Kredit foto: Mstar

Aktor dan sutradara popular, Datuk Farid Kamil Zahari ditahan polis dipercayai kerana mengamuk dan menampar seorang anggota polis dalam sebuah kejadian di Balai Polis Trafik, Kota Damansara, Petaling Jaya, awal petang tadi.

Difahamkan, Farid tiba ke balai polis berkenaan bersama seorang lagi rakan bertujuan untuk membuat laporan tentang kes kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dalam kenyataannya kepada Mstar Online berkata, "Bagaimanapun ketika ditanya mengenai tujuan laporan ingin dibuat, Farid menunjukkan mesej aplikasi Whatsapp berbunyi '300 artis hutang ah long'.

"Dia tiba-tiba bertukar berang sebelum menampar anggota polis berkenaan yang turut disaksikan oleh seorang anggota lain dan tiga orang awam.

"Selain menampar polis dia turut menyepak dua orang awam lain".

Sementara itu, Mohd Zaini menambah, aktor itu sedang ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.

Dalam pada itu, Utusan Online melaporkan, Farid disyaki berada di bawah pengaruh dadah. 

“Ujian air kencing sedang dijalankan bagi menentukan sama ada dia di bawah pengaruh dadah,” kata seorang sumber kepada portal berita berkenaan.

Sumber berita: Utusan Online & Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)