Oleh pada 24 Mar 2021 kategori

Pada Januari 2021, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman telah mengumumkan satu projek pembangunan baharu yang sangat dahsyat, yang dilihatkan mampu menjadi pemangkin masa depan negara ini dan juga seluruh dunia.

Beliau mengumumkan bahawa kerajaan Arab Saudi akan membangunkan sebuah kota, yang bakal merentasi kawasan yang membentuk satu garis lurus sepanjang 160 kilometer.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bandar linear ini adalah sebahagian daripada projek pembangunan besar yang dirancang oleh pemerintah Arab Saudi, iaitu "Wawasan Saudi 2030".

Umum tahu bahawa ekonomi Arab Saudi sangat bergantung pada industri minyak, yang mana memastikan pertumbuhan dan menyebabkan negara ini menjadi ekonomi terbesar ke-18 di dunia dari segi KDNK.

Arab Saudi mempunyai rizab minyak kedua terbesar di Bumi dan walaupun industri minyak adalah kekuatan negara ini, diakui bahawa terdapat risiko kepada kebergantungan terhadap minyak ini.

Oleh itu, kerajaan Arab Saudi cuba untuk mempelbagaikan ekonomi mereka.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Wawasan Saudi 2030, negara ini banyak melabur terutamanya dalam projek infrastruktur besar, pendidikan, penyelidikan saintifik, sistem penjagaan kesihatan dan sektor pelancongan.

Tujuannya adalah untuk membuka jalan bagi industri baru, di mana fokusnya adalah terhadap teknologi masa depan, seperti tenaga boleh diperbaharui.

mengapa arab saudi bina bandar linear

Dan ini adalah satu perkembangan yang dapat dilihat di seluruh Semenanjung Arab, dengan negara-negara di wilayah tersebut memulakan program masa depan yang bercita-cita tinggi.

Walaupun inisiatif negara-negara ini berbeza antara satu sama lain dari segi skop dan objektif, ia mempunyai persamaan iaitu kesemuanya merangkumi pelaburan struktur yang dirancang untuk mengembangkan ekonomi wilayah ke kawasan baru.

Inisiatif Wawasan 2030 Arab Saudi diumumkan pada April 2016. Projek ini diteruskan oleh Putera Mohammed, putera kepada pemerintah tertinggi Arab Saudi iaitu Raja Salman.

Walaupun Putera Mohammed secara rasminya merupakan putera mahkota dan menteri pertahanan, namun beliau sebenarnya sudah dianggap sebagai pemimpin de facto negara ini.

Bandar yang dirancang ini juga dikenali sebagai Line City, merupakan sebahagian daripada projek terbesar dalam kempen gergasi yang dimulakan oleh Putera Mohammed, dikenali sebagai NEOM.

Neom adalah sebuah bandar rentas sempadan yang dirancang dan sedang dibina di Wilayah Tabuk, barat laut Arab Saudi.

Di sini, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan zon untuk bandar baharu, yang terletak di Teluk Aqaba dan Laut Merah, dengan Selat Tiran menghubungkan kedua-duanya.

Di seberang selat ini terletaknya Sharm el Sheikh, sebuah bandar Mesir yang mana seluruh ekonominya ditujukan kepada pelancongan dan merupakan salah satu pusat peranginan pantai yang paling popular serta mahal di Mesir.

Kejayaan ini dilihatkan menjadi contoh kepada NEOM untuk turut berjaya.

bandar neom arab saudi

Dua buah pulau yang terletak di situ iaitu Tiran dan Sanafir telah menjadi pertikaian di antara Mesir dan Arab Saudi.

Walaupun Mesir mempunyai kawalan ke atas kedua-duanya pada masa lalu, namun parlimen Mesir meluluskan pemindahan pulau-pulau ini kepada Arab Saudi pada tahun 2017.

Perjanjian ini telah membuka jalan bagi menghubungkan kedua-dua negara ini untuk bekerjasama. Sebagai sebahagian daripada projek Neom, sebuah jambatan dirancang di seberang Selat Tiran.

Ini akan mewujudkan hubungan darat dari Afrika Utara ke Semenanjung Arab, melalui Israel.

Pembinaan beberapa projek awal dimulakan sejak NEOM diumumkan. Untuk fasa pertama, Teluk NEOM sedang dibina yang sepatutnya menjadi landasan kepada perkembangan selanjutnya.

Beberapa kompleks hotel dan pangsapuri mewah telah dibina dan pada tahun 2019, lapangan terbang Teluk NEOM yang baru dibina telah dirasmikan sekaligus membolehkan sambungan terus dari ibu negara iaitu Riyadh.

