Hari ini, kita boleh lihat betapa caca merbanya kebanyakan negara-negara Islam, terutamanya di Timur Tengah, dek kerana berlakunya campur tangan luar akibat daripada umat Islam sendiri. Mengapa? Kerana terdapat perpecahan dalam kalangan masyarakat, serta kurangnya ilmu pengetahuan yang membuka ruang kepada musuh untuk menyerang mereka.
Iraq terutamanya, pernah menyaksikan kewujudan sebuah peradaban yang amat berpengetahuan tinggi, serta maju ekonomi, sosial, politik, sains serta ketenteraan. Antara institusi yang menyumbang ke arah kemajuan tersebut adalah Bayt al-Hikmah.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah di Sebalik Institusi Agung Bayt al-Hikmah
Bayt al-Hikmah atau 'The House of Wisdom' atau Rumah Kebijaksanaan adalah antara gedung ilmu teragung dalam sejarah peradaban manusia yang sebenarnya ditubuhkan di Baghdad, Iraq. Baghdad merupakan ibu negeri Empayar Abbasiyah di bawah pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid pada kurun ke-8, dan zaman pemerintahan baginda kerap kali dirujuk sebagai Zaman Kegemilangan Islam.
Pusat ilmu itu terus berkembang dibawah pemerintahan anak Khalifah Al-Rashid, iaitu Khalifah Al-Ma'mun, yang dikaitkan sebagai pengasas sebenar Bayt al-Hikmah. Namun, terdapat percanggahan pendapat tentang siapa sebenarnya yang memulakan gedung ilmu tersebut.
Khalifah Al-Rashid adalah individu yang bertanggungjawab mengumpulkan kebanyakan buku-buku ilmu, manuskrip dan objek, yang diperolehi daripada bapa dan datuk baginda. Lama-kelamaan, koleksi bahan-bahan tersebut menjadi semakin banyak di mana Khalifah Al-Ma'mun terpaksa membuat penambahan pada bangunan asal, dan kemudiannya menjadikan ia sebuah akademi pengajian, yang akhirnya, menjadi Bayt al-Hikmah.
Bayt al-Hikmah menjadi pusat ilmu dan banyak menyumbang kepada pergerakan atau kajian saintifik yang bermula beberapa kurun lebih awal. Selain sebagai tempat pengumpulan koleksi bahan-bahan ilmu, perpustakaan ini juga berfungsi sebagai tempat untuk aktiviti penterjemahan, dan memelihara hasil kerja mereka. Lama-kelamaan, lebih banyak aktiviti pengkajian ilmu lain turut dijalankan, antaranya termasuklah bidang perubatan, sains dan astronomi.
Kedua-dua anak beranak Khalifah Al-Rashid dan Khalifah Al-Ma'mun sangat meminati bidang saintifik. Atas arahan mereka, perpustakaan agung ini sangat dijaga rapi, dengan susunan yang teratur, dan mempunyai bilik asing untuk penyalin dan pustakawan, dan pemerhatian astronomi.
Hasil Kerja Para Ilmuan
Terdapat banyak pakar-pakar bidang berlainan yang bekerja di bawah Bayt al-Hikmah, antaranya termasuklah penterjemah, saintis, penulis, para pengkaji dan lain-lain. Banyak manuskrip dan buku terdiri daripada subjek falsafah dan saintifik diterjemahkan di sini, dan 'rumah' ini dibuka kepada semua golongan masyarakat, lelaki, perempuan, tua dan muda.
Pelajar daripada semua bangsa dan agama adalah dialu-alukan, dan para ilmuan yang dihukum ketika zaman Empayar Byzantin juga digalakkan untuk menjadi sebahagian daripada Bayt al-Hikmah. Terdapat banyak bahasa yang dipertuturkan di perpustakaan tersebut, antaranya adalah bahasa Arab, Parsi, Aramaik, Hebrew, Syriac, Greek dan Latin.
Keterbukaan perpustakaan ini kepada semua sebenarnya menggalakkan perkembangan ilmu dengan lebih pantas, dan apabila sampainya teknologi pembuatan kertas ke Baghdad daripada China, ilmu lebih mudah tersebar. Sebelumnya tibanya teknologi kertas, kebanyakan penulisan dilakukan di atas kulit haiwan, dan ianya agak leceh kerana memakan masa yang lebih lama, dan juga lebih mahal. Kertas menjadi alternatif terbaik yang lebih mudah dan murah.
Khalifah Al-Ma'mun Sebagai Penaung dan Ilmuan
Khalifah Al-Ma'mun adalah seorang yang sangat berminat dengan ilmu pengetahuan, dan hal ini mempengaruhi baginda untuk menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat ilmu dunia. Bainda sendiri adalah seorang pakar dalam bidang perubatanm falsafah dan astrologi, serta kerap mengunjungi para ilmuan lain untuk membincangkan tentang kajian mereka.
Khalifah Al-Ma'mun sendiri yang selalunya akan memilih ilmuan tertentu bagi melakukan tugasan perterjemahan yang khas. Contohnya, sarjana Abu Yousuf Ya'qoub Al- Kindi, yang mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang perubatan, falsafah, matematik, geometer, logik dan astronomi, ditugaskan untuk menterjemahkan hasil kerja Aristotle.
Beberapa rekod menunjukkan bahawa bagi menarik minat para ilmuan untuk menambah hasil terjemahan bahan ilmu ke dalam bahasa Arab, Khalifah Al-Ma'mun akan membayar mereka dalam emas, dengan berat yang sama dengan buku yang dihasilkan. Tanpa penterjemahan berterusan bahan-bahan ilmu di Bayt al-Hikmah, sudah pasti banyak ilmu pengetahuan tidak lagi wujud sehingga hari ini.
Walaupun Baghdad terkenal dengan makmur dan kaya raya, banyak bahan-bahan ilmu daripada kerajaan lain telah diperolehi dengan percuma. Khalifah Al-Ma'mun pernah mendengar tentang Perpustakaan Sicily (kini sebahagian daripada Itali) yang kaya dengan buku ilmu falsafah dan saintifik Greek, jadi baginda menulis surat kepada Raja Sicily untuk bekerjasama dengan Bayt al-Hikmah bagi perkongsian bahan ilmu.
Dengan nasihat Bishop bahawa bahan ilmu berkenaan sudah tidak relevan untuk masyarakat mereka, Raja Sicily mengarahkan buku-buku tersebut dihantar secara percuma kepada Khalifah Al-Ma'mun.
Hancurnya Bayt al-Hikmah Di Tangan Tentera Mongol
Malangnya, ketika serangan Mongol ke atas Empayar Abbasiyah sekitar tahun 1258, institusi ilmu Bayt al-Hikmah telah dihancurkan sama sekali oleh tentera mereka. Mereka turut membunuh para ilmuan dan ahli keluarga mereka. Khalifah Al-Ma'mun tidak dibunuh dan dipaksa untuk menyaksikan segala pembunuhan rakyatnya dan kehancuran Baghdad. Kebanyakan mayat para ilmuan serta buku-buku dan hasil kerja telah dibuang ke dalam Sungai Tigris, dan menurut rekod, air sungai tersebut menjadi hitam kemerahan disebabkan lunturan dakwat dan darah.
Rujukan: