Oleh pada 28 Dec 2017 kategori

joshua evans sekarang

Nama aku Yusha Evans atau Joshua Evans.

Aku dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sangat konservatif di Greenville, South Carolina dalam persekitaran yang cukup kuat berpegang pada ajaran Kristian.

Ibu aku meninggalkan aku dan ayah sendirian. Menghadapi kepayahan, ayah aku bekerja dua bekerja bagi menampung hidup jadi aku dibesarkan oleh datuk dan nenekku.

Gereja yang hanya selang dua rumah dari rumah atuk dan nenekku, membuatkan aku tidak banyak pilihan selain daripada mengikut mereka ke gereja setiap Ahad. Sebagai pengikut ajaran United Methodist, ajaran konservatif yang diamalkan dan penganjuran sekolah hari Ahad (Sunday School) mendidik aku sedikit demi sedikit berkenaan kisah-kisah pesuruh Tuhan yang disebut dalam Bible.

Aku belajar tentang Moses, Noah dan Jesus melalui sekolah Ahad yang aku dipaksa sertai. Bagaimanapun, dalam banyak-banyak hal berkaitan gereja, itu adalah perkara yang aku paling suka tentang gereja. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan melalui Youth Services yang kerap dianjurkan dengan aktiviti ceramah selepas aktiviti-aktiviti sukan, membuatkan aku mula menjadi lebih tertarik hendak menjadi seorang penganut Kristian dengan rela. Bukan kerana paksaan atuk dan nenek semata.

MENYERTAI YOUTH MINISTER

yusha evans dulu

Ketika aku sekolah tinggi dan berumur 15 tahun, kawan baik aku pelajar berusia 17 tahun yang menjadi salah seorang Youth Minister dalam Youth Service yang dianjurkan. Menyebabkan aku pun turut sama terlibat. Dia seorang yang cukup aktif dalam menyebarkan ajaran Kristian. Kami jadi rapat ekoran latar belakang serta cara kami dibesarkan banyak persamaannya.

Dia berjaya masuk ke Bob Jones University, salah sebuah universiti paling masyhur bagi mereka yang berpegang dengan ajaran Kristian di South Carolina - pelajar dalam bidang 'Textual Critism.'

Bidang ini memerlukan seseorang pelajar itu mengkaji perbezaan-perbezaan yang ada dalam manuskrip-manuskrip lama Bible dan cuba menjelaskan kesahihan sebenar di antara beribu manuskrip pelbagai bahasa yang menjadi panduan penganut Kristian.

Aku dijadikan teman perbincangan beliau dalam kajian beliau, sehinggakan dia menginspirasikan aku untuk turut cuba memohon masuk ke dalam Bob Jones University, sebelum aku tamat belajar lagi. Sehinggalah pada satu hari dia datang dan bertanya pada aku satu soalan yang mudah;

"Pernah kau baca Bible dari mula sehingga habis?"

"Tak," jawab aku. Aku hanya membaca Bible semasa ke  semasa setiap kali di gereja setiap Ahad, berdasarkan petikan apa yang kami baca pada hari itu.

Membaca keseluruhan Bible? Itu sesuatu yang belum pernah aku lakukan.

"Kita percaya buku ini adalah panduan Tuhan pada manusia dan kita mengaku diri kita seorang Kristian. Jadi kenapa kita tak pernah baca Bible secara keseluruhan, macam sebuah buku?" soal dia.

MEMBACA BIBLE DARI MULA HINGGA TAMAT BUAT KALI PERTAMA

yusha evans sedang merujuk

Aku terpana memikirkan soalan dia.

Jadi kami bersetuju untuk sama-sama membaca Bible daripada permulaan kisah Genesis sehinggalah kepada bab terakhir dalam Bible. Apa yang aku jumpa dalam Bible, banyak mempunyai perbezaan kisah tentang apa yang aku pelajari di gereja atau Sekolah Ahad, berbanding apa yang aku baca sendiri dalam Bible.

Sebagai contoh - kisah Noah yang berusaha menyelamatkan keluarga dan umatnya dari banjir besar. Kita semua tahu kisah yang kerap kedengaran. Namun ada beberapa bahagian kisah itu yang kerap disembunyikan daripada pendakwah Kristian. Mengapa dalam Bible, dinyatakan Noah adalah seorang kaki mabuk? Bagaimana seorang utusan Tuhan dilantik daripada seorang manusia yang kaki mabuk?

Dalam kisah Lot pula (Luth as.), bagaimana Lot yang diyakini sebagai utusan Tuhan berjaya dimanipulasi untuk mabuk oleh anak-anak perempuannya.

Kemudian anak-anak perempuannya menyetubuhi bapa mereka sendiri supaya mereka mempunyai zuriat masing-masing. Di mana logiknya kisah Lot, individu yang berdakwah kepada kaum sendiri digambarkan melakukan hubungan sumbang mahram dalam Bible?