Namun, projek terbesar di NEOM pada ketika ini bukanlah untuk orang awam. Ini adalah kompleks taman besar yang terdiri dari beberapa istana untuk raja Saudi, putera mahkota dan ahli keluarga mereka, serta beberapa vila untuk anggota keluarga diraja yang lain.

tingkat dalam bandar linear arab saudi

Dengan pengumuman projek ini awal tahun ini, rancangan terhadap bagaimana rupa sebenar bandar NEOM ini telah didedahkan buat kali pertama.

Konsep bandar ini bakal memberikan beberapa kelebihan yang mana Putera Mohammed harapkan dapat menjadikannya bandar masa hadapan.

Ia akan dibina pada tiga tingkat berbeza. Di permukaan tanah, akan dibina zon pejalan kaki yang lengkap, tanpa sebarang jalan raya dan kereta. Taman hijau yang dibina diharapkan menggalakkan aktiviti berjalan kaki dan santai.

Tingkat kedua bakal berfungsi sebagai tingkat perkhidmatan yang mempunyai kedai-kedai dan ruangan komersial lain.

Tingkat ketiga dan yang paling bawah pula akan menjadi tulang belakang bandar ini, di mana di sinilah tempat pergerakan orang dan barang-barang ke seluruh bandar ini berlaku.

Sistem transit berkelajuan tinggi dirancang bagi membolehkan orang untuk pergi ke mana-mana lokasi di sepanjang The Line dalam masa hanya 20 minit.

Tingkat ketiga ini sepatutnya menghubungkan modul bandar yang berbeza antara satu sama lain agar semua tugas dan aktiviti dapat dilakukan dengan hanya menggunakan pengangkutan awam serta berjalan kaki.

Keseluruhan susun atur bandar ini dirancang seperti banyak bandar besar pada masa kini, yang merupakan hasil revolusi industri. Dengan itu, ia dibina lebih banyak untuk mesin, kereta, dan industri dan bukan untuk orang yang tinggal di dalamnya.

rancangan pembinaan the line arab saudi

Namun masih belum pasti sama ada bandar dalam garis lurus panjang ini akan menjadi bandar yang sesuai dengan keperluan orang yang tinggal di situ.

The Line bertujuan untuk mengurangkan keperluan terhadap kereta peribadi dan mengatur semua perkhidmatannya secara berkesinambungan memandangkan bandar ini akan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga bersih, iaitu dari tenaga solar, angin dan hidrogen.

Di samping itu, kecerdasan buatan bakal digunakan untuk mempermudahkan kehidupan penduduk dan menggunakan sumber dengan lebih berkesan.

Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa ia akan melabur USD500 bilion (RM2.06 trilion) ke atas projek NEOM ini.

Apabila melihatkan projek ini, pelbagai persoalan timbul dan masih banyak yang tidak jelas.

Walaupun fokus bandar ini terhadap teknologi hijau adalah bertujuan untuk memastikan hubungan yang berterusan dengan Bumi, namun reka bentuk bandar ini yang dibina tanpa menghiraukan kawasan sekeliling dan tidak merangkumi ciri semula jadi seperti garis pantai, dilihatkan sebagai bertentangan dengan sasaran mereka.

Dan walaupun bentuk garis lurus bandar ini adalah sangat menakjubkan dan menarik untuk dilihat dari ruang angkasa, namun bagaimana susun atur ini bakal menyumbang kepada kesinambungan dan masa transit yang lebih pendek walaupun dalam jarak yang lebih jauh, masih belum dapat dijelaskan.

Mungkinkah konsep ini mempunyai sasaran lain, iaitu untuk menarik perhatian?

(Iklan NEOM)

Kerajaan Arab Saudi telah mempromosikan projek ini ke seluruh dunia dengan iklan internet, iklan tv dan video penjelasan dalam talian.

Kerajaan ini juga berusaha keras untuk mencari pelabur dan konsep bandar linear ini sangat menarik perhatian.

Perlu diketahui bahawa bandar linear bukanlah satu idea baharu. Sebagai contoh, perancang bandar Sepanyol iaitu Arturo Soria y Mata telah mengembangkan rancangan untuk bandar-bandar linear sejak tahun 1880-an lagi.

Beliau membayangkan bahawa disebabkan bentuk bandar linear yang sempit dengan jalan pengangkutan yang kurang, setiap rakyat akan mempunyai akses dekat dengan alam dan tanah ladang.

Arturo Soria berusaha untuk menciptakan sebuah kota yang menyerupai kawasan kampungnya, yang mana beliau yakin akan menghasilkan keseimbangan kehidupan kampung dan kota yang lebih baik.

Dan setelah penubuhan Soviet Union, perancang bandar Rusia Nikolai Alexandrowitsch Milijutin juga mengambil idea ini dan menerapkannya di bandar-bandar Volgograd dan Magnitogorsk.

Satu lagi konsep yang hampir serupa dengan bandar linear Arab Saudi ini telah digunapakai di Brazil pada penghujung tahun 1950-an ketika negara ini mencipta ibu negara baharu iaitu Brasilia.

