Sehebat manapun sistem keselamatan sesebuah penjara itu, pasti akan ada individu yang berjaya menumpaskannya. Hampir semua penjara di dunia ini mempunyai kelemahan masing-masing dari segi struktur dan juga kawalan manusia.
Walaupun begitu, meloloskan diri dari penjara bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan perancangan yang teliti. Sepanjang sejarah manusia, terdapat pelbagai cara yang digunakan oleh banduan untuk membebaskan diri mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Beberapa daripadanya diceritakan sendiri oleh seorang pengawal penjara (kita namakan pengawal A) yang masih bertugas di Nevada Corrections Department, Amerika Syarikat.
Pengawal A memberikan nasihat pakar tentang banduan meloloskan diri kerana siapa lagi yang lebih layak untuk mengajar kita cara melarikan diri daripada penjara melainkan mereka yang bertanggungjawab untuk membanteras tindakan ini, kan?
Daripada kesemua banduan yang meloloskan diri dari penjara dalam tempoh 60 tahun yang lalu, kurang daripada 12 orang sahaja yang berjaya bebas sehingga ke hari ini.
Bukan sahaja mereka yang melarikan diri ini tidak akan berjaya, malah hanya akan menambahkan tempoh hukuman sedia ada, menghapuskan peluang parol dan jika hukuman sedia ada adalah penjara sepanjang hayat, banduan akan dimasukkan ke sel pengasingan untuk tempoh yang sangat lama.
Pengawal A memberitahu bahawa pengasingan ini sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu takut, kerana dia telah melihat banduan yang paling jahat menagis teresak-esak hanya selepas beberapa minggu terkurung bersendirian selama 23 jam sehari.
Pengawal A yang pakar dalam hal ini menjelaskan tentang kebenaran 3 strategi untuk melarikan diri dari penjara yang pernah berlaku.
1. Pistol palsu
John Dillinger adalah salah seorang perompak bank paling terkenal di Amerika.
Pada satu ketika, John pernah terkurung di dalam sebuah penjara yang mana Sheriff tempatan becakap gah tentang penjara itu yang dikatakan kebal. Ini selepas John berjaya meloloskan diri dari penjara sebelumnya, jadi Sheriff tersebut mengarahkan beberapa pengawal tambahan untuk memastikan perkara yang sama berulang.
Namun, ketika para pengawal tersebut memberikan perhatian penuh kepada ancaman dari luar, di mana kejadian meloloskan diri oleh John dari penjara sebelum itu dibantu oleh rakan-rakannya, John sedang merancang sesuatu dari dalam untuk membebaskan dirinya.
Kebanyakan daripada sumber bersetuju bahawa John menggunakan pistol kayu yang diukirnya daripada sebatang kayu dan dicat hitam menggunakan penggilap kasut, untuk cuba melarikan diri.
Dia kemudiannya merampas mesingan daripada pengawal, mencuri kereta Sheriff tersebut dan meloloskan diri.
Sumber lain mendakwa bahawa pistol tersebut dihasilkan daripada kentang, manakala yang lain mengatakan bahawa pistol palsu diseludup masuk oleh salah seorang daripada peguamnya, Jadi, apa pendapat Pengawal A tentang teknik meloloskan diri menggunakan pistol palsu ini?
Pertama, dia meragui bahawa John menghasilkan senjata tersebut sendiri, dan berkata kebarangkalian untuk John mempunyai kemahiran dalam mengukir untuk menghasilkan pistol daripada sebatang kayu adalah sangat rendah.
Dia mengesyaki bahawa pistol palsu itu diseludup masuk, namun tertanya-tanya mengapa tidak diseludup masuk pistol sebenar kerana pada ketika itu, tiada pengesan logam di penjara. Jadi, satu-satunya sebab yang munasabah adalah mungkin peguam John percaya bahawa anak guamnya tidak begitu berisiko jika ditangkap dengan pistol palsu berbanding pistol sebenar.
Teknik meloloskan diri sebegini dikatakan sangat sukar untuk dilakukan pada hari ini. Pertama sekali, hanya beberapa orang sahaja pengawal yang bersenjata, dan mereka yang membawa senapang diasingkan daripada populasi umum.
Para pengawal mungkin membawa senjata iringan tetapi hanya ketika mengiringi banduan keluar daripada penjara.
