Oleh pada 02 Feb 2017 kategori

Seperti yang kita semua tahu, bolasepak merupakan satu sukan yang paling popular di serata pelusuk dunia. Ini dapat dibuktikan dengan jumlah kehadiran penyokong di mana-mana stadium tak kira di dalam atau luar negara.

Uniknya di Malaysia, sukan bolasepak juga kadangkala diguna sebagai tanda aras kemajuan dan kejayaan sesebuah negeri atau tempat berdasarkan pencapaian pasukan bolasepak negeri atau tempat yang diwakili. Maka tidak hairanlah jika terdapat perbalahan antara penyokong pasukan-pasukan yang bersaing dalam liga kompetitif, masing-masing ingin menghebahkan kehebatan pasukan yang mewakili negeri kesayangan mereka.

Lazimnya, terdapat pelabagai isu di luar padang yang menghangatkan lagi arena bolasepak selain prestasi pasukan termasuklah penajaan pasukan, rekaan terbaru jersi pasukan, perpindahan pemain, dan penggajian pemain.

pertembungan liga super kedah felda

Di dalam padang

Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang pertembungan antara 2 pasukan ini memandangkan sejarah pasukan yang cukup berbeza. Jika ada pun, mungkin melibatkan kekasaran pemain seperti insiden yang berlaku pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia musim 2015 di Stadium Darulaman, Alor Setar. Dalam perlawanan tersebut, pemain berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin telah diarah keluar padang ekoran layangan kad merah setelah mengutip kad kuning kedua. Beliau dilihat jelas mengasari pemain pertahanan kiri Kedah ketika itu, Shafizan Hasim. Perlawanan memihak tuan rumah, Kedah dengan kemenangan 2-1 setelah seri 2-2 pada perlawanan sebelumnya. Kedah kemudiannya mara ke perlawanan akhir sebelum tewas 2-0 di tangan Selangor.

barisan pemain felda united

Bagi saingan musim ini, kedua-dua pasukan dilihat sama hebat. Masing-masing punyai aura dan kehebatan tersendiri. Felda United yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman seperti Norfazly Alias, Wan Zack Haikal, Shukor Adan, dan juga Norshahrul Idlan Talaha nyata mampu menggerunkan mana-mana pasukan yang dihadapi mereka. Tidak cukup dengan itu, pemain-pemain muda yang meningkat naik seperti Hadin Azman dan Syahid Zaidon dijangka dapat memberi impak besar dalam perlawanan manakala penggempur import, Lucas Cano dan Gaston Cellerino diharap akan sentiasa memberi masalah kepada pertahanan lawan.

pasukan kedah beri saingan sengit

Seperti kebiasaan, Kedah terkenal dengan pemain-pemain muda yang mempunyai kualiti hampir setanding dengan pemain berpengalaman. Pemain-pemain seperti Amirul Hisyam Awang Kechik, Abdul Halim Saari, Farhan Roslan, dan Syafiq Ahmad terbukti berkesan lebih-lebih lagi bila digandingkan bersama pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, dan Syazwan Zainon. Pemain-pemain import seperti Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva melengkapkan kombinasi pemain pasukan Kedah.

Menjelang pertembungan kedua-dua pasukan sabtu, pasukan Felda United dilihat setara dengan Kedah walaupun berstatus tuan rumah. Kedah pula telah mengumum akan menurunkan Rizal Ghazali pada perlawanan ini.

Di luar padang

Isu perpindahan pemain merupakan yang paling hebat diperkatakan lebih-lebih lagi sebelum musim bermula. Ini adalah perkara biasa memandangkan setiap pasukan pasti mempunyai perancangan dalam memantapkan lagi pasukan bagi memburu kejuaraan di musim yang akan datang.

Terbaru, dunia sukan bolasepak tempatan digemparkan dengan isu status kontrak pemain pertahanan negara iaitu Rizal Ghazali. Nama pemain pertahanan berusia 25 tahun itu mula menjadi buah mulut ramai kerana prestasi cemerlang beliau sewaktu menyarung jersi hijau kuning bersama Kedah. Beliau kemudiannya dipanggil untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan sekaligus melonjakkan lagi namanya di persada sukan bolasepak tanahair.