Dalam kisah David pula, diceritakan bagaimana David seorang utusan Tuhan, menggunakan kedudukannya untuk berzina dengan seorang wanita berstatus isteri orang sehingga mempunyai kandungan anak luar nikah.

Bagi mengelakkan hubungan beliau dengan wanita bernama Batsheba itu terbongkar, David sendiri menggunakan kuasanya untuk memastikan suami kepada Batsheba, seorang jeneral perang bernama Uriah terkorban ditinggalkan askar-askar agar David dapat memperisterikan Batsheba sebelum rahsia mereka bersenggama terbongkar.

JANGAN PERSOAL, HANYA PERCAYA

yusha evans menerima cenderamata

Aku bawa bermacam persoalan aku kepada beberapa orang paderi di gereja dan setiap paderi memberikan aku satu jawapan yang sama - pengetahuan yang aku dapat dari Bible itu memang akan membuatkan aku mempersoalkan, tetapi yang penting aku percaya apa yang ditulis dalam Bible.

Jawapan itu tidak menjawab persoalan aku.

Ada beberapa persoalan aku berkenaan kepercayaan aku sendiri gagal dijawab dan aku diminta untuk membaca New Testament.

Namun apabila aku mula membaca New Testament, semakin banyak pula persoalan-persoalan baru yang muncul yang lebih menampakkan perbezaan kepercayaan dalam Kristian. Tidak puas, aku menanyakan soalan-soalan ini kepada paderi-paderi namun kebanyakan mereka menyalahkan kepercayaan aku semakin goyah. Mereka meminta aku berhati-hati dengan kepercayaan aku kerana aku semakin berani mempersoalkan New Testament pula.

Aku sampaikan pandangan aku kepada kawan baik aku dan dia membawa aku bertemu seorang pensyarah pakar di Bob Jones University bagi menemui jawapan kepada soalan-soalan aku.

Pakar itu menjelaskan semua kitab Bible dan manuskrip yang ada, adalah catatan-catatan yang dibuat oleh manusia, jadi memang akan perkara-perkara yang dilihat seperti tidak sekata atas kecuaian manusia, dengan perubahan-perubahan dan penambahbaikan dilakukan pada Bible berkurun lamanya pasti akan berlaku kesilapan.

"Sebagai seorang penganut Kristian yang mempercayai Bible," kata dia, "bukannya untuk kita melihat logik catatan atau kisah dalam Bible tetapi untuk kita mempercayai apa yang dicatat di dalamnya. Bible sempurna bukan kerana teks di dalamnya, tetapi Bible sempurna hanya jika penganut Kristian percaya kepadanya."

Kata-kata Professor itu benar-benar membuatkan aku yang sedang tertanya-tanya, hilang sepenuhnya keyakinan pada kitab yang selama ini jadi rujukan kami sekeluarga.

Aku pasti Nenek aku tidak membesarkan seseorang yang tidak mahu berfikir dan mempersoal.

MENINGGALKAN AJARAN KRISTIAN

yusha evans

Pada aku, jika Tuhan memberikan anugerah agama, agama itu akan sempurna. Jika Tuhan menurunkan ayat-ayatnya, pasti ayat itu akan sempurna.

Aku tinggalkan agama Kristian pada hari itu selepas kepercayaan aku tergoncang. Berikutan itu aku mula mencari dan membaca apa saja berkaitan agama namun entah mengapa, aku tak pernah terjumpa tentang Islam.

Dua tahun aku tercari-cari sehingga aku berumur 17 tahun, aku mengaku aku gagal. Aku melibatkan diri dengan masalah yang selalu seorang remaja lakukan sehinggalah dua insiden buruk berlaku. 

Aku terlibat dalam satu kemalangan ngeri dan apa yang menyelamatkan aku, hanyalah kebetulan kali itu aku memakai tali pinggang keledar.

Selamat dalam kejadian itu, dalam satu lawatan di New York ketika aku mengeluarkan duit dalam mesin ATM, aku diserang oleh seorang perompak yang mengacukan pistol revolver pada muka aku dan menarik picu. Berkat latihan pertahanan diri yang aku terima selama ini, entah bagaimana badan aku bertindak menyerang balas secara automatik sebelum peluru mengenai aku. Aku lari meninggalkan perompak itu tanpa memandang ke belakang.

Kedua-dua insiden itu, pengakhirannya sama.

Selepas keluar dari kereta dalam kemalangan itu, pegawai polis yang hadir ke tempat kejadian berkata aku bernasib baik Tuhan melindungi aku kerana mungkin aku ada tujuan lain diselamatkan dan dapat terus hidup.

Beberapa bulan selepas hampir ditembak mati, barulah aku berani menceritakan apa yang berlaku pada nenek aku dan dia menyebutkan perkara yang sama dengan apa yang pegawai polis itu sebutkan. Aku benar-benar berubah waktu itu. 

