Dari sudut pandang kesinambungan kehidupan, adalah penting untuk kita mengetahui berapa lamakah masa diperlukan bagi sesuatu sampah itu untuk terurai dan tidak menjadi sebahagian daripada pencemaran alam.

Dengan maklumat ini, kita mampu memfokuskan usaha untuk mengurangkan penggunaan produk yang memerlukan masa lama untuk hancur sepenuhnya.

Mari kita lihat kajian mengenai beberapa sampah popular yang sering ditemui di tapak pelupusan sampah dan tempoh yang diambil bahan itu untuk terurai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sisa Plastik

sisa plastik

Produk plastik adalah sesuatu yang sangat banyak digunakan dalam kehidupan moden hari ini. Menurut kajian Pasific Institute, kita menggunakan kira-kira 17 juta tong minyak hanya untuk menghasilkan botol air plastik pada tahun 2006.

Sisa plastik adalah salah satu bahan yang mengambil masa sangat lama untuk mengurai. Biasanya, produk seperti beg atau botol air plastik yang kita gunakan dalam kehidupan seharian mengambil masa selama 450 tahun atau lebih untuk terurai di tapak pelupusan sampah.

Jika sisa plastik itu tertanam dalam tanah, ia boleh mengambil masa sehingga 1000 tahun untuk terurai sepenuhnya.

Lampin pakai buang

lampin pakai buang

Di Amerika Syarikat sahaja, kira-kira 20 bilion keping bersamaan 3.3 juta tan lampin pakai buang telah dibuang sepanjang tahun 2018. Lampin pakai buang ini mengambil masa sekurang-kurangnya 250 hingga 500 tahun untuk terurai di tapak pelupusan sampah.

Ini menunjukkan betapa pentingnya program perkhidmatan kitar semula bagi produk penyerapan seperti lampin pakai buang atau tuala wanita.

Tin aluminium

tin aluminium

Kira-kira sebanyak 42.7 bilion tin aluminium dikitar semula di Amerika pada tahun 2019. Ini bermakna sebanyak 81,000 tin aluminium dikitar semula setiap minit.

Pada masa yang sama juga, sebanyak 10.6 bilion tan tin aluminium yang terbuang di tapak pelupusan sampah dan tidak dikitar semula.

Jumlah itu cukup besar dan jika dikitar semula mampu menghasilkan empat kali ganda jumlah pesawat komersial yang berada di Amerika. Tin aluminium memerlukan masa 80-100 tahun untuk terurai sepenuhnya

Kaca

sisa kaca

Kaca adalah bahan yang sangat mudah dikitar semula kerana ia diperbuat daripada pasir. Hanya dengan memecahkan dan mencairkannya, kita dapat menghasilkan kaca baru.

Apa yang mengejutkan ialah jika kaca dibuang di tapak pelupusan sampah, ia memerlukan masa sejuta tahun untuk terurai. Beberapa sumber mengatakan bahawa kaca tidak akan terurai sama sekali.

Sisa kertas

sisa kertas

Kertas merupakan unsur terbesar dalam sisa pepejal perbandaran Amerika. Biasanya, kertas memerlukan masa dua hingga enam minggu untuk terurai sepenuhnya. Namun, ia boleh mengambil masa sehingga 10 tahun bergantung pada tahap kelembapan tapak pelupusan sampah.

Mengitar semula sisa kertas dapat menjimatkan banyak ruang tapak pelupusan sampah. Pada masa yang sama juga menjimatkan tenaga dan bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan kertas yang tidak boleh dikitar semula.

Sisa makanan

sisa makanan

Makanan merupakan bahan buangan kedua terbesar di tapak pelupusan sampah Amerika. Masa yang diambil untuk proses penguraian bergantung pada jenis makanan.

Mengikut persekitaran yang betul, kulit limau mengambil masa selama enam bulan sementara bahagian dalam epal mengambil masa sekitar dua bulan. Kulit pisang pula memerlukan masa dua hingga 10 hari untuk terurai sepenuhnya.

Mengitar semula sisa makanan dengan menjadikannya sebagai baja kompos adalah cara yang baik untuk menjimatkan ruang di tapak pelupusan sampah.

Sisa buangan lain

tapak pelupusan sampah 2

Beberapa sumber berbeza mempunyai maklumat berbeza mengenai masa yang diperlukan bagi sesuatu sisa untuk terurai. Berikut adalah anggaran masa yang popular bagi sisa untuk terurai.

  • Kadbod - 2 bulan
  • Sarung tangan kapas - 3 bulan
  • Tali - 3 hingga 14 bulan
  • Papan lapis (plywood) - 1 hingga 3 tahun
  • Pakaian dari bulu biri-biri - 1 hingga 5 tahun
  • Kotak susu - 5 tahun
  • Puntung rokok - 10 hingga 12 tahun
  • Kasut kulit - 25 hingga 40 tahun
  • Fabrik nilon - 30 hingga 40 tahun
  • Cawan plastik fom - 50 tahun
  • Tapak kasut getah - 50 hingga 80 tahun
  • Bateri - 100 tahun
  • Tali pancing monofilamen (tangsi) - 600 tahun
  • Tuala wanita - 500 hingga 800 tahun
  • Styrofoam - Tidak boleh terurai
  • Tinfoil - Tidak boleh terurai

Pentingnya kesedaran

kitar semula

Peningkatan jumlah sampah perlu menjadi perhatian utama manusia bagi memelihara alam sekitar. Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan mengelak dari menggunakan produk yang menghasilkan sisa buangan yang memakan masa lebih daripada satu tahun untuk terurai di tapak pelupusan sampah.

Setiap isi rumah dan organisasi juga harus mempunyai rancangan proaktif untuk mengitar semula dan mengelak lebih banyak bahan dibuang ke tapak pelupusan sampah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)