Oleh pada 03 May 2017 kategori

recycle money

Selalu kita dengar yang barang-barang yang boleh dikitar semula seperti tin aluminium, besi, surat khabar, kertas, kotak dan botol-botol plastik boleh dijual untuk kita mendapat sedikit duit poket. Namun begitu, ramai sebenarnya berkeinginan untuk berbuat begini tetapi tidak tahu caranya.

Walaupun kerajaan selalu melaungkan slogan-slogan kitar semula, ianya kurang mendapat sambutan kerana orang ramai yang ingin terlibat dalam aktiviti kitar semula tidak tahu apa yang perlu mereka buat dengan sampah mereka yang boleh dikitar semula ini. Ada yang bersemangat pada awalnya, namun hilang motivasi kerana tiada pulangan semula kepada mereka selepas mereka penat-penat mengumpul dan mengasingkan barang yang boleh dikitar semula yang kemudiannya diangkut oleh lori sampah begitu sahaja.

anim 757 homeanimrecycle

Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita buat duit dengan menjual ‘sampah’ ini?

1. Betulkan ‘mindset

Perkara paling penting sekali untuk buat duit dengan jual barang kitar semula adalah kita kena ingat yang barang yang kita jual ini sebenarnya sangat rendah nilainya dan tak diinginkan oleh orang. Bahasa kasarnya, sampah.

pusat kitar semula

Sekiranya kita mengumpul berguni-guni barang kitar semula ini dan kemudiannya kita jual dan cuma dapat beberapa ringgit, janganlah menjadi lemah semangat. Kita kena ingat yang barang yang kita jual tadi kalau terus dibuang ke dalam tong sampah, satu sen pun kita tak dapat.

Lagi satu, jangan malu. Kita bukannya buat kerja haram seperti mencuri, meragut atau mengedar dadah. Kita Cuma buat kerja yang menyelamatkan alam sekitar.

2. Cari tempat kitar semula

Sebenarnya tempat mengitar semula sampah ini ada di merata-rata. Namun begitu ianya tidak begitu menonjol kerana tiadanya papan tanda yang megah. Selalunya tempat mengitar semula sampah ini akan menggantung tin-tin kosong di hadapan premis mereka.

recycle

Carilah tempat kitar semula yang dekat dengan rumah anda atau berdekatan dengan laluan yang anda selalu pakai untuk ke pejabat atau ke kedai runcit. Dengan ini, anda boleh singgah sahaja ke tempat ini dalam perjalanan ke destinasi anda tanpa membazirkan duit minyak. Sudahlah cuma dapat beberapa ringgit sahaja, habis ditabur di jalan sahaja.

3. Tanya harga

Jangan malu untuk bertanya kepada operator tempat kitar semula tadi berapakah harga jualan untuk setiap jenis barang. Harga ini akan berubah-ubah setiap masa, jadi pastikan anda jual ‘sampah’ anda pada masa harganya sedang naik.

Harga untuk kertas adalah dalam lingkungan 40 sen ke 50 sen untuk setiap kilogram. Ada tempat yang memberikan harga lebih tinggi untuk kertas putih atau kotak, dan harga yang lebih murah untuk kertas yang berwarna seperti majalah atau surat khabar. Ada juga tempat yang memberikan harga yang sama untuk apa jua jenis kertas.

Harga untuk botol plastik adalah dalam lingkungan 80 sen ke RM 1 untuk setiap kilogram. Walaupun harganya lebih tinggi, perlu diingat yang botol plastik memerlukan lebih banyak ruang untuk kita simpan.

kitar 960

Harga untuk tin aluminium adalah dalam lingkungan RM 4 ke RM 6 untuk setiap kilogram. Walaupun harganya tinggi, perlu diingat yang tin aluminium adalah sangat ringan. Kita mungkin perlu mengumpul berpuluh-puluh tin aluminum untuk beratnya mencapai satu kilogram.

Selain daripada tiga jenis barang tadi, pengusaha kitar semula ini juga menerima barangan elektrik seperti televisyen, kipas angin, monitor komputer dan lain-lain. Harganya pula bergantung kepada tempat kitar semula tadi. Penulis sendiri pernah menjual sebuah monitor komputer jenis CRT dengan harga RM 8. Wayar elektrik juga mempunyai harga yang menarik. Jangan malu untuk bertanya.

Ada kedai yang meletakkan harga yang terlalu rendah daripada harga pasaran sehingga jadi tak berbaloi usaha kita, jadi pastikan kita survey dulu untuk tahu harga yang mereka tawarkan. Jangan malu sekiranya barang yang kita bawa sedikit sahaja. Selalunya pengusaha tempat kitar semula ini terima sahaja apa yang anda bawa tak kira banyak atau sikit tanpa banyak soal.

4. Jual secara berterusan

Jangan hanya jual sekali sahaja dan kemudiannya berhenti kerana pulangan yang anda dapat hanya beberapa ringgit dan sen-sen sahaja. Cuba lazimkan diri untuk menjual sampah yang anda kumpul setiap satu atau dua bulan dan simpan duit yang kita dapat di dalam tabung khas. Mungkin jumlah yang terkumpul di dalam tabung tadi mencecah ratusan ringgit sekiranya kita menjual barang kitar semula secara berterusan sepanjang tahun.

Ada masanya mungkin kita cuma dapat kumpul sedikit sahaja. Ada masa yang kita akan hasilkan lebih banyak sampah yang boleh dikitar semula contohnya di musim perayaan. Penulis sendiri telah mengumpul beratus-ratus ringgit hasil melibatkan diri dalam aktiviti menjual barangan kitar semula ini.

make money environment

Jadi, sekiranya anda bercadang untuk terlibat dalam aktiviti kitar semula ini, teruskan. Tak rugi pun. Dan pada masa yang sama, kita menjadi 'hero' untuk Bumi kita ini.

Jual sampah pun boleh dapat duit. Jangan lupa SHARE artikel ini dengan kawan-kawan yang nak duit poket lebih. 

*Harga yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri sebagai penjual 'sampah' hampir 6 tahun.


tags : , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)