Jadi, jika anda ingin menghasilkan pistol palsu sendiri, anda harus memastikan ia betul-betul kelihatan seperti pistol Beretta 9 milimeter atau .45 kaliber, yang mana memerlukan kemahiran artistik yang sangat tinggi untuk menipu pengawal.
John berjaya melarikan diri mungkin hanya kerana dia menghasilkan pistol .38 special, pistol yang bersaiz kecil dan mudah untuk ditiru.
Masalah kedua untuk meloloskan diri dengan cara ini adalah untuk mendapatkan bahan dan alatan bagi menghasilkan pistol palsu. Banduan biasanya diperiksa untuk membanteras penyeludupan bahan larangan termasuklah sel-sel mereka, dan menghasilkan pistol moden yang serupa memerlukan masa yang lama.
Selain itu, pistol tersebut perlu mempunyai bau seperti pistol sebenar untuk menipu para pengawal yang berpengalaman mengendalikan senjata tersebut.
Jadi, Pengawal A tidak percaya dengan strategi pistol palsu ini namun berkata bahawa jika John sendiri yang menghasilkan pistol tersebut, kemungkinan besar dia mengukirnya menggunakan kentang kerana ia mudah didapati dan mudah diukir.
2. Bina terowong dan menaiki rakit
Pada 11 Jun 1962, banduan penjara Alcatraz iaitu Frank Lee Morris dan adik beradik John dan Clarence Anglin melalukan sesuatu yang mustahil.
Mereka telah melarikan diri dari apa yang dianggap sebagai penjara paling kebal di Amerika.
Ketiga-tiga mereka menggunakan alat buatan tangan untuk menggali terowong melalui dinding sel mereka selama setahun, dan dari situ mereka berjaya masuk ke ruang pengudaraan dan sampai ke bumbung.
Mereka kemudiannya menuruni bumbung dan memanjat pagar, lalu memasang sebuah rakit yang dihasilkan daripada baju hujan dan simen getah yang mereka curi. Setelah siap, mereka berlayar di atas air berais di Teluk San Francisco dan apa yang berlku kemudiannya kekal sebagai sejarah.
Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk melarikan diri dari penjara Alcatraz adalah menggali terowong untuk mendapatkan akses ke koridor atau ruang pengudaraan, dan menaiki rakit untuk memperoleh kebebasan.
Untuk memperbodohkan pengawal penjara, mereka menghasilkan kepala palsu dan meletakkannya di atas katil sebagai ganti kepada diri mereka.
Dalam kes ini, pengawal pakar ini menegaskan bahawa penjara Alcatraz pada asalnya adalah kubu tentera lama, dan tidak direka bentuk untuk penjara sebenar. Ini bermakna terdapat beberapa kelemahan kepada fasiliti ini yang boleh digunakan oleh banduan untuk meloloskan diri.
Ini termasuklah simen yang lemah dan ruang pengudaraan sel.
Akan tetapi, penjara moden dibina sepenuhnya untuk menjadi kebal, biasanya setiap sel dihasilkan sebagai satu pagar keluli dengan bukaan kecil untuk memasang air dan paip pengudaraan.
Paip pengudaraan moden hanya bersaiz beberapa inci dan mustahil untuk manusia melepasinya.
Dikelilingi oleh kerangka keluli, adalah mustahil untuk seseorang membina terowong tanpa bantuan alatan kuasa berat, apatah lagi menggunakan alat buatan yang dihasilkan oleh trio ini.
Malah, pemeriksaan kerap ke atas setiap sel untuk mengelakkan sebarang tanda yang mencurigakan bukan hanya ke atas bahan larangan, jadi teknik meloloskan diri dengan cara ini agak mustahil.
Bagi hal menghasilkan rakit menggunakan baju hujan yang dicuri, pengawal pakar ini mengatakan bahawa ini adalah bahagian yang paling boleh dicapai dari rancangan meloloskan diri dari penjara ini.
Ini kerana banduan sangat licik dan mempunyai kesabaran tinggi.
Dan dengan masa yang cukup, banduan mampu mengumpulkan pelbagai bahan mentah yang dicuri sedikit demi sedikit.
Akan tetapi, mencari tempat untuk menyembunyikan barang yang dicuri ini di dalam penjara moden dan canggih adalah sesuatu yang berbeza. Malang sekali, rancangan meloloskan diri ini dikatakan mati dengan kemunculan penjara era moden.