Hidup aku ada tujuan.

MENCARI TUHAN

yusha evans dengan krnalan

Jadi aku terima Tuhan selamatkan aku daripada mati kerana dia mahu aku lakukan sesuatu. Namun, aku tak tahu di mana aku akan temui Tuhan yang aku cari. Aku jadi seorang agnostik, percaya Tuhan itu wujud namun aku tidak ada agama mengawal kehidupan aku.

Pendedahan pertama aku tentang Islam adalah dalam sebuah buku yang aku temui di perpustakaan. Di dalamnya terkandung banyak penerangan tentang "kenapa aku bukan seorang Moslem?"

Dikatanya, Moslem adalah manusia yang duduk dalam kotak di Saudi, menyembah Allah, boleh kahwin banyak, boleh senang-senang menceraikan isteri serta bersifat mendiskriminasi wanita. Jihad pula dikatakan kebenaran untuk seorang Moslem membunuh mana-mana non-Moslem atas nama agama.

"Nasib baik aku tak pernah jumpa seorang Moslem di South Carolina," fikir aku. Aku andaikan orang-orang Moslem ini memang tidak wujud di sekeliling aku, tetapi aku silap.

Rupa-rupanya selama ini seorang rakan sekolah aku rupanya seorang Muslim - dia pula adalah seorang pengedar dadah sambilan yang menjadi sumber kami melepaskan ketagihan. 

Semasa kami berborak dengan kawan-kawan tentang agama, remaja Muslim pengedar dadah ini terdengar perbincangan kami dan bertanya pada aku sama ada aku tahu tentang Islam.

Aku jawab dengan angkuh, berdasarkan buku yang aku baca diperpustakaan dulu - ya, aku tahu semua tentang Islam. Jadi aku terangkan apa yang aku belajar dan dia tergelak besar mendengar kata-kata aku, yang sudah diketahui sedang mencari agama.

"Kau perlu pergi ke masjid pada hari Jumaat," kata dia.

"Di mana masjid?" tanya aku.

"Kau tau sebuah bangunan ada kubah emas dekat simpang depan gereja?" tanya dia.

"Ya, dekat dengan rumah aku. Bukankah itu gimnasium?" tanya aku balik.

"Itu lah masjid!" kata dia tergelak. Siapa sangka orang Islam yang aku takut duduk tidak jauh dari rumah aku selama ini.

MASUK KE SARANG 'PENGGANAS'

yisha evans ceramah

Jadi pada hari Jumaat, aku ke masjid berdiri di luar melihat mereka yang datang. Tidak ada orang berkulit putih yang hadir. Aku diberikan kerusi untuk duduk di belakang dan mendengar khutbah yang disampaikan. Terdengar nama Moses, Abraham, nama-nama yang aku selalu dengar selama ini. Kemudian mereka mula bersolat.

Aku hanya melihat sahaja mereka dari belakang. Selepas mereka rukuk, semua individu yang ada dalam masjid itu sujud - rupanya sama seperti kaedah beribadat yang selama ini aku baca dalam pembacaan aku.

Pada detik itu aku sedar, agama yang aku cari selama ini ada di depan mata aku.

Apa yang mereka buat adalah memperhambakan diri. Sujud. Tunduk. Akur. Patuh. Taat. Bukannya meminta sesuatu dengan Tuhan seperti mana yang selalu aku amalkan sebelum ini.

Aku bertemu dengan Imam Masjid tersebut, masih dengan ego lalu aku minta dia berikan aku kitab Islam supaya aku boleh baca dulu. Dia senyum. Pulang pada hari itu dibekalkan dengan senaskhah tafsiran al-Quran.

Aku habiskan membaca surah al-Fatihah, surah al-Baqarah dan surah Ali Imran. Manusia-manusia yang digambarkan dalam kisah-kisah ini nyata layak menjadi panduan kepada manusia-manusia lain kerana sikap mereka yang terpuji.

Tidak ada percanggahan atau perkara buruk yang dilakukan oleh mereka, tidak sama seperti mana yang aku temukan dalam Bible. Aku baca kisah Jesus dalam Quran dan jika dibandingkan dengan bagaimana Jesus digambarkan dalam Bible dan Isa as. digambarkan dalam al-Quran, cukup berbeza serta jelas penerangan tentang Isa as serta ibunya Mariam.

Dalam 3 hari aku habiskan membaca al-Quran. Dalam ruang tamu di rumah aku pada malam ketiga, aku serahkan hati dan jiwa raga aku pada agama Islam.

Nota : Olahan kisah ini ditulis daripada ceramah yang disampaikan oleh Joshua Evans pada 2009 di Islamic Institute of Orange Country.

Rujukan

Yusha Evans

Digital Mimbar


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)