Lapangan terbang adalah perniagaan yang sangat kompleks dan mencabar tetapi dalam kebanyakan kes, ia adalah sejenis perniagaan yang sangat menguntungkan.

Banyak lapangan terbang dimiliki oleh kerajaan dan walaupun begitu, ia sering dikendalikan sebagai perniagaan di mana perniagaan ini dimiliki secara awam.

Majoriti lapangan terbang menjana wang melalui apa yang mereka peroleh dari penumpang yang menaiki penerbangan komersial dan menggunakan kemudahan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sesetengah lapangan terbang memfokuskan kepada kargo dan membiayai operasi mereka melalui penerbangan kargo tetapi kebanyakan yang anda dengar, seperti Lapangan Terbang Heathrow (LHR) di London, bergantung sepenuhnya kepada penerbangan penumpang.

pesawat kargo

Walaupun jumlah kargo dikendalikan oleh LHR adalah penting kerana pesawat penumpang mengangkut kargo di dalam simpanan mereka, jumlah penerbangan ini adalah jauh lebih rendah berbanding 650 penerbangan harian di lapangan terbang ini.

Lapangan terbang ini menghasilkan wang daripada 78 juta penumpang yang terbang melaluinya setiap tahun.

Heathrow adalah lapangan terbang paling sibuk di dunia milik persendirian sepenuhnya dan kerajaan UK tidak memiliki kepentingan di dalamnya.

Kos lapangan terbang yang sangat tinggi

lapangan terbang heathrow london 2

Dengan itu, ia mungkin merupakan contoh terbaik bagi lapangan terbang yang dibina untuk menjana keuntungan. Kos untuk mengendalikan lapangan terbang Heathrow adalah sekitar RM6.08 bilion setahun.

Kos ini termasuklah dengan RM2.02 bilion untuk membayar gaji para pekerjanya.

Perlu diketahui bahawa jumlah keseluruhan pekerja yang bekerja di LHR adalah seramai 76,000, tetapi hanya 6,500 orang sahaja yang bekerja untuk LHR.

Syarikat yang mengendalikan LHR iaitu Heathrow Airport Holdings, hanya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengawasan dan pentadbiran lapangan terbang.

Dan di sebalik ini, terdapat beratus-ratus syarikat lain beroperasi di LHR.

perniagaan runcit dalam lapangan terbang heathrow

Baki 69,500 pekerja lain bekerja untuk syarikat penerbangan, syarikat pengendalian bagasi, syarikat kawalan lalu lintas udara, restoran, syarikat kereta sewa, syarikat-syarikat bas dan semua majikan yang berbeza di lapangan terbang.

Sudah tentu ada banyak kos lain yang terlibat dalam menjalankan lapangan terbang dari RM949 juta setahun untuk penyelenggaraan kepada RM462 juta untuk bil utiliti tahunan seperti air, elektrik, internet, gas, dan banyak lagi.

Secara keseluruhan, RM6.08 bilion diperlukan untuk mengendalikan lapangan terbang ke-6 paling sibuk di dunia. Jumlah ini adalah melebihi kos untuk menguruskan 1.3 juta orang di Swaziland.

Persoalannya, bagaimana lapangan terbang Heathrow menampung semua kos ini?

Keuntungan daripada perniagaan runcit

lapangan terbang heathrow keenam paling sibuk di dunia 3

Secara asasnya, LHR mengeluarkan kos sekitar RM78 bagi seorang penumpang dan ini bermakna LHR perlu menjana jumlah yang sama untuk setiap penumpang untuk menampung kos tanpa memperoleh keuntungan.

Dan sudah tentu sesetengah penumpang lebih menguntungkan daripada yang lain.

Sebagai contoh, penumpang yang tiba biasanya keluar daripada pesawat, melalui kastam dan beredar dengan kadar segera tanpa membeli apa-apa.

Namun bagi penumpang yang berlepas dan menunggu pesawat sambungan, mereka ini mempunyai masa yang lebih untuk membeli-belah di lapangan terbang.

Perniagaan runcit adalah sangat penting bagi mana-mana lapangan terbang untuk menjana keuntungan.

perniagaan runcit dalam lapangan terbang heathrow 2

Ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa lapangan terbang perlu melaksanakan proses daftar masuk dan keselamatan dengan secepat mungkin, jadi penumpang mempunyai lebih banyak masa untuk berbelanja.

LHR memperoleh wang melalui peruncitan dengan menerima potongan bagi setiap jualan yang dibuat.

Secara purata, lapangan terbang memperoleh RM3.90 bagi setiap penumpang melalui restoran, RM21 bagi setiap penumpang daripada kedai runcit, tambahan RM8.30 melalui tempat letak kereta dan dari semua sumber pendapatan runcit kecil yang lain seperti syarikat kereta sewa dan lounge VIP menyumbang sebanyak RM12.40 lagi.

Dan agak unik, LHR juga mengendalikan kereta api ekspres dari lapangan terbang ke Stesen Paddington di London sejauh 56 kilometer, yang menyumbang tambahan RM8.80 bagi setiap penumpang.

Secara keseluruhan, lapangan terbang ini memperoleh RM54.50 dari penumpang melalui pembelian sebagai tambahan kepada harga tiket pesawat.

perkhidmatan kereta api ekspres dari lapangan terbang heathrow ke station paddington

(Perkhidmatan kereta api ekspres dari Lapangan Terbang Heathrow ke Stesen Paddington)

Dan perlu diketahui bahawa ini tidak bermakna setiap penumpang hanya berbelanja RM54.50, tetapi ini bermakna LHR memperoleh RM54.50 untuk setiap penumpang.

Jumlah ini adalah bahagian untuk mereka dan jumlah perbelanjaan sebenar di lapangan terbang ini bagi setiap penumpang adalah lebih tinggi.

Jika anda beranggapan bahawa jumlah pendapatan runcit bagi seorang penumpang adalah tinggi, maka anda sangat tepat. Malah, ia merupakan antara yang tertinggi daripada mana-mana lapangan terbang di seluruh dunia.

Sebagai perbandingan, Lapangan Terbang Washington Duller di Amerika Syarikat memperoleh RM23.20 setiap penumpang, Lapangan Auckland di New Zealand memperoleh RM31.50 dan Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris memperoleh RM44.70 melalui perniagaan runcit.

Taktik untuk tingkatkan perbelanjaan penumpang

terminal 3 lapangan terbang heathrow

Ini adalah kerana LHR pakar dalam membuatkan para penumpang berbelanja dengan menggunakan segala helah dan taktik untuk meningkatkan perbelanjaan penumpang.

Sebagai contoh, di Terminal 3, untuk sampai dari kawalan keselamatan ke pintu masuk, semua penumpang harus berjalan melalui kawasan bebas cukai yang mana meningkatkan jualan dengan begitu tinggi

Malah, LHR tidak memaparkan pintu masuk bagi mana-mana penerbangan sehingga sekitar 45 hingga 90 minit sebelum berlepas. Ini adalah satu kebiasaan bagi lapangan terbang di Eropah, tetapi tidak di tempat lain.

Disebabkan ini, para penumpang menunggu di kawasan pusat yang terdapat kedai-kedai dan restoran sehingga sebelum penerbangan mereka, yang membawa kepada pendedahan terhadap persekitaran runcit yang lebih lama.

Caj ke atas setiap pesawat

lapangan terbang heathrow fokus kepada penerbangan jarak jauh

Sebagai salah satu lapangan terbang dengan perkhidmatan tanpa henti ke 6 benua, LHR juga mempunyai kelebihan menjadi lapangan terbang yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan jarak jauh.

Penerbangan jarak jauh cenderung untuk membawa penumpang yang kaya dan walaupun penumpang di seluruh dunia tiba di lapangan terbang dengan purata masa 2 jam dan 17 minit sebelum penerbangan mereka, penumpang di LHR tiba 2 jam dan 51 minit sebelum penerbangan.

Ini bermakna, mereka mempunyai lebih banyak masa untuk berbelanja di situ.

Namun, seperti yang disebutkan, lapangan terbang ini perlu memperoleh RM77.70 bagi setiap penumpang dan perniagaan runcit hanya menghasilkan RM54.50 sahaja, menjadikan perbezaan sebanyak RM23.30.

Bakinya datang daripada penerbangan di mana setiap pesawat yang mendarat di LHR secara purata membayar RM38,900 kepada mereka.

flybe dash 8

(Pesawat FlyBe Dash 8)

Dan sudah tentu jumlah caj ini berbeza-beza untuk jenis pesawat.

Sebagai contoh, pesawat yang lebih besar dikenakan caj lebih tinggi dan RM38,900 adalah purata bagi setiap pesawat yang tiba di LHR.

Wang ini dibayar kepada LHR untuk perkara-perkara seperti ruang gerbang, kawasan cek dan landasan yang digunakan.

LHR mengenakan caj tetap bagi setiap pendaratan pesawat.

Sebagai contoh, pesawat FlyBe Dash 8 yang bersaiz kecil dikenakan caj RM4,090 sementara pesawat Boeing 747 dikenakan RM47,450.

Caj penumpang berlepas ke luar negara

caj penumpang berlepas ke luar negara

Di bahagian berlepas pula, syarikat penerbangan dikenakan caj sekali lagi dan kali ini untuk setiap penumpang. Bagi setiap penumpang yang berangkat ke destinasi di luar Eropah, LHR mengenakan caj asas sebanyak RM237.30.

Tetapi caj ini dikurangkan jika penumpang tersebut hanya turun untuk menaiki penerbangan sambungan dan bukannya dari LHR, atau pesawat tersebut diparkir di perhentian jauh dan bukannya di pintu masuk penumpang.

Sebagai contoh, pesawat FlyBe Dash 8 dengan penumpang penuh seramai 76 orang yang terbang ke laluan domestik ke Edinburgh, Scotland, dikenakan caj sekitar RM9,820 secara keseluruhan iaitu berlepas dan tiba.

Manakala bagi pesawat Boeing 747 British Airways yang melakukan penerbangan jarak jauh ke New York pula dikenakan caj RM130,000.

Perlu diketahui bahawa ini adalah harga yang diterbitkan secara rasmi tetapi hakikatnya, banyak syarikat penerbangan yang mana pesawat mereka banyak di LHR mempunyai perjanjian dengan lapangan terbang yang mengurangkan kosnya.

bagaimana lapangan terbang dapat untung

Jika dipecahkan, apa yang dimaksudkan dengan nombor-nombor itu adalah LHR memperoleh RM118.60 secara purata bagi setiap tiket penumpang.

Dan jika ditambahkan kepada pendapatan melalui kedai runcit iaitu RM54.50 untuk setiap penumpang, LHR memperoleh sekitar RM173.10, melebihi kos iaitu RM77.70.

Ini membawa kepada keuntungan sebanyak RM95.40 bagi setiap penumpang secara purata.

Akan tetapi, syarikat yang memiliki lapangan terbang menggunakan sebahagian besar daripada keuntungan operasi ini untuk membayar hutang dari projek-projek terdahulu dan untuk membayar cukai.

Di peringkat akhir, mereka hanya memperoleh RM33.50 dari setiap penumpang mereka.

Namun angka ini juga bermaksud bahawa dari segi reka bentuk, Lapangan Terbang Heathrow memberi insentif untuk menarik penerbangan jarak jauh.

Kapasiti Lapangan Terbang Heathrow di tahap maksimum

lapangan terbang heathrow kendalikan 650 pesawat setiap hari 2

LHR kini berada pada tahap keupayaannya di mana jumlah maksimum penerbangan mereka sehari adalah sebanyak 657 dan mereka kini mempunyai 650 penerbangan.

Ini bermakna mereka tidak mempunyai kapasiti lagi untuk menerima penerbangan lain dan satu-satunya cara untuk berkembang dari segi kewangan adalah dengan membawa masuk pesawat yang lebih besar.

Sebagai contoh, pesawat Flybe Dash 8 dengan 76 penumpang mengambil masa yang sama di landasan yang mana boleh digunakan oleh pesawat besar seperti Boeing 747. 

Jika lebih banyak Boeing 747 menggantikan pesawat FlyBe Dash 8, LHR akan menjana keuntungan yang lebih tinggi.

Tidak dinafikan, ini adalah sebahagian besar daripada sebab mengapa LHR kurang berhubung dengan negaranya sendiri iaitu United Kingdom.

destinasi lapangan terbang heathrow

Lapangan terbang ini hanya mempunyai penerbangan ke 8 lapangan terbang sahaja di seluruh United Kingdom, bermakna jumlah bilangan destinasi dalam negara sendiri dan di China adalah sama bagi LHR.

Sementara itu, Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol di Belanda mempunyai 25 destinasi ke United Kingdom.

Ini bermakna bahawa bagi kebanyakan penduduk UK yang tinggal di luar London, adalah lebih mudah untuk menaiki penerbangan sambungan ke mana sahaja mereka melalui Amsterdam berbanding lapangan terbang di ibu negara mereka sendiri.

Realitinya ialah Heathrow adalah sebuah syarikat komersial.

Walaupun kebanyakan penduduk UK mungkin ingin melihat penerbangan domestik ke lapangan terbang terbesar mereka, ia adalah tidak masuk akal untuk mengendalikan penerbangan pendek dan murah ke LHR bagi menggantinkan penerbangan jarak jauh yang sangat menguntungkan.

lapangan terbang heathrow 854

Ia bukan sahaja kurang menguntungkan bagi lapangan terbang, malah kosnya lebih mahal untuk penumpang daripada terbang ke lapangan terbang yang lebih kecil.

Dan sudah tentu, bukan semua lapangan terbang adalah seperti Lapangan Terbang Heathrow di mana bukan semua lapangan terbang adalah sebuah syarikat komersial.

Ini kerana, dalam banyak kes, menguruskan lapangan terbang dengan cara yang dimahukan orang ramai adalah perniagaan yang merugikan.

Disebabkan ini, dua pertiga daripada lapangant terbang di seluruh dunia mengalami kerugian. Dalam kebanyakan kes, ia berlaku kerana ia dikendalikan oleh kerajaan dan tidak begitu fokus kepada keuntungan.

Rujukan:

1. US Funds

2. Finavia

3. Wendover

4. Simple Flying




Hakcipta iluminasi.com (2017)