Oleh pada 05 Dec 2022 kategori

Piala Dunia kali ini yang berlangsung di Qatar adalah Piala Dunia termahal yang pernah dianjurkan dalam sejarah sukan itu.

Pihak tuan rumah dikhabarkan telah membelanjakan RM1.047 trilion, jauh meninggalkan penganjur terdahulu seperti Rusia (RM73.19 bilion), Brazil (RM90.12 bilion), Afrika Selatan (RM32.94 bilion), Jerman (RM22.42 bilion), dan Korea/Jepun (RM32.02 bilion). 

Jika dibandingkan, Qatar boleh menganjurkan Piala Dunia sebanyak 47 kali berbanding jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan Jerman.

Menteri Kewangan Qatar mengakui mereka membelanjakan RM2.29 bilion setiap minggu untuk bertahun lamanya dalam membangunkan infrastruktur penting.

stadium piala dunia qatar

Bercakap tentang duit, berapakah jumlah wang tunai yang bakal dimenangi oleh pasukan dalam Piala Dunia kali ini?

Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai bagi Piala Dunia 2022 adalah sebanyak RM1.97 bilion (USD440 juta).

Dan sudah tentunya juara temasya empat tahun sekali ini bakal membawa pulang jumlah tertinggi iaitu RM192.13 juta (USD42 juta), peningkatan sebanyak RM18.3 juta berbanding penganjuran sebelum ini di Rusia pada tahun 2018.

Angka ini meneruskan trend yang menyaksikan jumlah hadiah meningkat dengan begitu ketara sejak 40 tahun yang lalu. 

Untuk memudahkan gambaran, hadiah untuk juara Piala Dunia melebihi USD10 juta (RM45.74) hanya bermula tahun 2006 di mana Itali membawa pulang USD20 juta (RM91.49 juta).

hadiah menang world cup

Pada tahun 2002, Brazil menerima kurang daripada separuh hadiah dimenangi Itali itu dan pada tahun 1982, pasukan Itali hanya membawa pulang RM10.06 juta sebagai juara.

Berikut adalah pecahan hadiah wang yang bakal dimenangi di Qatar.

KedudukanHadiah wang
JuaraRM192.13 juta
Naib JuaraRM137.23 juta
Tempat ketigaRM123.51 juta
Tempat keempatRM114.36 juta
Suku akhirRM77.77 juta
16 terakhir RM59.47 juta
Peringkat kumpulan RM41.17 juta

Hanya dengan mengambil bahagian dalam temasya ini, setiap pasukan sudah pasti menerima hadiah wang ini. 

Yuran penyertaan yang dibayar untuk Piala Dunia kali ini adalah RM6.86 juta.

Berdasarkan jadual di atas, jumlah yang bakal dibawa pulang oleh pasukan yang berjaya ke peringkat separuh akhir mengatasi jumlah wang yang dimenangi oleh juara Piala Dunia 2006.

Piala Dunia Wanita

hadiah menang piala dunia wanita

FIFA telah mengumumkan jumlah keseluruhan hadiah wang yang bakal dimenangi Piala Dunia Wanita 2023 di Australia dan New Zealand adalah sebanyak RM274.47 juta.

Ini adalah lebih daripada tujuh kali ganda lebih rendah berbanding apa yang akan ditawarkan di Qatar 2022. 

Walau bagaimanapun, jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding Piala Dunia Wanita 2019, dan empat kali ganda berbanding Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada.

Rujukan:

1. Economic Times

2. sporting News

3. Goal




Hakcipta iluminasi.com (2017)