Oleh pada 21 Feb 2018 kategori

azhar dan hael kembali bergabung

Kredit foto: Mstar

Penyanyi Azhar Osman akui tidak mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan bekas rakan duonya, Hael Husaini dalam tempoh terdekat ini.

“Saya tidak menolak jika ada peluang bekerjasama dengan Hael pada masa depan. Bagaimanapun dalam masa terdekat saya tidak nampak ia akan berlaku memandangkan masing-masing sibuk.

“Saya sendiri sedang mempertimbangkan tawaran bernaung di bawah FMC Music,” katanya yang pernah bergabung dengan Hael membentuk kumpulan duo, Azhael.

Dalam masa sama, Azhar meluahkan rasa rindu untuk kembali bersama Hael di pentas, lalu tidak mempunyai sebarang masalah jika ada yang sudi mengundang.

“Saya sentiasa mengalu-alukan tawaran menggabungkan kami di satu pentas. Apatah lagi, lagu Hujung Waktu masih ada permintaan hingga hari ini,” katanya.

Sebelum ini, isu pembubaran Azhael mencetuskan persoalan di kalangan peminat, adakah pasangan ini bermasam muka hingga masing-masing mengambil haluan sebagai penyanyi solo.

Azhar yang tidak selesa disapa spekulasi itu, meminta netizen agar menoktahkan dakwaan yang tersebar.

Tidak hanya itu, dia turut menafikan perkhabaran kononnya iri hati dengan kejayaan dikecapi Hael dalam acara Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) minggu lalu.

Azhar berkata, antara dirinya dan Hael masih lagi berhubung meskipun tidak sepakat dalam haluan muzik.

“Ketika masih bersama, saya pernah cakap Hael ada potensi cerah jika bergerak solo. Terbukti dia berjaya dan saya tumpang gembira.

“Saya sendiri keliru macam mana boleh timbul cerita saya iri hati sedangkan selama ini sentiasa menyokong Hael. Kami kerap berbalas mesej memberikan kata-kata semangat.

“Orang kita suka cakap semberono. Mereka tidak tahu cerita sebenar dan sesuka hati buat andaian.

“Saya dan Hael tak pernah canang persahabatan kami. Kami yakin peminat akan nampak dan tahu sendiri. Apa yang penting, jangan bermasam muka atau bergaduh. Kita buat baik dengan semua orang,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, dia juga terbuka untuk menyanyikan lagu karya Hael sekiranya diberi peluang.

“Saya tahu Hael boleh menghasilkan lagu. Bahkan ketika bergerak sebagai Azhael, saya pernah menyarankan dia buat lagu untuk kami, tetapi dia tidak berapa yakin.

“Sekarang, dia bukan sahaja mencipta nama sebagai penyanyi, tetapi turut disegani sebagai komposer hebat. Pendek kata siapa yang tidak mahu menyanyikan lagu ciptaan dia?

“Saya pasti tidak tolak jika dia buat lagu untuk saya. Namun, saya kena kenal pasti genre terbaik untuk saya terlebih dahulu dan mungkin selepas itu akan berbincang mengenainya,” katanya.

Azhar dan Hael membuat kemunculan menyanyikan lagu popular Azhael, Hujung Waktu, sewaktu majlis resepsi pasangan Fizi Ali dan Shakilla Koriri baru-baru ini

Azhael yang mula aktif sejak 2013 akhirnya 'terkubur' selepas Hael mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.

Sumber berita: Harian Metro


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)