3. Menyamar sebagai ejen
Pada tahun 1971, penjenayah licik atau con-man Frank Abagnale Jr. yang menjadi inspirasi filem Catch Me If You Can, berjaya meloloskan diri dari penjara.
Setelah dipindahkan ke Pusat Tahanan Persekutuan di Atlanta, Georgia pada tahun 1971, Frank mendapati bahawa Marshall AS yang ditugaskan ke atasnya telah terlupa membawa kertas penahanannya ketika mereka tiba.
Frank yang sangat licik menghidu kesempatan daripada kekeliruan yang disebabkan oleh kekurangan dokumen itu, telah berjaya meyakinkan pengawal tempatan bahawa sebab mengapa dokumen tersebut hilang adalah kerana dia sebenarnya pemeriksa penjara dan bukannya seorang banduan.
Dia melakukan perkara ini dengan bantuan seorang rakan jenayah dari luar yang berpura-pura sebagai ejen persekutuan.
Namun, Frank tidak meminta agar para pengawal tersebut untuk melepaskannya serta-merta, sebaliknya meyakinkan mereka dengan penipuannya selama beberapa minggu dan berpura-pura sedang mengumpulkan maklumat tentang penjara itu dan operasinya.
Dia akhirnya berjaya mendapat kepercayaan daripada para pengawal penjara yang akhirnya membenarkannya dia bertemu dengan rakan jenayahnya di luar penjara di dalam sebuah kereta. Dan dari situ, Frank menghilangkan diri.
Jadi, daripada cuba untuk menggali terowong atau menghasilkan pistol palsu, Frank menggunakan cara yang agak diplomasi dengan mulut manisnya.
Dan menurut pengawal pakar, ini adalah cara yang paling realistik untuk meloloskan diri dari penjara.
Ini kerana terdapat manusia mahupun pengawal penjara yang mudah ditipu, dan sesetengah banduan mempunyai kemahiran diplomasi dan sifat yang sangat meyakinkan. Selain itu, pengawal penjara tidak begitu mengambil tahu tentang operasi pentadbiran yang besar, seperti meletakkan pegawai yang menyamar sebagai banduan.
Aktiviti penyamaran ini berlaku dari masa ke masa tetapi biasanya untuk memantau atau menumpaskan aktiviti geng dalam penjara.
Jadi, pengawal pakar ini mengatakan bahawa kemungkinan untuk menipu atau memperbodohkan pengawal penjara untuk percaya bahawa anda seorang ejen yang menyamar dalah tinggi jika anda seorang pandai bercakap, apatah lagi jika anda mempunyai orang luar untuk mengesahkan apa yang katakan.
Akan tetapi, sistem penjara pada ketika itu tidak selaras dan setiap penjara beroperasi secara berasingan, tanpa komunikasi di antara mereka dan juga tidak dengan kerajaan persekutuan.
Sejak itu, sistem penjara telah menjadi sangat terikat secara birokrasi, dan penciptaan internet membolehkan warden penjara sentiasa berkomunikasi dengan mana-mana agensi persekutuan.
Untuk melakukan aksi ini pada zaman moden adalah sesuatu yang sangat mustahil, kerana bukan sahaja warden penjara akan diberitahu tentang ejen menyamar yang dimasukkan ke penjara mereka, tetapi dia boleh mengesahkan identiti ejen tersebut dengan hanya menghantar emel.
Meloloskan diri dari penjara moden adalah lebih sukar daripada apa yang kita fikirkan. Seperti yang diberitahu oleh pengawal pakar ini, cara untuk melarikan diri dari penjara adalah dengan tidak melakukan jenayah yang membuatkan anda dipenjarakan, atau mendapatkan khidmat peguam yang tersangat hebat.
Namun untuk melarikan diri dengan usaha sendiri, ia adalah mustahil untuk berlaku namun dia mengakui bahawa ia tetap berlaku dari masa ke masa.
Ejen persekutuan bekerjasama dengan ejen negeri untuk membincangkan strategi meloloskan diri terbaharu yang digunakan oleh banduan dan berusaha untuk menutup kelemahan di fasiliti mereka.
Jadi, setiap kali seseorang berjaya melarikan diri, pihak berkuasa akan membuatkannya menjadi lebih sukar untuk banduan lain untuk meloloskan diri. Jika anda membaca artikel ini dari penjara, anda mungkin boleh cuba cara baru untuk meloloskan diri dan jika tidak, jangan kutip sabun anda jika ia terjatuh.
Rujukan: