Setiap wanita yang tidak mempunyai komplikasi kesihatan, akan menjalani turun darah haid yang 'mesra' dilabelkan sebagai datangnya 'period.'

Proses pembesaran yang normal ini menjadi antara detik paling menggerunkan bukan saja kepada si gadis, bahkan turut menyebabkan rasa bimbang dan gusar di kalangan ibu bapa - kerana tidak mahu kejadian memalukan timbul, sekiranya haid terjadi dalam waktu kurang sesuai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Secara amnya, ramai daripada kita berpandangan usia 13 sehingga 15 tahun merupakan waktu normal period seorang gadis akan muncul. Betulkah tanggapan ini?

Bagaimana pula dengan gadis yang mengalami period, pada usia lebih awal mereka?

Menarche - proses menstruasi pertama anak gadis

menarche haid pertama wanita

Dalam kajian perubatan, ada istilah khusus digunakan bagi mewakili turun haid pertama setiap gadis iaitu menarche. Ini kerana menarche dilihat unik, menjadi detik penting dalam hidup setiap wanita.

Kajian telah menunjukkan menarche pertama biasanya berlaku bila wanita berusia di antara 10 ke 16 tahun dengan usia purata pada tahap 12.4 tahun, terjadi secara spontan tanpa sebarang simptom seperti rasa sakit timbul.

Terjadinya menarche menandakan seseorang gadis sudah mula menjalani kitaran pembesaran yang membolehkan dia mengandungkan janin dan menjadi petanda akan berlaku lebih banyak perubahan seksual dalam aspek mental dan fizikal kepada gadis tersebut.

Ada dua situasi yang boleh menimbulkan kebimbangan berkenaan detik datangnya menarche. Sama ada terlalu lambat, melebihi usia 15 tahun atau terlalu awal, di bawah usia 10 tahun.

Kita hanya akan membincangkan berkenaan menarche yang hadir terlalu awal dalam artikel ini.

Terlalu awal datang menarche simbol masalah kesihatan

masalah kehadiran haid awal

Membicarakan menarche kompleks, kerana terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi detik kedatangannya.

Bagaimanapun terdapat banyak data yang menunjukkan usia anak gadis ketika datangnya haid pertama mereka semakin singkat - disebabkan oleh faktor pemakanan.

Kajian-kajian saintifik telah merekodkan anak gadis pertengahan abad ke 19, bermula sekitar tahun 1840 mempunyai purata usia min datang menarche pada usia 17 tahun.

Angka ini semakin cepat, dengan purata usia menarche pertama berlaku khususnya di negara-negara maju menurun kepada 12 tahun.

Ada beberapa faktor yang dikatakan menyumbang kepada fenomena ini.

Tabiat ibu bapa zaman sekarang yang gemar memberikan susu formula kepada bayi menyumbang kepada pembentukan lapisan lemak dalam badan menyumbang kenaikan indeks saiz tubuh dikatakan menjadi punca terawal.

Tabiat pemakanan zaman moden juga mendedahkan bayi dan kanak-kanak perempuan kepada bahan-bahan kimia bersifat penghalang endokrin yang mengganggu atau merencatkan hormon seseorang.

Selain itu, faktor terbesar yang dikatakan punca utama menarche berlangsung lebih awal adalah disebabkan pengambilan makanan dan minuman tinggi kadar gula.

Risiko pada anak gadis anda

menarche awal masalah kesihatan

Walaupun menarche terlalu awal tidak membahayakan kesihatan si gadis secara langsung, akan wujud beberapa perubahan ketara yang menyumbang kepada perbezaan gadis itu dengan teman lain seusianya.

Gadis yang terlalu awal menarche-nya, diklasifikasikan 12 tahun dan kebawah didapati tinggi risiko mengalami isu kemurungan atau kebimbangan serta lebih cenderung gagal menangani stres.

Sebuah kajian yang dijalankan di Korea Selatan mendapati wanita yang menarche-nya berlangsung sebelum dia berusia 12 tahun mempunyai risiko lebih tinggi mengalami penyakit metabolik dan kencing manis, masalah tinggi kolestrol bila dewasa yang akan menyumbang kepada penyakit jantung, strok dan tekanan.

Kajian sama juga menunjukkan wanita yang mengalami menarche pada usia bawah 12 tahun mempunyai kadar risiko kanser payu dara 23% lebih tinggi berbanding mereka yang mengalami menarche melebihi usia 15 tahun.

Satu lagi kekurangan yang akan nampak ketara, gadis yang menarche awal gagal membesar dengan sempurna pada ketinggian, mengakibatkan mereka lebih pendek dan gagal mencapai ketinggian sepatutnya.

Apa yang boleh anda lakukan?

wanita matang haid kesihatan

Kawal pemakanan anak gadis anda sejak kecil! Khususnya pengambilan minuman tinggi gula.

Ini kerana memang jelas telah dibuktikan gadis yang lambat datang menarche-nya, juga merupakan individu yang kurang mengambil bahan makanan tinggi gula.

Kajian di Amerika Syarikat telah membuktikan proses semulajadi yang berlaku pada tubuh seorang anak gadis sangat dipengaruhi kadar gula dalam badan.

Seorang gadis yang konsisten mengambil gula pada tahap tertentu akan mengalami menarche awal.

Sekiranya anda nak anak perempuan anda mencapai ketinggian tubuh yang sepatutnya; anda sebagai ibu bapa kena dari awal mengehadkan pengambilan gula anak anda.

Masyarakat juga perlu sedar, period awal harus dilihat bukan sebagai sesuatu yang normal sebaliknya adalah petunjuk awal kepada masalah yang berkemungkinan akan timbul kemudian hari.




Hakcipta iluminasi.com (2017)