikan oleh pendatang baru RJ. Lagu tersebut berjaya memenangi anugerah Persembahan Terbaik.
Kedua-dua lagu Teman Pengganti dan Aku Maafkan Kamu dinominasi dalam kategori sama Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah AIM 2011, dan dimenangi oleh Aku Maafkan Kamu. Malique dan Black juga memenangi Anugerah Flava di Anugerah Shout 2012 untuk lagu Teman Pengganti.
Gaya penulisan
Malique sangat terkenal dengan liriknya dan gayanya yang elegan. Perkataan-perkataannya sangat bermakna dan menyentuh isu semasa, kemanusian dan kekeluargaan. Liriknya juga mencerminkan betapa dalamnya kecintaannya terhadap pengetahun, sejarah, kesusasteraan dan budaya dunia.
Di penghujung kariernya, beliau mendapat perhatian pendengar luar bandar disebabkan lirik Bahasa Melayu beliau. Beliau sangat mementigkan ketepatan tatabahasa, memilih menyampaikan liriknya dalam bahasa baku dan bukan bahasa seharian kerana Malique percaya keindahan bahasa Melayu paling baik dipamerkan dengan cara ini.
Satu-satunya pengecualian adalah dalam lagu Rahsia di mana bahasa Melayu lazim digunakan.
Pengaruh dan teknik muzik
Album OK dihasilkan dengan menulis di atas jurnalnya, namun selepas itu Malique mengubah tekniknya dan mula menulis dan menyimpan lirik sepenuhnya dalam fikiran. Beliau dikenali dalam industri ini sebagai seorang yang mahukan kesempurnaan sehinggakan pernah membuang lagu yang telah siap dan bermula semula dari awal kerana tidak sukakan lagu tersebut.
Beliau juga kerap bertukar fikiran mengenai susunan muzik dan artis yang ingin ditampilkan, membolehkan rakan sekerja dan artis lain mengguna kemahiran maksimum mereka.
Kehidupan peribadi
Malique berkenalan dan mula mempunyai hubungan dengan pelakon Melissa Maureen Rizal pada tahun 2015. Hubungan ini disembunyikan daripada perhatian umum. Dan pada 6 Jun 2006, Malique dan Melissa telah bertunang dan menetapkan tarikh perkahwinan mereka 2 tahun kemudian iaitu pada 8 Ogos 2008.
Majlis perkahwinan mereka di adakan secara tertutup di Nusa Dua, Bali. Akad nikahnya dihadiri oleh saudara terdekat kedua-dua belah keluarga dan beberapa rakan karib termasuklah D'Navigator, DJ Fuzz, DJ T-Bone dan Joe Flizzow.
Pasangan ini dikurniakan 4 cahaya mata, iaitu Inca Medina,9, Rumi Arjuna, 7, Chasca Maya, 5 dan Ezra Aditya 3. Malique dan isteri bersama anak-anak tinggal di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Kesihatan
Malique dikhabarkan mengalami masalah kesihatan terutamanya selepas pelancaran lagu Teman Pengganti. Khabar angin itu mengatakan Malique mengalami ketumbuhan otak, barah malah kematian. Namun sehingga kini, Malique tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan serius.