kebakaran hutan australia

Ketika artikel ini ditulis, negara Australia sedang dilanda bencana kebakaran hutan yang sangat dahsyat. Kemarau yang panjang dan gelombang haba menyaksikan beberapa kawasan di Australia mencatatkan suhu melebihi 40 darjah selsius dan kebakaran kawasan hutannya.

Angin kencang dan beberapa faktor kebakaran lain menyebabkan kebakaran hutan di sana semakin merebak dan sukar dipadamkan. Malah, terdapat anggota bomba yang terkorban dan tercedera dalam usaha memadamkan kebakaran ini. Lebih menyedihkan, dianggarkan jutaan haiwan turut terkorban dalam bencana ini.

Penemuan mengejutkan mengenai 3 spesis burung 

whistling kite 295

Satu penemuan terbaru dan mengejutkan mengenai bencana ini adalah terdapat beberapa spesis burung asal di Australia yang menyebabkan kawasan kebakaran semakin merebak dan sukar dipadamkan.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dibuat, 3 spesis burung yang berasal dari tanah Australia iaitu Whistling Kite,  Black Kite dan Brown Falcon didapati menggunakan api sebagai satu cara utama untuk menghalau atau mengusir mangsa mereka.

Tabiat atau tingkah lakunya yang unik ini menyebabkan ketiga-tiga spesis burung ini digelar 'arson raptors' atau 'firehawks'. Apa yang dilakukan spesis burung ini adalah mengambil kayu-kayu yang sedang terbakar dan menjatuhkannya di kawasan-kawasan lapang dan kering untuk menakut-nakutkan haiwan lain di atas tanah. 

Hipotesis terawal mengenai kelakuan burung

firehawks

Walaupun para saintis sudah melihat kelakuan pelik ini sejak sekian lamanya, mereka pada awalnya beranggapan bahawa burung-burung ini bukannya mengambil kayu yang sedang terbakar dan kemudiannya dengan sengaja menjatuhkakn kayu tersebut di kawasan lapang.

Pada mulanya, saintis beranggapan bahawa burung-burung ini mungkin terjatuhkan kayu yang dipegang ketika sedang memburu mangsa-mangsa mereka. Namun, kajian lebih lanjut yang dilakukan mendapati bahawa burung-burung ini dengan sengaja mengambil kayu yang terbakar dan menjatuhkannya di kawasan-kawasan sekitarnya ketika memburu makanan.

Ini merupakan satu usaha mereka bagi memaksa mangsa-mangsa mereka terutamanya haiwan-haiwan kecil seperti tikus, cicak dan haiwan-haiwan kecil supaya keluar dari tempat persembunyian. Ternyata ini merupakan satu kaedah memburu yang berkesan.

Kajian lanjut sejak tahun 2012

burung helang australia

Bob Gosford, seorang peguam yang kini seorang pakar burung telah memulakan kajian mengenai tabiat burung ini pada tahun 2012 berdasarkan penemuannya terhadap catatan-catatan orang Asli di sini.

Antara catatan yang menarik minatnya untuk mengkaji lebih dalam adalah sebuah buku biografi bertajuk 'I, the Abioriginal' yang berkisarkan tentang Phillip Waipuldanya Roberts, ketua suku kaum Alawa yang juga seorang aktivis dan pekerja dalam bidang kesihatan.

Dalam buku ini, Phillip Waipuldanya Roberts menulis:

Saya melihat seekor burung mengambil kayu yang sedang terkakar menggunakan kukunya dan menjatuhkan kayu tersebut di sebuah tanah lapang yang berumput kira-kira setengah batu jauhnya. Kemudian, burung tersebut bersama dengan kumpulannya akan menyerang tikus-tikus dan haiwan-haiwan reptilia lain yang melarikan diri ketakutan.


Apabila kawasan tersebut sudah hangus terbakar dan api mulai padam, burung-burung ini kemudiannya akan mengulangi perbuatan yang sama berulang-ulang kali. Api yang dihasilkan ini dikenali sebagai "Jarulan".

punca kebakaran australia

Kajian mengenai fenomena unik ini  membawa kepada penerbitan jurnal yang dikaji semula pada akhir tahun 2017 yang bertajuk "Intentional Fire-Spreading by 'Firehawk' Raptors in Northern Australia". Jurnal ini telah dihasilkan bersama Dr Mark Bonta, Penolong Professor dari Penn State Altoona.

Jurnal kajian yang diterbitkan ini adalah dapatan kajian yang dilakukan selama 7 tahun terhadap tabiat firehawk di kawasan Northern Territory. Kajian ini turut dilakukan kawasan tanah orang Asli tempatan untuk menjalankan kajian pembakaran secara terkawal.

Dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa burung-burung ini sengaja membakar kawasan tanah lapang kerana ianya umpama pesta memburu apabila haiwan-haiwan kecil seperti cicak, tikus, burung-burung kecil melarikan diri daripada api. Ketika inilah burung-burung ini akan memburu dengan meriah umpama sebuah pesta.

Buat masa ini, para pengkaji masih meneliti tindakan yang harus diambil bagi mengelakkan kebakaran di Australia daripada terus merebak. Dr. Bonta, salah seorang pengkaji mengatakan beliau khuatir burung-burung ini akan menjadi mangsa buruan manusia setelah apa yang berlaku kini di Australia.

Melihatkan pada tabiat burung ini menggambarkan betapa besarnya kuasa Tuhan. Walaupun pelbagai teknologi dan kepakaran yang digunakan untuk memadamkan kebakaran di Australia, namun apabila Tuhan berkehendakkan sesuatu terjadi, maka jadilah ia.

Kredit:

  1. National Geographic
  2. Daily Mail
  3. Phys.org


Hakcipta iluminasi.com (2017)