Kredit foto: BH Online
Menyelar tindakan akhbar yang berkongsi foto rumah keluarganya, aktres Fazura menganggap sesetengah wartawan tidak mempunyai etika ketika membuat laporan.
Pemegang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 itu mengaku, dia kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang seakan tidak menghormati keluarganya.
"Pertama, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakan media. Sepanjang dua minggu lalu, macam-macam hal ya?
"Saya nak ucap terima kasih kepada semua rakan media yang memilih untuk tunggu sehingga tarikh ini, 23 November untuk sidang media ini. Tetapi saya juga ingin luahkan rasa sedikit kesal dengan segelintir anda yang agak keterlaluan ketika membuat laporan.
"Pergi ke rumah sesebuah keluarga, ambil gambar dan siarkan gambar itu untuk satu negara lihat, saya rasa adalah tidak beretika, menceroboh privasi dan tidak hormat kepada keluarga kami, juga hak kehidupan kami.
"Kita masih berada di Malaysia, bukan di negara luar, dan saya percaya kita masih ada adab, budaya dan rasa hormat antara satu sama lain.
"Saya juga kesal dengan berita tidak benar dan pelbagai spekulasi yang anda tulis hampir setiap hari seterusnya mengelirukan peminat kami, menimbulkan pelbagai fitnah sewaktu kami beribadat di Tanah Suci.
"Ingin saya ingatkan bahawa keluarga saya berhak untuk memilih privasi dan berhak dihormati, bukan dicerobohi dan dipermainkan oleh segelintir pihak yang mahu menjadi sumber berita utama," katanya.
Fazura membuat kenyataan di sidang media tergempar yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur petang semalam.
Pasangan ini berangkat ke Mekah pada 15 November lalu untuk mengerjakan ibadah Umrah.
Sepanjang pemergian, netizen berspekulasi kononnya pasangan ini telah bernikah dua hari sebelum berlepas ke sana.
Fattah dan Fazura mula berkawan rapat sejak membintangi drama rantaian Hero Seorang Cinderella.
Sumber berita: Berita Memey