Sebagai manusia, kita boleh terdedah kepada penyakit melalui pelbagai cara. Selain kurang khasiat pemakanan dan juga jangkitan penyakit berjangkit, cacing parasit yang masuk ke dalam tubuh kita juga boleh menyebabkan kita mendapat penyakit. Mari kenali beberapa jenis cacing parasit boleh menumpang badan kita.

Jenis-jenis Cacing Parasit 

1. Cacing cambuk (hookworm) – Terdapat dua jenis cacing ini, Ancylostoma duodenale dan Necator americanus. Cacing ini biasanya terdapat usus manusia. Cacing jenis Ancylostoma duodenale banyak terdapat di bahagian Afrika, India dan juga Eropah sementara jenis Necator americanus didapati di kawasan Amerika dan Asia Tenggara. Ia biasanya berukuran 8 – 15mm dan boleh memasuki badan manusia melalui kaki dan kebersihan yang tidak terjaga. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Simptom: Dianggarkan satu perempat penduduk dunia sudah terdedah kepada cacing ini, terutamanya di kawasan yang panas dan lembap. Cacing ini biasanya akan memakan dinding-dinding usus, sehingga menyebabkan pendarahan. Bagi kes yang sudah teruk, seseorang itu akan berasa sakit perut, mual, tubuh badan menjadi lemah dan sakit kepala. 

cacing kerawit

2. Cacing kerawit (pinworm) – Mungkin cacing paling popular dan biasa kita dengar. Cacing ini bersaiz kecil berbanding cacing yang lain, berwarna putih dan halus seperti benang. Cacing ini mudah masuk ke dalam manusia apabila seseorang itu tidak membersihkan tangan sebelum makan. Sama seperti beberapa cacing parasit yang lain, cacing kerawit biasanya akan melekat pada usus manusia.

Simptom: Antara tanda biasa seseorang itu mempunyai cacing ini adalah kegatalan pada bahagian dubur. Selain itu, seseorang itu mungkin juga mengalami kurang nafsu makan. 

tapeworm 733

3. Cacing pita (tapeworm) – Suka makan makanan mentah terutamanya rare steak? Cacing pita boleh masuk ke dalam badan manusia melalui pemakanan daging-daging mentah atau kurang masak, serta sayur yang tidak dibasuh bersih. Cacing parasit ini boleh membesar sepanjang 15m dan boleh hidup selama 30 tahun. Cacing ini biasanya terdapat dalam usus manusia.

Simptom: Telur cacing ini boleh membesar dan menyebabkan ketumbuhan cyst pada organ dalaman. Bagi kes-kes yang teruk pula, seseorang yang mempunyai banyak cacing ini perutnya akan berasa pedih apabila lapar, rasa mual, pening kepala dan mengeluarkan najis besar yang berlendir.

Selain daripada 3 yang dinyatakan di atas, sebenarnya banyak lagi cacing parasit yang mungkin hidup dalam badan kita antaranya cacing gelang dan cacing tambang.

Cara Membunuh Cacing Parasit

Pengambilan ubat cacing adalah salah satu cara yang efektif. Bagi manusia dewasa, anda boleh mengambilnya setiap 6 bulan sekali. Pengambilan ubat cacing akan membunuh cacing-cacing parasit yang terdapat dalam tubuh badan anda. Ubat cacing ini boleh diperolehi di farmasi ataupun klinik. Dapatkan pendapat ahli farmasi dan doktor anda untuk penjelasan lanjut.

Selain itu, sila tingkatkan kebersihan diri dan persekitaran. Kebanyakan parasit ini juga boleh masuk ke badan anda melalui persekitaran yang kotor dan tercemar. Cacing tambang misalnya boleh masuk ke badan anda melalui tapak kaki. Oleh itu apabila berada di luar, pastikan anda sentiasa memakai alas kaki.

Bagi yang mempunyai binatang ternakan seperti kucing, pastikan najis binatang tersebut tidak terdedah kepada manusia. Terdapat banyak cacing parasit ini yang berjangkit daripada binatang. Oleh itu. pastikan juga binatang peliharaan anda disuntik dengan vaksin mengikut jadual yang disyorkan oleh doktor haiwan.

Kredit: 

  1. WikiPedia – Cacing Parasit
  2. Medline Plus
  3. WikiMedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)