Walaupun perancang Brasilia mempunyai tujuan untuk mewujudkan sebuah kota yang memastikan kesetaraan dan kemodenan melalui susun aturnya, harga yang tinggi di sepanjang kawasan ini mengakibatkan pembentukan sejumlah besar kota satelit, sedangkan bandar yang dirancang itu sendiri tidak memungkinkan pertumbuhan semula jadi.

bandar brasilia 405

(Brasilia)

Perancangan bandar Brasilia berhadapan dengan kontroversi sehingga kini dan sering dikritik kerana dirancang dari luar angkasa dan bukannya peringkat praktikal.

Sebaliknya, NEOM agak berbeza dengan Brasilia dalam beberapa aspek, termasuklah hakikat bahawa Brasilia sangat bergantung kepada lalu lintas kereta sedangkan NEOM menghapuskan kewujudan kereta.

Walaupun begitu, kebimbangan bahawa NEOM direka bentuk untuk kelihatan cantik dari pandangan atas seperti mana Brasilia, masih ada.

Ini kerana dunia mahu melihat sama ada visi pihak pemerintah dan arkitek yang dilaksanakan sesuai dengan keperluan orang yang benar-benar akan tinggal di tempat ini, terutamanya kerana ramai orang dipindahkan secara paksa untuk mewujudkan ruang untuk NEOM.

Suku al-Huwaitat yang tinggal di daerah ini meminta PBB untuk melakukan sisatan kerana mereka dipaksa menyerahkan rumah mereka untuk projek berprestij ini.

Kerajaan Arab Saudi ingin menubuhkan NEOM sebagai zon perdagangan bebas dengan sistem percukaian dan sistem perundangannya sendiri.

Ini adalah bertujuan untuk mewujudkan persekitaran bagi pelabur global di mana mereka boleh menikmati tahap keselamatan tertentu dan tidak terhalang oleh sistem perundangan syariah Arab Saudi yang sangat konservatif.

Di sini, pendekatan yang serupa dengan Emiriah Arab Bersatu mungkin dipertimbangkan.

dubai international financial center

(Dubai International Financial Center)

Pada tahun 2006, UAE telah mewujudkan mahkamah pengadilan umum berbahasa Inggeris yang berasingan agar dapat menjamin piawaian antarabangsa di Dubai International Financial Center, zon ekonomi khas.

Mahkamah-mahkamah ini juga dapat mengadili kes di luar zon ekonomi dan juga menyediakan bidang kuasa bebas yang mengatur pertikaian sivil serta komersial, sementara undang-undang UAE yang lain seperti undang-undang jenayah tidak terkesan.

Namun, dalam kes NEOM, belum diketahui secara tepat bagaimana sistem perundangan akan disusun.

Janji terhadap undang-undang progresif serta visi yang diiklankan secara meluas kepada dunia ini bertujuan untuk menarik minat pelabur antarabangsa.

Namun, apa yang tidak boleh diabaikan adalah percanggahan janji-janji ini dan tingkah laku pemerintah Arab Saudi.

jamal khashoggi

(Jamal Khashoggi)

Putera Mohammaed mempromosikan liberalisasi dengan berhati-hati dalam beberapa aspek dalam masyarakat di Arab Saudi namun pada masa yang sama, beliau juga bertanggung jawab ke atas banyak pelanggaran hak asasi manusia, termasuk gelombang penangkapan besar-besaran aktivis politik di negara ini.

Putera Mahkota Arab Saudi juga dikaitkan dengan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Dalam satu perbincangan yang disiarkan oleh Al-Jazeera, Jamal Khashoggi kelihatan mengkritik projek NEOM oleh Puter Mahkota secara terangan-terangan.

"Projek Neom, kota futuristik ini yang beliau (Putera Mohammed) rancangkan akan menelan kos setengah trilion dolar. Bagaimana jika ia gagal? Ia boleh membuatkan negara bankrap," kata Jamal Khashoggi.

Kali terakhir Jamal Khashoggi dilihat masih hidup adalah pada 2 Oktober 2018, di mana wartawan Washington Post ini pergi ke konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen untuk perkahwinannya.

Pihak pendakwa Turki mengatakan bahawa dia telah dibunuh, mayatnya dipotong dan tidak pernah ditemui. Setahun setelah pembunuhan Jamal Khashoggi, putera mahkota Arab Saudi masih menafikan bahawa beliau mengarahkan pembunuhan tersebut.

Apa-apa pun, projek NEOM dan THE LINE berfungsi sebagai kempen untuk mengembalikan imej Kerajaan Arab Saudi di luar negara dan ini menandakan bahawa Arab Saudi ingin menjadi lebih terbuka kepada perniagaan antarabangsa.

Rujukan:

1. Architectural Digest

2. Neo

3. World Architecture




Hakcipta iluminasi.com (2017)