Oleh pada 03 May 2017 kategori

minuman berais melegakan dahaga tekak 2 69

Dengan cuaca yang semakin bertambah panas di Malaysia, kita tidak dapat mengelak daripada meminum minuman yang berais. Sememangnya minuman berais dapat melegakan haus dan dahaga pada tekak kita. Bukan itu sahaja, ia malah seakan-akan memberikan kesegaran dan tenaga kepada badan kita.

ais jernih

Jika anda kerap meminum minuman berais, pasti anda menyedari perbezaan pada ais-ais ketul tersebut. Ada yang jernih, dan juga ada yang keruh di dalamnya. Tetapi, jika anda pernah makan di restoran-restoran yang mahal, pastinya anda perasan bahawa ais ketul yang digunakan adalah sangat jernih dan seolah-olah seperti air.

Ais ketul yang keruh warnanya tidak bagus untuk kesihatan?

ais ketul yang keruh

Namun, terdapat banyak pendapat mengenai kebersihan ais ketul yang kita minum setiap hari. Seperti yang anda mungkin pernah dengar, struktur warna ais dikatakan berkait dengan kualiti air yang digunakan untuk menghasilkannya. Ada yang mengatakan warna ais ketul yang kabur dan keruh di dalamnya bermakna ais itu diperbuat daripada air yang tidak selamat untuk diminum. Sejauh manakah kebenaran pendapat ini? Adakah ia benar?

Pendapat itu sebenarnya  tidak tepat yang seperti yang dikhabarkan. Jika anda tak percaya, anda boleh cuba menguji kebenaran pendapat ini dengan menggunakan air yang paling bersih anda boleh dapat, seperti air yang ditapis oleh penapis dirumah anda. Berkemungkinan besar ais ketul yang terhasil adalah ais ketul yang lebih kurang sama seperti anda minum di kedai, kabur dan putih di bahagian dalamnya, tak kiralah sebagus atau sebersih mana air yang anda gunakan. Sejernih mana ais yang anda hasilkan, tidak boleh dibandingkan dengan ais yang anda lihat dalam iklan komersial atau restoran-restoran mahal.

Bagaimana rupa ais ketul boleh menjadi berlainan, walaupun dihasilkan menggunakan air dan melalui proses yang sama iaitu pembekuan?

ais ketul jernih dan keruh 591

Di dalam air yang biasa kita minum, terdapat banyak bendasing yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tapi jangan panik, apabila dikatakan terdapat bendasing, ia tidak semestinya bermaksud kuman dan bakteria. Air mengandungi banyak bendasing dan apa sahaja yang dijumpai di dalam air dinamakan sebagai bendasing, walaupun banyak di antara mereka memberi manfaat kepada kesihatan kita. Bendasing-bendasing yang terkandung dalam air juga memberikan rasa yang berlainan kepada air.

Jadi mengapa ais ketul menjadi keruh dan putih di tengahnya?

ais ketul yang keruh tidak semestinya tidak baik untuk kesihatan

Antara bendasing-bendasing yang biasa dijumpai di dalam air termasuklah kapur, kalsium, florida, nitrat, magnesium dan beberapa elemen organik lain. Oleh kerana bendasing-bendasing ini adalah mustahil untuk dihapuskan atau ditapis melalui proses penapisan biasa, apabila anda membekukan air ini menjadi ais, segala bendasing yang terkandung dalam air akan terkumpul di tengah-tengah menyebabkan ais tersebut kelihatan putih di kawasan tengahnya. Namun, ini bukanlah penyebab utama ais menjadi keruh dan keputihan di tengahnya.

Cara pembekuan mempengaruhi struktur ais

Apabila anda ingin menghasilkan ais ketul di rumah, anda tentunya akan memasukkan sejumlah air ke dalam bekas dan memasukkanya ke dalam peti sejuk. Air biasanya mengandungi udara yang terlarut di dalamnya. Buktinya, jika anda membiarkan segelas air di atas meja, anda boleh melihat gelembung udara terbentuk di dalam air tersebut. Disebabkan oleh proses pembekuan biasa berlaku dengan cepat, lebih-lebih lagi jika peti ais anda disetkan pada suhu yang sangat rendah dan menggunakan bekas ais logam, udara yang terlarut di dalam air tadi tidak sempat keluar, dan menghasilkan buih udara yang terperangkap di dalam struktur kristal ais.

Selaim itu, ketika proses pembekuan sedang berlaku, bahagian luar air/ais tersebut akan menyejuk dan membeku terlebih dahulu, dan menyebabkan buih-buih udara ini tertolak ke bahagian dalam ais, lalu menghasilkan ais yang warna putih didalamnya.

Bagaimana ais yang sangat jernih seperti di restoran mahal dihasilkan?

arca ais

Pembuat ais yang khusus menghasilkan ais yang jernih dengan membekukan air secara berlapis dan berperingkat untuk memastikan buih udara tidak terhasil di dalam ais tersebut. Selain itu, proses ini mengambil masa yang lebih lama daripada penghasilan ais ketul biasa kerana ia disejukbekukan secara perlahan-lahan, dan proses ini membenarkan udara yang terlarut di dalam air sempat keluar daripada air tersebut, lalu menghasilkan ais yang jernih.

Jadi, jika anda ingin menghasilkan ais yang jernih, cuba anda masak air tersebut terlebih dahulu, kalau boleh dimasak dua kali, dan membekukannya dengan perlahan-lahan. Anda akan mendapat ais yang lebih jernih. Konklusinya, ais yang keruh dan tidak jernih bukanlah penentu bahawa ais itu berbahaya dan memudaratkan kesihatan.

Sumber rujukan :

1. Pop Sugar

2. Ask The Van

3. Science Line


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)