rizal ghazali mewakili malaysia

Berbalik kepada isu Rizal Ghazali, hal ini bermula apabila beliau dikhabarkan telahpun menandatangani kontrak bersama pasukan Felda United sebelum berakhir saingan Piala Malaysia musim lalu ketika kontrak beliau dengan Kedah masih berbaki sebulan. Setelah selesai saingan Piala Malaysia, pemain kelahiran Baling, Kedah ini telah diberikan lanjutan kontrak selama setahun bersama Kedah yang turut dipersetujuinya. Ini membuatkan beliau ketika itu memiliki kontrak dari kedua-dua pasukan. Hal ini membuatkan pihak Felda United ternyata berang dengan tindakan pemain tersebut yang melanggar perjanjian yang ditandatanganinya sebelum ini dan mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar afidavit kepada Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Walaupun begitu, Kedah tetap menurunkan beliau ketika perlawanan pembukaan musim ini menentang JDT di Larkin dan kemudiannya turut serta dalam perlawanan kedua Liga Super menentang Sarawak di Stadium Darulaman. Kedah mengumpul 4 mata hasil kedua-dua perlawan tersebut di mana Kedah terikat 1-1 menentang JDT sebelum membawa pulang 3 mata berharga mengatasi Sarawak 3-2. Ini berikutan Kedah sudah mendaftarkan namanya dalam senarai pemain yang dihantar ke Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Dari tempat penyokong

rizal ghazali terpalit kontroversi isu kontrak

Jika dinilai prestasi semasa, Rizal Ghazali adalah salah satu nama yang tidak asing lagi bagi peminat bolasepak tempatan berikutan persembahan beliau yang cukup mantap dalam menonjolkan kualiti permainan di dalam padang. Maka tidak hairanlah jika beliau mendapat perhatian dan menjadi sasaran pasukan-pasukan lain yang bertanding. Ini dibuktikan apabila beliau menjadi tunjang kejayaan Kedah menjuarai Liga Perdana musim 2014-2015. Prestasi cemerlang beliau membuahkan hasil apabila mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee untuk menyertai skuad kebangsaan.

Kejayaan beliau tidak terhenti di situ sahaja apabila beliau sekali lagi menjadi watak penting bagi pasukan Kedah sepanjang musim lalu, membolehkan pasukan dari utara tanahair itu merangkul kejuaraan Piala Malaysia yang juga disifatkan piala paling berprestij dalam kancah bolasepak Malaysia setelah ketandusan piala beberapa musim sebelumnya. Sehingga ke saat ini, nama Rizal Ghazali masih menjadi buah mulut penyokong, khusunya penyokong Kedah atas kualiti yang ditunjukkan. Beliau juga meraih gelaran Pemain Terbaik dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Nama Rizal Ghazali seterusnya semakin melonjak setelah membantu Kedah membawa pulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau lebih sinonim dengan gelaran Piala Sumbangsih. Perlawanan tersebut menyaksikan Kedah berkongsi satu mata dengan Johor Darul Takzim FC (JDT) selepas seri 1-1 tetapi membawa pulang Piala Sumbangsih setelah menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-5.

rizal ghazali piala malaysia 725

Untuk pengetahuan anda, kes seperti ini bukanlah pertama kali berlaku di Malaysia. Sebelum ini, ia berlaku melibatkan pemain tengah JDT iaitu Gary Steven Robat. Beliau pernah dikenakan denda RM50,000 dan digantung selama 3 bulan dari menyertai mana-mana perlawanan sebagai hukuman atas kesalahan tersebut. Perkara yang sama juga mungkin dikenakan ke atas Rizal Ghazali. Hukuman seperti itu mampu sedikit sebanyak merencatkan perkembangan karier seseorang pemain kerana perlu berehat lama tanpa sebarang perlawanan kompetitif. Ia juga dikhuatiri membuatkan pemain sukar untuk kembali ke prestasi asal sebelum menjalani hukuman.

Bagi penyokong Felda United, sudah pasti terkilan berikutan isu ini kerana menjangka dapat memberi lebih saingan dalam usaha merebut takhta juara Liga Super musim ini setelah mendapat khidmat Rizal Ghazali. Apatah lagi Felda United berada di tangga kedua musim lalu berbeza 15 mata di belakang JDT seterusnya melayakkan mereka ke peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC (Asian Football Confederation). Felda United kini di tangga ketujuh liga, mengutip 3 mata dalam 2 perlawanan.

Penyokong Kedah juga tidak kurang risaunya mengenai isu ini. Mana tidaknya, Rizal Ghazali sudah diangkat sebagai wira mereka setelah membantu Kedah kembali ke kelompok atasan Liga Super. Ada juga yang tidak senang duduk berikutan Kedah telah menurunkan pemain tersebut dalam 2 perlawanan liga sebelum ini. Ada logiknya juga kerisauan penyokong jika pasukan Kedah turut dikenakan hukuman penolakan mata kerana menurunkan pemain tidak sah dalam kedua-dua perlawanan. Kedah mengakhiri saingan Liga Super musim lalu di tangga ketiga dengan mengutip 37 mata. Setakat ini, Kedah berada di tangga keempat liga, mengutip 4 mata dari 2 perlawanan.

Diharapkan isu-isu seperti ini tidak merencatkan kehangatan Liga Malaysia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan Sabtu ini. Penyokong kedua-dua pasukan juga diminta tidak terlalu emosi dalam menyuarakan pendapat mereka. Suka saya ingatkan, isu ini masih dalam siasatan Jawatankuasa Status Pemain dan keputusan rasmi akan keputusannya dijangka akan diumumkan pertengahan bulan Februari ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)